Menu

 

A+ A A-

PECAH AMANAH

“Tahniah dan terima kasih kerana menerima tawaran untuk bekerja di sini. Pihak syarikat berharap agar encik dapat berkhidmat dengan sebaik mungkin. Encik boleh mula bekerja minggu hadapan,” ujar Tuan Haji Faizi kepada Rafizal.

“Alhamdulillah. Terima kasih tuan haji. Insya-Allah, saya akan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Terima kasih atas peluang ini”, ujar Rafizal kembali.

Lalu bermulalah kerjaya Rafizal sebagai penolong pengurus jualan di syarikat Golden Goose Berhad. Ia sebuah syarikat ternama dalam bidang pembangunan perisian komputer di Malaysia.

Mendapat Kepercayaan

Sejak mula bekerja lagi beliau merasa kagum dengan kehebatan syarikat tersebut. Mana tidaknya, syarikat ini telah membekalkan banyak perisian komputer kepada hampir semua syarikat-syarikat yang besar di Malaysia. Justeru ia mempunyai pangkalan data pelanggan yang besar.

Beberapa bulan berikutnya, beliau telah didedahkan dengan rahsia dan kaedah-kaedah penciptaan perisian komputer tersebut. Beliau juga didedahkan dengan pangkalan data pelanggan syarikat. Beliau turut berpeluang untuk berjumpa dengan pegawai-pegawai kanan pelanggan syarikatnya.

Setelah enam bulan bekerja, Rafizal telah dihantar oleh syarikatnya menyertai satu konvensyen peringkat nasional bagi syarikat-syarikat IT di Malaysia. Terpegun Rafizal apabila melihat jumlah peserta yang mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut. Lebih membanggakan lagi, pengarah syarikatnya diberikan penghormatan membentangkan kertas kerja utama dalam konvensyen tersebut.

Tawaran Lumayan

Pada hari terakhir konvensyen tersebut, Rafizal disapa oleh seseorang.

“En. Rafizal, saya Dato Ibrahim; CEO syarikat Red October Bhd. Apa kata kita berbual sebentar di kafe di sebelah. Ada perkara yang ingin saya bincangkan dengan awak,” ujar Dato Ibrahim.

Setibanya di kafe tersebut, tanpa berselindung lagi Dato Ibrahim menawarkan Rafizal agar bekerja dengan syarikatnya.“Kalau awak setuju, saya akan tawarkan awak gaji sekali ganda daripada gaji yang ada sekarang, sebuah kereta syarikat dan jawatan sebagai pengarah bahagian jualan.

"Tapi ada syaratnya. Awak kena dapatkan saya maklumat pangkalan data pelanggan syarikat Golden Goose dan rahsia perisian syarikat kamu. Jadi kamu perlu muat turun semua maklumat ke dalam pen drive ini. Serahkan kepada saya pada hari pertama kamu bekerja dengan saya.”

Tanpa berfikir panjang, Rafizal terus bersetuju menerima tawaran tersebut. Setelah memuat turun segala maklumat sulit Golden Goose, surat notis berhenti 24 jam terus diserahkan kepada pihak pengurusan Golden Goose.

Susu Dibalas Tubar

Berita ekonomi bulan berikutnya melaporkan bahawa syarikat Red October telah berjaya mendapatkan tender perisian komputer bagi Kementerian Pertahanan. Walhal pemerhati dan pakar analisis ekonomi sebelum ini meramalkan bahawa Golden Goose yang dijangka akan berjaya mendapatkan tender tersebut.

Golden Goose segera mengadakan post-mortem. Hasilnya mereka mendapati bahawa perisian yang ditawarkan oleh Red October merupakan persis-perisian mereka. Lebih memeranjatkan, mereka baru mendapati bahawa Rafizal telah bekerja dengan Red October. Forensik perisian mengesahkan bahawa terminal komputer Rafizal di Golden Goose telah menjalankan aktiviti muat turun maklumat sulit Golden Goose.

Susulannya, Golden Goose membuat satu laporan polis terhadap Rafizal atas jenayah pecah amanah dan mengambil tindakan sivil terhadap Rafizal dan Red October atas pelanggaran hak cipta dan penyalahgunaan rahsia sulit Golden Goose.

Langit Tidak Selamanya Cerah

Hasil daripada injunksi yang diperoleh, kesemua akaun dan aset Rafizal dan Red October telah dibekukan. Setelah perbicaraan dijalankan, maka Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan: “

Setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan setelah membaca hujahan para peguam, maka atas imbangan kebarangkalian, maka Mahkamah mendapati bahawa Golden Goose telah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Red October yang mana adalah jelas bahawa Rafizal dan Red October telah berkonspirasi mencuri harta intelek dan rahsia sulit Golden Goose dan telah menyalahgunakannya bagi mendapatkan tender daripada Kementerian Pertahanan.

"Oleh sebab itu, Mahkamah dengan ini memerintahkan agar Rafizal dan Red October membayar ganti rugi terhadap Golden Goose sebanyak RM50 juta sebagai ganti rugi akaun keuntungan yang telah diperoleh dan RM500, 000 sebagai ganti rugi teladan, faedah dan kos.”

Tergamam Rafizal dan Dato Ibrahim apabila mendengar keputusan tersebut. Setelah selesai kes sivil tersebut, pihak polis pula mendakwa Rafizal dan Dato Ibrahim atas kesalahan pecah amanah. Akhirnya kedua-duanya dihukum penjarakan selama 10 tahun dan dua kali sebatan.

Mengalir air mata Rafizal apabila mendengar keputusan itu. Menyesal. Apakan daya,sesal kemudian tiada berguna.

pecah amanah

 

                                                                                                      

                                                                                     Mohamed Fadly Dato' Zakaria

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.

Kembali ke atas