Menu

 

A+ A A-

DIBUKUKAN UNTUK MEMELIHARA AL-QURAN

SAYIDINA Abu Bakar r.a. adalah sahabat yang pertama memeluk agama Islam dan sahabat yang pertama bersahabat serta beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. Maka, dari segi senioriti pengalaman inilah yang membuatkan beliau dilantik menjadi khalifah Islam yang pertama selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Semasa zaman pemerintahan beliau, terdapat golongan yang kembali semula kepada agama asal mereka atau lebih dikenali sebagai golongan riddah. Ini disebabkan mereka telah menolak satu hukum yang terdapat dalam rukun islam iaitu mengeluarkan zakat. Walaupun hanya satu sahaja hukum yang ditolak oleh mereka, Sayidina Abu Bakar r.a. menegaskan bahawa golongan ini layak dibunuh.

Musailamah al-Kazzab adalah ketua golongan riddah ini sehingga dia menggelari dirinya sendiri sebagai nabi. Walaupun mendapat bantahan daripada Sayidina Umar r.a., namun setelah musyawarah diadakan, akhirnya beliau akur dengan pendapat daripada Sayidina Abu Bakar r.a. berdasarkan nas daripada al-Quran dan juga hadis Rasulullah s.a.w.

dibukukan-utk-memelihara-alquran-1

Faktor Al-Quran dibukukan

Di sinilah bermulanya titik permulaan al-Quran dibukukan. Ini ekoran satu peperangan yang bersejarah dalam sejarah Islam yang disebut sebagai Peperangan Yamamah pada tahun 12 Hijrah. Peperangan ini menyebabkan syahidnya 500 orang daripada kalangan sahabat iaitu 70 orang daripadanya merupakan sahabat yang digelar qurra’. Sayidina Umar r.a. yang hati dan percakapannya kebanyakannya telah diiktiraf Allah s.w.t. telah menyarankan agar al-Quran dibukukan.

Kali ini Sayidina Abu Bakar r.a. pula tidak menyetujui perkara ini disebabkan Baginda Rasulullah s.a.w. tidak melakukannya. Pun begitu, atas desakan Sayidina Umar r.a. yang menyatakan bahawa perkara ini bukanlah bidaah dalalah (yang sesat), akan tetapi ia sebagai mempertahankan satu sunnah yang begitu besar faedahnya untuk maslahat seluruh umat islam.

Selain itu juga, faktor yang menyebabkan Sayidina Umar r.a. menyarankan agar al-Quran ini dibukukan kerana salah seorang sahabat yang tergolong dalam kalangan qurra’ iaitu Salim Maula Abu Huzaifah telah syahid dalam peperangan tersebut. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang diperakui salah seorang daripada empat orang pakar dalam bidang al-Quran oleh Rasulullah s.a.w.

Maka zahirlah di sini, tindakan dua orang sahabat yang utama ini merupakan satu anugerah Allah s.w.t. dalam ikhtiar yang bertepatan dengan qadak Allah s.w.t. yang telah menetapkan bahawa al-Quran ini akan terpelihara sepanjang zaman.

Kriteria Pemilihan Ayat

Di sinilah terlantiknya Zaid bin Thabit selaku ketua editor dalam pengumpulan, penyusunan dan pembukuan al-Quran kerana kelayakan yang dimilikinya. Beliau juga pada permulaannya menolak arahan Sayidina Abu Bakar r.a. ini atas alasan yang sama. Setelah didesak beberapa kali serta diberi mandat yang besar oleh Sayidina Abu Bakar r.a. dan Sayidina Umar r.a., beliau menerima jawatan ini dengan penuh yakin dan amanah.

dibukukan-utk-memelihara-alquran-2

Hal ini dapat dilihat pada arahan Sayidina Abu Bakar r.a. yang mengarahkan Sayidina Umar r.a. dan Zaid bin Thabit untuk menunggu para penghafaz dan penulis al-Quran datang dan membaca di hadapan mereka dengan dua orang saksi. Sayidina Abu Bakar r.a. telah menetapkan serta menggariskan beberapa kriteria untuk Sayidina Umar r.a. dan Zaid bin Thabit mengambil dan menerima bacaan daripada para qurra’.

Kriteria pertama yang ditetapkan ialah ayat tersebut mesti dihafaz tanpa sedikit pun kesalahan dan kriteria kedua pula ayat tersebut mestilah telah tertulis. Pendapat ini diambil daripada pendapat ibn Hajar al-Asqalani.

Pendapat yang kedua pula diambil daripada pendapat Al-Imam Al-Sakhawiy dalam kitabnya ‘Jamal al-Qurra’ Wa Kamal al-iqra’ menyatakan bahawa ayat tersebut mesti telah pun ditulis di hadapan Nabi Muhammad s.a.w. dan bukanlah hanya dengan hafazan semata-mata.

Sesungguhnya jaminan Allah s.w.t. dalam memelihara kalam-Nya amatlah benar. Semasa pengumpulan ini, terdapat ayat tidak tertulis oleh para sahabat iaitu dua ayat terakhir dalam surah al-Taubah iaitu ayat 128 dan 129. Hal ini diselesaikan oleh Zaid bin Thabit dengan mengiktiraf bacaan dan tulisan ayat tersebut yang didapati daripada Abu Khuzaimah al-Ansari, yang bertepatan dengan apa yang ada di sisi hafazan dan tulisan beliau juga. Sesungguhnya Zaid bin Thabit adalah seorang yang amat thiqah dan pelopor utama yang amat amanah dalam sejarah pengumpulan, penulisan serta pembukuan al-Quran.

Ustaz Mohd Adib Hassan Saari

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ustaz Mohd Adib bin Hassan Saari

Sarjana Muda Qiraat, Maahad Qiraat Shubra, Universiti al-Azhar. Antara guru beliau ialah Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Latif (Pakar Rujuk Utama Ilmu Qiraat di Masjid al-Azhar), Syeikh Abdul Rahim al-Banna dan Syeikh Qadri bin Abdul Hamid al-Hafiz. Kini guru, merangkap jurulatih utama al-Quran, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kembali ke atas