Menu

 

A+ A A-

KELDAI DADAH

“BILALAH agaknya aku dapat pergi bercuti ke luar negara macam orang lain?” bisik hati Rashdan. Rashdan duduk termenung sambil memandang ke kubikel di kiri kanan beliau yang kosong. Seorang rakannya bercuti ke New Zealand dan seorang lagi ke London.

Sambil-sambil membuat kerja, Rashdan melayari internet. “Biar betul ni, ada rupanya pakej percuma melancong ke luar negara!” Rashdan pun melayari dengan lebih lanjut laman forum web tersebut. Dilihatnya berpuluh-puluh testimoni mengakui kebenaran pakej ini.

Semuanya menyimpulkan bahawa senangnya melancong ke luar negara bersama kumpulan ahli perniagaan ini. Apa yang perlu, jadi juru bahasa mereka, bawa bagasi dan uruskan beberapa perkara kecil antaranya beratur di kaunter. Rupa-rupanya masih ada lagi kekosongan untuk peluang melancong ke Buenos Aires, Argentina. Tanpa membuang masa, Rashdan menghubungi e-mel pengendali forum tersebut. Seminggu selepas itu, Rashdan menerima e-mel daripada pengendali forum. Permohonannya diterima. Segala urusan penerbangan termasuk tiket dan visa telah diuruskan.

Bersama “Ahli Perniagaan”

Hari yang ditunggu tiba. Rashdan perlu menunggu kumpulan ahli perniagaan di Amsterdam, Belanda iaitu perhentian transit sebelum ke Buenos Aires. Berjumpa juga Rashdan dengan dua orang ahli perniagaan tersebut iaitu Encik Francois dan Picard. Kedua-duanya berasal dari Perancis dan mempunyai banyak urusan perniagaan di seluruh pelosok dunia. Tujuan mereka ke Argentina adalah tidak lain untuk melengkapkan satu urusan perniagaan yang berjumlah jutaan dolar. Kagum Rashdan mendengar cerita mereka. Tiba di Argentina, beliau menginap di sebuah hotel yang agak mahal di Buenos Aires, Alvaer Palace Hotel. Semua perbelanjaan makanan dan perjalanan Rashdan di sana ditanggung oleh ahli perniagaan. Lima hari berada disana dimanfaatkan sebaik mungkin dengan melancong ke sana sini.

Tibalah masanya Rashdan untuk kembali ke Malaysia. “Rashdan, kami akan turut ke Malaysia bersama awak. Jadi kami perlukan seseorang. Selepas singgah di Malaysia, kami akan ke Hong Kong pula. Apa pandangan awak?” soal Fracois dalam aksen Inggerisnya yang pelat. Rashdan mengangguk setuju. Setibanya di Amsterdam untuk hentian transit, kelihatan Francois bergenang dengan air mata. Rupa-rupanya seorang saudaranya telah meninggal dunia di Marseille. Rashdan cuba menenangkan Francois.

“Terima kasih atas keprihatinan awak, Rashdan. Saya tetap tidak dapat menghadiri majlis pengebumiannya kerana saya perlu berjumpa rakan niaga di Kuala Lumpur.

Beberapa dokumen penting mesti diserahkan kepadanya. Jika tidak, rugi besar saya!”

“Ataupun bolehkah saya mempercayakan awak untuk serahkan beg ini kepadanya? Jadi saya boleh terus pulang menziarahi saudara saya.” Mata Rashdan melirik kepada beg kulit bagasi berjenama Loius Vuitton. Francois membuka beg itu dan menunjukkan beberapa dokumen dalam Bahasa Perancis di dalamnya. Menurut Francois lagi, Rashdan boleh mengambil beg tersebut setelah dokumen di dalamnya tersebut diserahkan kepada rakan niaganya di Kuala Lumpur. Rashdan bersetuju. Francois juga mencadangkan agar Rashdan mengisi pakaiannya di dalam beg tersebut dan membuang beg bagasi lama. Mereka pun saling bertukar nombor telefon bimbit, e-mel dan alamat sebelum berpisah. Rakan niaga mereka akan menunggu Rashdan di KLIA kelak.

Tragedi Menanti di Tanah Air

Tidak sabar Rashdan untuk bekerja semula dan menceritakan pengalaman dengan rakan sekerjanya kelak. Semasa beratur untuk pemeriksaan kastam, dilihatnya beberapa pegawai kastam dan polis berdiri di kaunter pemeriksaan Kastam sambil memegang sekeping kertas.

“Apalah pula kesnya kali ini?” Namun tiba pada giliran Rashdan, beliau terus diarahkan dan diiring ke sebuah bilik khas untuk pemeriksaan lanjut. Di dalam bilik khas tersebut, Rashdan telah diarahkan membuka sendiri bagasinya.

Pegawai polis tersebut bertanyakan milik siapa pakaian di dalam bagasi tersebut. Rashdan mengesahkan bahawa pakaian itu miliknya bahkan beliau sendiri yang menyusunnya. Tiba-tiba pegawai polis itu menjumpai satu kompartmen rahsia di bawah kaki beg tersebut. Setelah diketuk-ketuk dan dirobek, terkejut Rashdan kerana di dalamnya terdapat bungkusan putih seakan-akan dadah. Polis mengesahkan bahawa barang yang dijumpai ialah kokain seberat lima kilogram. Rashdan menjerit-jerit menafikan bahawa dadah serta beg itu bukan miliknya. Rashdan memaklumkan bahawa ada pihak ketiga yang sedang menunggu beliau di luar balai ketibaan. Maka pihak polis dan Rashdan pun pergi ke sana namun tiada siapa yang menunggu. Cerita Rashdan tidak dipercayai oleh pihak polis. Akhirnya dia dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan memiliki dadah berbahaya. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung. Rashdan turut melantik peguam bela.

keldai dadah1

Sesal Tidak Sudah

Namun pada akhir perbicaraan, hakim menetapkan: “Setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan keterangan tertuduh serta bukti-bukti yang dikemukakan, mahkamah memutuskan untuk tidak mempercayai keterangan Rashdan kerana bukti jelas menunjukkan bahawa bagasi tersebut mengandungi barangan peribadi milikan Rashdan.

“Dokumen yang kononnya di dalam bahasa Perancis bagi menyokong versi cerita beliau diperangkap tidak lain hanyalah nota catatan yang tidak mempunyai apa-apa kesan sekalipun. Tambahan pula, menurut keterangan saksi forensik, cap jari Rashdan dijumpai di banyak bahagian di bagasi tersebut dan tiada cap jari pihak ketiga seperti yang didakwa oleh tertuduh. “Ini juga disokong oleh keterangan SP-1 iaitu Inspektor Aiman yang mengesahkan bahawa tertuduh telah mengakui di hadapan beliau bahawa bagasi tersebut dikemas oleh tertuduh sendiri dan mengandungi barangan dan efek peribadi milik tertuduh setelah percakapan amaran dinyatakan oleh Inspektor Aiman. Di tambah lagi dengan keterangan saksi yang mengesahkan bahawa tiadanya pihak ketiga yang menunggu tertuduh di luar pintu balai ketibaan di KLIA. “Oleh yang demikian, mahkamah berpuas hati bahawa versi yang diberikan oleh tertuduh tidak boleh dipercayai dan pihak pembelaan gagal untuk membangkitkan keraguan yang munasabah dalam kes ini. Oleh sebab itu, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh disabitkan dengan kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan dihukum gantung sehingga mati!”

 

Wallahu a‘lam.

Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.

Kembali ke atas