Menu

 

A+ A A-

EMAS OH EMAS

“Encik Fikry, pada asasnya undang-undang am yang sedia ada di Malaysia telah menetapkan bahawa liabiliti sesuatu syarikat dengan liabiliti pengarah syarikat adalah berbeza. Ini bermaksud bahawa pada amnya seseorang pengarah syarikat tidak akan menanggung hutang atau liabiliti yang telah ditanggung oleh syarikat tersebut. Ini dinamakan prinsip ‘separate legal entity’.” Jelas Encik Iskandar, seorang rakan kongsi firma guaman Iskandar & Co.

“Saya masih tidak faham. Boleh jelaskan lagi?”

“Baik. Misalnya sebuah syarikat berhutang dengan seorang pembekal atas nama syarikat tersebut. Maka pengarah syarikat tersebut secara amnya tidak akan bertanggungan kepada syarikat pembekal tersebut berkenaan hutang syarikat itu.”

“Oh, tetapi apa maksud Encik Iskandar dengan ‘secara amnya’?”

“Ini bermaksud setiap undang-undang am ada pengecualiannya. Dalam prinsip undang-undang syarikat, memang terdapat situasi mahkamah akan tidak mengendahkan prinsip ‘separate legal entity’ atas beberapa faktor. Dalam situasi pengecualian ini, seseorang pengarah boleh didapati bertanggungan akan hutang atau liabiliti syarikat.”

“Bagaimana dengan kes saya ini? Saya telah ditipu oleh syarikat Golden Bar Sdn. Bhd. dengan melabur RM500 ribu wang simpanan saya dalam komoditi emas!” Fikry semakin teruja demi menyelesaikan kemelut yang melanda dirinya.

“Boleh saudara ceritakan dengan lebih lanjut?”

Kerana Kawan

Lebih kurang setahun yang lepas, Fikry dikunjungi oleh seorang rakan karibnya, Fadhil. Kawannya itu mengajak beliau ke pejabatnya di Sri Hartamas. Setibanya di sana, Fikry berasa takjub melihat kemewahan dan kejayaan yang telah dinikmati oleh Fadhil.

Fadhil memaklumkan bahawa hasil kekayaannya itu hasil daripada skim pelaburan emas yang beliau sertai. Skim tersebut menawarkan pulangan tinggi dan telah disertai oleh ramai orang termasuk ahli politik. Skim itu diiktiraf oleh Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat dan mempunyai penasihat syariah yang bertauliah.

Menurut Fadhil lagi, sejak menyertai skim itu setahun yang lepas, dia mendapat dividen keuntungan setiap bulan. Dia juga akan mendapat komisen sekiranya berjaya merekrut ramai lagi pelabur untuk menyertai skim ini.

Pada awalnya Fikry agak skeptikal. Lalu beliau membuat kajian sendiri. Hasilnya, rata-rata kenalannya yang melabur dalam skim ini telah tanpa gagal menerima dividen bulanan mereka yang agak tinggi semenjak setahun yang lepas.

Tanpa berfikir lagi Fikry mengeluarkan duit simpanan beliau dan isterinya serta ibu bapanya untuk dilaburkan.

Benar, secara konsistennya Fikry menerima pulangan sepertimana yang telah dijanjikan sepanjang enam bulan pertama.

Namun hatinya remuk apabila membaca laporan akhbar bahawa syarikat Golden Bars ini telah diserbu oleh Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat kerana disyaki menjalani skim pelaburan emas yang tidak sah. Keseluruhan aset dan akaun syarikat Golden Bars telah dibekukan serta merta oleh Bank Negara.

Menurut perkembangan terkini, Bank Negara telah mendapati bahawa jumlah liabiliti yang ditanggung oleh syarikat Golden Bars tidak sepadan dengan jumlah pelaburan yang telah dibuat. Sepatutnya jumlah emas yang disimpan oleh syarikat mestilah berpadanan dengan jumlah pelaburan yang telah dikutip daripada pelabur. Siasatan forensik perakaunan mendapati terdapat kepincangan yang jelas dalam aspek ini.

Menuntut Pembelaan

“Kalau begitu ceritanya, tuntutan boleh dibuat terhadap syarikat Golden Bars. Dalam masa yang sama tuntutan boleh dibuat terhadap pengarah syarikat di bawah Seksyen 304 Akta Syarikat jika Encik Fikry berjaya membuktikan bahawa wujudnya niat atau tindakan yang bertujuan untuk menipu para penghutang syarikat. Maka mahkamah akan mempunyai kuasa untuk memutuskan bahawa pengarah atau mana-mana pihak dalam syarikat yang terlibat dalam transaksi penipuan ini bertanggungan secara peribadi kepada hutang yang telah diwujudkan oleh syarikat ini.

“Yang penting kita perlu buktikan bahawa wujud elemen yang menunjukkan syarikat sebenar sudah tahu bahawa ia tidak mempunyai apa-apa prospek untuk membayar dividen atau hutang kepada pelabur semasa wang pelaburan dikutip. Kita juga perlu membuktikan wujudnya elemen khianat atau ketidakjujuran nyata di pihak pengarah syarikat sebelum Seksyen 304 ini diguna pakai.”

“Kalau begitu, saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan ini.” Fikry memasang azam.

Selepas beberapa bulan...

Berita Nasional: “Khamis-Kuala Lumpur- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah membenarkan tuntutan daripada pelabur-pelabur Golden Bars yang diketuai oleh En. Fikry bin Aiman untuk satu deklarasi di bawah Seksyen 304 Akta Syarikat untuk mendapati bahawa pengarah syarikat Golden Bars Sdn. Bhd. didapati secara peribadi menanggung segala hutang-hutang yang telah dilaburkan oleh pelabur-pelabur tersebut.”

“Alhamdullilah.” Fikry bersyukur.

Pengajaran dan Cadangan:

Adalah penting bagi orang awam untuk menjalankan kajian yang mendalam sebelum melabur dalam mana-mana skim.

Hubungi terus Bank Negara atau Suruhanjaya Syarikat bagi mengesahkan skim atau aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh mana-mana syarikat yang menjemput orang awam supaya melabur dalam syarikat mereka.

Bagi pelaburan berbentuk multi-level marketing, syarikat tersebut memerlukan lesen jualan langsung daripada Kementerian Hal Ehwal Pengguna manakala bagi skim yang melibatkan pelaburan mata wang asing (foreign exchange) memerlukan lesen Bank Negara Malaysia di bawah Akta Kawalan Wang.

Kos tuntutan boleh dijimatkan sekiranya mangsa membuat tuntutan beramai-ramai di bawah Tuntutan Kelas (Class Action).

Wallahu a‘lam.

 

Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.10


Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.

Kembali ke atas