Menu

 

A+ A A-

IMAM AL-GHAZALI

Beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. Gelarannya Abu Hamid Hujjah al-Islam yang bermaksud pembela agama Islam.

Hasrat Si Ayah

Imam al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 H di Tus (dalam Iran pada hari ini). Keluarga beliau sangat soleh dan cintakan ilmu. Ayahnya selalu hadir dalam majlis-majlis ulama. Setiap kali mengikuti pengajian seorang ulama, beliau menangis dan berdoa agar Allah memberinya anak yang alim. Berkata Ibn Subki: “Ayah Imam al-Ghazali sangat fakir namun warak. Ia tidak memakan sesuatu melainkan daripada hasil usahanya sendiri.” Ayahnya bekerja memintal bulu lalu dijual di kedainya.

imam1

Anak Mengikut Jejak

Sejak kecil, Imam al-Ghazali sangat menyukai ilmu. Beliau belajar daripada ramai ulama di negerinya antaranya Ahmad bin Muhammad al-Razakani. Kemudiannya beliau merantau ke Jurjan untuk menuntut dengan Imam Abu Nasr al-Isma‘ili. Setiap ilmu yang dipelajari dicatat dalam buku. Hasilnya simpanan catatannya menjadi beberapa jilid besar. Pernah satu ketika semasa al-Ghazali dalam perjalanan pulang ke negerinya, sekumpulan penyamun merompak kafilahnya. Mereka merampas semua bekalan al-Ghazali termasuk buku-buku catatannya. Al-Ghazali merayu: “Semua barang-barang yang lain kamu ambillah. Cuma kembalikanlah buku-buku catatanku.” Penyamun itu tertawa sambil menyindirnya: “Bagaimana engkau boleh mengaku berilmu padahal jika buku-buku ini aku ambil, engkau tidak lagi memiliki ilmu.” Sejak kejadian itu, al-Ghazali berazam untuk menghafal semua ilmu yang beliau pelajari.

Berguru dengan Imam al-Haramain

Pada masa itu ada seorang tokoh yang terkenal sebagai ulama yang paling menguasai fiqah, usul fiqah dan ilmu kalam iaitu Abdul Malik al-Juwaini. Beliau ialah ulama dari Nisabur yang mendapat gelaran Imam al-Haramain yang bermaksud pemimpin ulama dua Tanah Haram (Makkah dan Madinah). Imam al-Ghazali merantau ke Nisabur demi untuk menimba ilmu dengan Imam al-Haramain. Sepanjang misi ilmunya di situ, beliau berjaya mendalami pelbagai ilmu penting antaranya fiqah, khilaf, debat, usuluddin, usul fiqah, mantik dan falsafah. Dalam masa yang tidak lama, beliau mula diakui sebagai murid Imam al-Haramain yang paling cemerlang. Al-Ghazali tetap terus melazimi majlis ilmu Imam al-Haramain hingga gurunya wafat pada tahun 487 H. Selepas itu, beliau diserahkan jawatan sebagai guru besar di Universiti Nizam al-Muluk di Baghdad. Selama empat tahun, Al-Ghazali mengajar, menulis dan berdiskusi di pusat ilmu dunia Islam ini. Semakin hari namanya semakin terkenal sebagai rujukan umat dalam akidah, fiqah dan usul. Ribuan pelajar dari pelbagai pelosok negeri berdatangan untuk menimba ilmu daripadanya.

Beralih ke Tasawuf

Pada tahun 488H, al-Ghazali pergi menunaikan ibadah haji. Sebelum itu, beliau mengalami krisis dalam jiwanya untuk mencari hakikat ilmu sejati. Sepulangnya daripada ibadah haji, beliau menetap di Damsyik untuk beribadah dan membersihkan hati (tazkiyat al-nafs). Beliau juga pergi ke Iskandariah, Mesir sebelum kembali ke negerinya di Tus. Sejak saat itu, al-Ghazali mengurungkan diri di dalam rumah dan tidak bergaul dengan masyarakat. Beliau mendirikan sebuah rumah untuk perhimpunan ahli sufi dan membahagi masanya untuk amal-amal ibadah seperti membaca al-Quran, mengajar murid-murid dan mengkaji hadis.

Karya-karya

Al-Ghazali banyak sekali menulis buku-buku yang membela akidah, menjelaskan hukum-hukam, dan mendidik jiwa antaranya:

imam2

Wafat

Al-Ghazali terus berada dalam kondisi itu hingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Isnin 14 Jamadilakhir 505 H pada usia 55 tahun.

 

Wallahu a‘lam.

 

Ust. Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas