Menu

 

A+ A A-

SOAL IMAM

Definisi Imam

APA maksud imam? Adakah ia semata-mata merujuk kepada orang yang mengimami solat?

Apabila kita menyebut tentang imam maka akan terbayang dalam kotak fikiran kita seorang yang sedang mengimami solat. Hal ini tidak dapat dinafikan. Namun takrifan imam, sebenarnya lebih besar dan amat luas pengertian serta tanggungjawabnya. Perkataan imam berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud ketua yang membimbing sesuatu kumpulan. Oleh yang demikian sesiapa sahaja yang dilantik sebagai ketua dan memegang sesuatu tanggungjawab, maka beliau seorang imam.

Contohnya pemimpin sesebuah negara ialah imam kepada masyarakat, majikan pula imam kepada pekerja-pekerjanya, manakala seorang bapa imam kepada ahli keluarganya. Selain itu imam juga merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang tokoh kerana ketinggian ilmu agamanya. Contohnya gelaran imam yang diberikan adalah kepada Imam al-Bukhari dan Imam Muslim atas ketokohan dan kehandalan mereka dalam bidang hadis. Manakala Imam al-Syafi‘i, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal digelar sedemikian kerana ketokohan mereka dalam bidang fiqah.

Kewajipan Imam

Apakah tanggungjawab seorang yang digelar imam?

Dalam Islam, tugas seorang imam ialah membimbing orang yang berada di sekelilingnya ke arah kebaikan. Seseorang imam itu perlulah sedar bahawa tanggungjawab yang Allah berikan kepadanya merupakan suatu amanah dan perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.”

Nabi juga pernah bersabda dengan maksudnya: “Setiap daripada kamu adalah pembimbing, dan setiap kamu juga akan ditanya tentang orang yang dibimbingnya. Dan seseorang imam itu adalah ketua dan akan ditanya tentang orang yang dibimbingnya.” (Riwayat al- Bukhari)

Maka jelaslah bahawa seseorang imam itu perlu berlaku adil kerana beliau akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

soal-imam-1

Syarat Imam

Bolehkah orang biasa menjadi imam dalam solat? Apakah syarat-syaratnya?

Mana-mana muslim itu layak menjadi imam dalam solat dengan syarat-syarat berikut:

1. Muslim

Seseorang imam solat itu mestilah seorang muslim. Sesuatu amalan yang dikerjakan oleh seseorang yang bukan beragama Islam termasuklah juga solat tidak dikira sebagai ibadat di sisi Allah. Dalam Surah Ali Imran ayat 85 Allah berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang memilih selain daripada Islam sebagai cara hidup (agama), maka tidak akan diterima sama sekali dan di akhirat kelak dia akan bersama dengan orang yang rugi.”

2. Seorang lelaki

Solat yang diimamkan oleh wanita dengan bermakmumkan jemaah lelaki adalah tidak sah menurut pandangan jumhur ulama. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim pula, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik barisan bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling kurang kebaikannya adalah yang paling belakang. Manakala sebaik-baik barisan bagi wanita adalah yang paling belakang dan yang yang paling kurang kebaikannya adalah barisan hadapan.” Namun, solat yang diimamkan oleh seorang wanita adalah sah jika makmum di belakang beliau terdiri daripada wanita.

3. Mumayyiz

Mumayyiz yang dimaksudkan di sini adalah mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Walaupun solat berjemaah tersebut diimamkan oleh seorang kanak-kanak, jika beliau merupakan seorang yang mumayyiz maka solat tersebut sah. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari, bahawa seorang sahabat iaitu ‘Amr bin Salamah r.a. pernah menjadi imam ketika berumur tujuh tahun dan perkara tersebut tidak dilarang oleh Nabi s.a.w. Pendapat ini juga merupakan pandangan Imam al-Syafi‘i rhm.

4. Mengetahui segala rukun dalam solat

Seseorang imam itu perlulah tahu dan juga mampu melaksanakan segala rukun solat.

Imam dan Bacaan al-Fatihah

Apa pula hukum orang yang menjadi imam sedangkan bacaan surah al-Fatihahnya tidak tepat?

Sepertimana kita ketahui jika bacaan al-Fatihah dalam solat secara jelasnya tidak betul sebutannya seperti berbeza baris dan huruf, maka solat tersebut tidak sah. Namun bagi mereka yang baru mendapat hidayah dan hendak berjinak-jinak dengan solat, maka hukumnya tetap sah dengan syarat mereka telah mencuba sedaya mungkin untuk mempelajari bacaan surah al-Fatihah dan rukun-rukun solat yang lain. Tidak sah solat jemaah yang diimami oleh seorang yang dketahui umum bahawa bacaan al-Fatihahnya tidak betul jika terdapat makmum di belakangnya yang mampu membaca al-Fatihah dengan baik serta mengetahui rukun-rukun solat yang lain.

Walaupun begitu, jika beliaulah orang yang terbaik ketika itu, maka tidak mengapa. Kesimpulannya seseorang muslim itu perlulah berusaha sedaya upaya untuk melayakkan dirinya menjadi imam. Wallahu a‘lam.

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas