Menu

 

A+ A A-

MELUAH RASA DI FACEBOOK

SOALAN: Suatu hari saya membuka Facebook seperti biasa. Tanpa disangka, ada seorang kawan meluahkan perasaannya yang berkecamuk akibat masalah rumah tangga. Habis semua kisah rumah tangganya yang berantakan diceritakan. Ramai pula kawan-kawannya yang memberi komen. Saya rasa itu sesuatu yang memalukan. Apa pendapat ustaz?

 

JAWAPAN: Memang tidak dinafikan, ramai pengguna menjadikan laman sosial sebagai tempat meluahkan perasaan. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup memburuk-burukkan suami, isteri, tunang, ibu bapa dan adik-beradik di laman sosial. Disebabkan itu, ramai rakan-rakan alam maya mengetahui situasi yang dialaminya.

Ini satu perbuatan yang tidak boleh dicontohi. Muslim yang berperibadi mulia tidak akan sekali-kali melakukan hal begini. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa setiap masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri atau sesiapa sahaja hanya boleh diluahkan kepada pihak yang layak untuk menyelesaikan masalah itu sahaja. Pihak itu adalah seperti kaunselor, para ustaz atau ustazah, peguam, kawan rapat dan hakim ketika berada dalam kamar mahkamah.

Makruh hukumnya jika kita menceritakan masalah rumah tangga kepada selain pihak ini. Larangan ini bertujuan mengelakkan penyebaran cerita yang tidak benar sehingga menimbulkan fitnah dan mengeruhkan lagi keadaan. Jika ini berlaku, maka hukum berbuat demikian adalah haram kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih besar. Teladanilah perkara yang berlaku kepada Hindun, isteri Abu Sufyan.

Beliau telah datang bertemu dengan Nabi dan mengadu bahawa beliau telah mencuri duit Abu Sufyan untuk membeli keperluan diri dan anak-anak. Katanya: “Aku melakukan ini semua kerana Abu Sufyan sangat kedekut.”

Lantas Baginda bersabda: “Ambillah daripada duitnya sekadar memenuhi keperluan kamu dan anak-anak.” (Riwayat al-Bukhari)

Melalui hadis ini, jelaslah bahawa kita dibenarkan meluahkan masalah rumah tangga atau sebagainya kepada orang yang layak. Walau bagaimanapun, ia mestilah bertujuan mencari jalan penyelesaian dan bukan merumitkan masalah atau menyebarkan fitnah.

Menyindir

SOALAN: Ada seorang kawan saya yang suka menyindir orang di Facebook. Apa hukumnya ustaz?

JAWAPAN: Haram kerana ia dikira perbuatan menghina seseorang dengan kata-kata atau perbuatan yang tidak elok. Selain daripada menyebarkan fitnah, ia akan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar terhadap perpaduan manusia secara umum dan umat Islam secara khususnya.

Atas dasar itu, para ulama seperti al-Qurtubi telah menegaskan bahawa larangan tersebut adalah bersifat umum termasuk kepada Muslim ataupun kafir. Muslim diperintahkan supaya bersatu padu dan dilarang berpecah belah seperti firman-Nya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Oleh itu, umat Islam dilarang tegas daripada menyindir orang lain di laman sosial. Islam menyarankan agar bersemuka untuk menyelesaikan masalah dan berbincang secara jujur. Tidak perlulah kita menguar-uarkan perbalahan yang berlaku di laman sosial dan sebagainya. Ia bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah, malah akan mengeruhkan keadaan.

Private Message

SOALAN: Kami di pejabat selalu bersembang dengan PM (private message) di Facebook. Kawan-kawan sekerja semuanya kaki sembang. Kadang-kadang terfikir juga, bolehkah menghantar mesej peribadi sebegini antara lelaki dan perempuan?

JAWAPAN: Islam tidak pernah melarang lelaki dan perempuan untuk berhubung dalam pergaulan seharian. Hukum berhubung melalui private message ini bergantung kepada isi kandungan pesanan tersebut. Sekiranya ia mengandungi perkara-perkara yang baik seperti urusan kerja dan sebagainya, maka hukumnya harus. Tetapi sekiranya isi kandungan pesanan itu bersifat hubungan peribadi yang bukan bertujuan menyatakan hasrat yang baik seperti meminang atau mengikat tali perkahwinan, maka hukumnya haram. Ini kerana ia boleh menimbulkan fitnah.

Kaedah usul menegaskan: “Menghalang jalan-jalan ke arah kemungkaran adalah lebih baik.”

Mungkin ada yang akan mempersoalkan kenapa ia diharamkan sedangkan komunikasi antara lelaki dan perempuan diharuskan? Jawapannya, larangan ini bertujuan mengawal kedua-duanya daripada terpedaya dengan bisikan syaitan. Syaitan akan sentiasa mendorong lelaki dan perempuan yang berdua-duaan sekalipun bukan duduk bersama untuk melakukan kejahatan.

Seandainya hubungan itu dapat dikawal dengan mengelakkan segala perbincangan yang mempunyai unsur-unsur maksiat seperti umpatan, kejian dan sebagainya, maka ia dibolehkan.

meluah-rasa-di-facebook-1

Jaga Batas

SOALAN: Bolehkah ustaz nyatakan batas-batas pergaulan di laman sosial supaya lebih jelas kepada kami untuk menjaganya?

JAWAPAN: Setiap pergaulan mempunyai batas-batas yang perlu dipelihara. Sekiranya Islam tidak meletakkan batas-batas syarak dalam pergaulan, nescaya umat Islam akan melakukan pelbagai jenis dosa menerusi pergaulan-pergaulan yang mengundang kepada maksiat dan jenayah.

Maka, bagi memelihara umat Islam daripada pelbagai gejala sosial yang berakhir dengan maksiat dan jenayah, Islam telah menggariskan beberapa batas-batas syarak. Batas-batas ini perlu dijaga dalam kita menikmati kemudahan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Batas-batas itu adalah:
#Tidak menyindir orang lain dalam laman sosial.
#Tidak membuka keaiban sendiri atau keluarga.
#Tidak mengatakan perkara-perkara maksiat.
#Tidak menghina orang lain dengan perkataan-perkataan keji.
#Tidak mendedahkan aurat sendiri atau orang lain.
#Tidak menghalalkan perkara yang haram.
#Tidak menyokong kenyataan-kenyataan berunsur fitnah, jenayah, hasutan dan perbalahan.
#Tidak menjadi agen penabur fitnah kepada rakan-rakan laman sosial.

Alangkah baiknya jika umat Islam menjadikan laman sosial sebagai medan untuk:
#Mendakwahi followers ke jalan yang benar.
#Menyampaikan kata-kata nasihat.
#Mengongsi kata-kata hikmah yang boleh memberi keinsafan kepada orang lain.
#Mengeratkan hubungan persahabatan sesama manusia.

Wallahu a‘lam.

Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, UKM. Kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam isu fiqah makanan dan kepenggunaan semasa bagi produk halal. Pernah menetap di Syiria antara tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh itu, beliau sempat berguru dengan ramai ulama Syiria antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Mustafa al-Bugha. Kini
pensyarah UKM.

Kembali ke atas