Menu

 

A+ A A-

HUKUM MENGANGKAT TANGAN SEBELUM SUJUD

SAYA pernah melihat seseorang mengangkat kedua-dua tangannya selepas iktidal dan sebelum sujud. Adakah perbuatan itu sunnah? Adakah terdapat hadis sahih yang memerintahkan perkara tersebut?

RINGKASNYA: Ia bukan sunnah menurut pandangan majoriti ulamak. Memang terdapat beberapa hadis meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. melakukan perkara tersebut. Namun, kesemuanya mengandungi ilat yang melemahkannya.

HURAIAN:

1 Hadis berkaitan mengangkat tangan ketika hendak sujud.

Menurut Ibn Hajar rhm. dalam Fath al-Bari: “Hadis paling kuat yang saya temukan dalam perkara mengangkat tangan sebelum sujud ialah riwayat al-Nasai daripada Said bin Abi Arubah, daripada Qatadah, daripada Nasr bin ‘Asim, daripada Malik bin al-Huwairith bahawa beliau melihat Nabi s.a.w. mengangkat kedua-dua tangannya dalam solat apabila hendak rukuk dan mengangkat kepalanya daripada rukuk, dan apabila hendak sujud dan mengangkat kepalanya daripada sujud.”

Semua perawi hadis ini terpercaya (thiqah), namun hadis ini mengandungi ilat tersembunyi. Kebanyakan riwayat daripada Qatadah hanya menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. mengangkat tangan hanya di tiga tempat sahaja, iaitu apabila Takbiratulihram, rukuk dan iktidal. Demikian diriwayatkan oleh Shu‘bah, Hammad bin Salamah, Abu ‘Awanah dan lain-lain.

Hanya Said bin Abi Arubah bersama-sama segelintir murid Qatadah yang lain menyebutkan “mengangkat tangan sebelum dan sesudah sujud”. Riwayat daripada mereka ini bercanggah antara satu sama lain, dan sebahagiannya tidak menyebutkan perkara tersebut. Mungkin itu sebabnya, apabila al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis ini daripada Qatadah, kedua-uanya tidak menyebutkan lafaz tersebut. Sebaliknya, al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi s.a.w. mengangkat tangan Baginda apabila memulai solat, rukuk dan iktidal. Lalu Ibn Umar berkata: “Dan beliau tidak melakukan itu apabila sujud.”

Riwayat ini jauh lebih kuat. Dan ia membuktikan kekeliruan tambahan lafaz yang diriwayatkan sebahagian murid-murid Qatadah di atas. Menurut al-Hafiz Ibn Rajab dalam kitabnya Fath al-Bari, andai hadis Malik bin Huwairith sahih sekalipun, ia tidak menjadi dalil bahawa mengangkat tangan ketika hendak sujud adalah sunnah. Ini kerana, Malik bin al- Huwairith bukan ahli Madinah, beliau hanya sekali-sekala datang berkunjung.

Kemungkinan beliau hanya menyaksikan Rasulullah s.a.w. melakukannya satu kali sahaja, lalu Baginda tidak mengulanginya lagi setelah itu. Manakala Ibn Umar, beliau selalu bersama-sama Rasulullah s.a.w. sehingga wafat. Apabila beliau menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tidak mengangkat tangan Baginda ketika sujud, ini menggambarkan kebiasaan Nabi s.a.w. yang menjadi sunnah Baginda dalam solat.

angkat-tangan-sebelum-sujud-1

2 Mengangkat tangan ketika hendak sujud bukan sunat menurut keempat-empat mazhab.

Di sini, kita boleh memahami mengapa fuqaha tidak menganjurkan mengangkat tangan apabila hendak sujud. Dalam mazhab Hanafi dan Maliki, mengangkat tangan hanya disunatkan apabila takbiratulihram sahaja. Selain itu, tidak disunatkan lagi mengangkat tangan hingga solat berakhir. Bagi mazhab Syafi‘i dan Hanbali, kedua-duanya sepakat menganjurkan untuk mengangkat tangan pada empat tempat, iaitu ketika Takbiratul ihram, rukuk, iktidal dan setelah bangkit daripada tasyahud awal.

Bagi keadaan sebelum dan sesudah sujud, ia bukan sunnah menurut keempat-empat mazhab ini. Imam Ahmad ditanya: “Bukankah ada riwayat bahawa Rasulullah s.a.w. melakukannya?” Beliau menjawab: “Hadis-hadis ini (yang menafikannya) lebih kuat dan lebih banyak.” Semua ini disebut oleh Ibn Rajab dalam Fath al-Bari.

angkat-tangan-sebelum-sujud-2

3 Ibnu Hazam berpendapat sunat mengangkat tangan ketika hendak sujud.

Bagaimanapun, sebahagian ulama menganjurkan untuk mengangkat tangan sebelum sujud, antaranya Ibn Hazm al-Zahiri. Dalam kitab al-Muhalla, beliau mensahihkan tambahan lafaz yang terdapat dalam hadis Malik bin al- Huwairith, lalu menetapkan hukum sunat mengangkat tangan sebelum dan sesudah sujud.

Berkenaan dengan riwayat Ibn Umar, Ibn Hazm mengatakan bahawa Ibn Umar telah meninggalkan pendapatnya. Beliau lalu meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar al-Umari, daripada Nafi‘ bahawa Ibn Umar mengangkat tangannya ketika hendak sujud. Ibn Hazm berkata: “Sanad ini tidak ada cacatnya. Dan tidak mungkin Ibn. Umar meninggalkan riwayatnya melainkan setelah sahih baginya bahawa Nabi s.a.w. melakukan perkara tersebut.”

Namun, sanad ini mengandungi ilat yang tidak diketahui Ibn Hazm. Al-Bukhari dalam kitab Raf‘ al- Yadain mengatakan bahawa ia bercanggah dengan riwayat yang lebih kuat. Ini disebabkan Malik dan murid-murid Nafi‘ yang lain meriwayatkan bahawa Ibn Umar hanya mengangkat tangannya apabila rukuk dan iktidal sahaja. Adapun sebelum sujud, maka beliau tidak melakukannya.

RUMUSAN: Berkenaan dengan ini, al-Hafiz Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma‘ad berkata: “...Nabi s.a.w. bertakbir lalu terus sujud, dan tidak mengangkat tangan Baginda. Diriwayatkan bahawa baginda mengangkat tangan Baginda juga (apabila sujud), dan disahihkan oleh sebahagian huffaz seperti Ibn Hazm, padahal ia hanya kekeliruan. Sekali-kali tidak sah riwayat itu daripada Baginda s.a.w.” Bagi saya, inilah pendapat yang lebih kuat. Wallahu a’lam.

Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas