Menu

 

A+ A A-

HUKUM MENGGUGURKAN KANDUNGAN

Faktor Pengguguran Janin

SOALAN :Apa pandangan ustaz tentang punca berlakunya pengguguran janin dalam kalangan masyarakat?

JAWAPAN : Pengguguran ialah keguguran janin yang berlaku pada rahim seorang wanita sama ada janin tersebut tidak cukup rupa atau tidak cukup bulan dalam keadaan tidak hidup.

Pada hari ini kita mendengar banyak kes pengguguran janin. Sebenarnya selain daripada factor perzinaan berleluasa yang dilihat sebagai faktor utama, ada juga kes yang berlaku disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti berikut:

 1-Faktor jenayah seperti perut wanita hamil dipukul hingga menyebabkan keguguran.

2-Faktor keselamatan seperti untuk menyelamatkan nyawa ibu apabila doktor menjangkakan bahawa kelahiran janin itu nanti berisiko besar menyebabkan kematian si ibu.

3-Faktor kesihatan seperti wanita yang mempunyai rahim yang lemah dan tidak mampu menanggung janin.

 

SOALAN :Mohon ustaz huraikan berkenaan hokum menggugurkan kandungan demi menyelamatkan nyawa ibu.

JAWAPAN :Sekiranya kelahiran janin itu kelak dijangkakan akan membawa kepada kematian si ibu, maka ulama fiqah membolehkan janin itu digugurkan. Ini kerana menyelamatkan nyawa seorang ibu itu lebih bernilai daripada janin. Tindakan ini juga selaras dengan prinsip fiqah: memilih perkara yang lebih sedikit mudaratnya. Justeru, pengguguran tersebut tidak haram dan tiada sebarang denda dikenakan.

 

Gugur Sebelum Empat Bulan

SOALAN :Apa hukum pasangan suami isteri yang sah sengaja menggugurkan kandungan yang berusia dua bulan kerana mereka tidak merancang untuk menimang cahaya mata lagi? Kandungan tersebut belum mencapai usia empat bulan, maka roh belum ditiupkan lagi.

JAWAPAN :Memang ulama berbeza pendapat dalam masalah menggugurkan janin yang belum

berusia empat bulan. Walau bagaimanapun, pendapat yang terkuat ialah pendapat Imam al-Ghazali dan ulama-ulama yang sependapat dengannya seperti Dr. al-Qaradawi iaitu haram menggugurkan kandungan sejak daripada persenyawaan sperma dan ovum yang dinamakan zigot.

Dan dosa perbuatan itu akan bertambah apabila semakin membesar kandungan tersebut. Pendapat ini patut dipegang oleh semua umat Islam kerana menghormati permulaan insan. Pendapat ini bertepatan dengan hak kemanusiaan. Justeru, saya menasihati para suami isteri yang bercadang untuk menggugurkan kandungan bukan disebabkan faktor keselamatan atau kesihatan agar tidak melakukan perbuatan tersebut.

1

Gugur Kandungan Rogol

SOALAN :Bagaimana pula dengan kes seorang perempuan yang hamil akibat dirogol?

JAWAPAN :Sebahagian besar ulama kita seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr.Ramadan al-Buti dan Dr. Sa‘adudin Hilali memfatwakan bahawa pengguguran janin mangsa rogol adalah harus sebelum tempoh empat bulan. Sekiranya selepas empat bulan, maka hukumnya haram. Ini kerana janin telah ditiupkan roh kepadanya.

Pendapat ini lebih bertepatan dengan rahmat Islam yang sentiasa menjaga perasaan orang yang dizalimi. Ini kerana wanita yang menjadi mangsa rogol kebiasaannya mengalami tekanan perasaan yang tinggi. Maka dibenarkan untuknya menggugurkan kandungan tersebut bagi mengurangkan bebanan perasaan yang menimpanya.

Gugur Kandungan Luar Nikah

 

SOALAN :Adakah ini bermakna bahawa kandungan hasil hubungan luar nikah boleh digugurkan asalkan sebelum berusia empat bulan?

JAWAPAN :Tidak. Menggugurkan kandungan hasil perzinaanadalah haram. Ini kerana perlakuan tersebut hasil daripada perhubungan yang diredai oleh dua-dua pihak. Kaedah fiqah menyatakan bahawa reda dengan sesuatu perkara, bermakna reda dengan implikasinya. Maka wanita yang reda dengan zina, dia mesti reda dengan implikasinya. Ini termasuklah melahirkan anak zina dengan selamat dan tidak membunuhnya. Maka kita nasihatkan kepada mereka yang mengandung anak luar nikah agar tidak menambahkan lagi dosa mereka.

Pil Perancang

SOALAN :Soalan ini sedikit luar daripada tajuk utama. Apakah hokum mengambil pil perancang atau kondom untuk mengelakkan kehamilan?

JAWAPAN :Prinsipnya, merancang keluarga adalah diharuskan sekiranya mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak. Adapun berkaitan kaedahnya, terserah kepada kita sama ada dengan pil, kondom atau sebagainya. Asalkan kaedah tersebut tidak mendatang kemudaratan.

 

                  

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 

 

 

 

 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas