Menu

 

A+ A A-

BEBAS DARIPADA ALLAH

SEORANG isteri memberitahu dia terpaksa menipu suaminya setiap kali ingin balik kampung menziarahi orang tuanya. Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian kerana suaminya tidak berapa suka dia menemui kedua ibu bapanya. Jadi, tidak ada jalan lain baginya selain “curi-curi” balik di belakang suami. Alasan yang sering diberikan, kerja banyak di pejabat atau terpaksa out station.

Cerita di atas saya dengar dari mulut seorang sahabat. Dan dia mendengar luahan isteri itu menerusi radio sebuah stesen yang diminati ramai. Saya tanyakan padanya, bagaimana respons orang ramai yang mendengar?, Beliau menjawab, “Hampir semua menyokong. Malah memberi galakan untuk dia terus berbuat demikian.” Saya diam. Sekali imbas, memang patut si isteri berbuat demikian. Tetapi kemudiannya, saya terfikir, logik kita tidak semestinya sama dengan syariat Allah. Sering kali apa yang kita fikirkan patut, tidak patut pada pandangan Allah.

Apabila dirujuk kepada syariat, apapun alasan dan hujahnya, dia tidak boleh berbuat demikian. Walaupun tegahan suami patut atau tidak patut, ada alasan atau semata-mata emosi, tetapi itu bukan alasan untuk si isteri mengingkari suaminya. Isteri yang solehah mematuhi suaminya walau pun dengan kepatuhan itu dia terpaksa membelakangkan ibu bapanya. Walaupun kepatuhan itu tidak menutup pintu perundingan, namun apabila suami membuat sesuatu keputusan isteri wajib mematuhinya.

Rujuk kepada Syariat

Moral kisah di atas adalah dalam apa juga keadaan, seorang Islam tidak boleh memandai-mandai dalam membuat keputusan. Baik kita sebagai isteri, suami, pemimpin ataupun rakyat, wajib merujuk kepada syariat dalam setiap perlakuan, keputusan dan pertimbangan. Percayalah pada setiap sekecil-kecil perkara hingga kepada sebesar-besarnya, hukum syariat yang lima – wajib (halal), haram, sunat, makruh dan harus sentiasa memantau kita. Apakah sekecil-kecil perkara yang boleh dijadikan contoh? Katalah menguap. Itu satu contoh yang sangat kecil. Bagi sesetengah orang menguap hanyalah soal remeh. Tetapi sebenarnya tidak begitu. Menguap itu pun tertakluk pada lima hukum. Menguap boleh jadi wajib, boleh jadi haram, sunat, makruh atau harus. Bagaimana ya?

Contoh Menguap

Menguap jadi wajib sekiranya dengan tidak menguap boleh memudaratkan tuan punya badan. Katalah kita terlalu mengantuk, menguap adalah tindakan biologi seseorang yang mengantuk. Tetapi oleh kerana kita malu (di khalayak ramai atau di majlis-majlis tertentu), kita menahan diri untuk menguap sehingga ke tahap yang boleh memudaratkan (jatuh pengsan atau sakit kepala). Maka ketika itu wajib kita menguap. Wajib ertinya, perlu menguap dan diberi pahala. Sekiranya tidak menguap jatuh dosa.

Menguap jatuh haram sekiranya kita pura-pura menguap untuk menyakitkan hati orang lain. Katalah semasa mendengar satu ceramah, kita bosan dan benci pada penceramahnya. Lalu kita pura-pura menguap untuk “memberitahu” penceramah bahawa kita benci atau bosan. Menguap ketika itu menjadi isyarat untuk “menghalau” atau menyuruh si penceramah sakit hati dan berhenti. Pada waktu itu menguap jatuh haram. Dibuat berdosa, ditinggalkan berpahala.

Menguap hukumnya sunat jika dilakukan mengikut sunnah Rasulullah, yakni dengan menutup mulut dan membaca ta’awwuz. Ketika itu berdoa kelihatan sopan dan tertib sekali. Bukan sahaja indah dipandang mata manusia, tetapi disukai oleh Allah. Dengan menguap seperti itu, hukumnya sunat. Sangat digalakkan dan diberi pahala.

Menguap hukumnya harus dalam mana-mana posisi tubuh. Harus menguap dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring. Tidak semestinya menguap mesti dalam keadaan duduk. Ertinya, boleh menguap dengan “gaya bebas”. Harus hukumnya.

Bila menguap jatuh makruh? Perbuatan makruh, walaupun tidak haram, tetapi tidak disukai Allah dan hodoh pada pandangan manusia. Menguap jatuh makruh sekiranya dilakukan tanpa sopan misalnya membuka mulut lebar-lebar tanpa menutupnya. Hingga dengan itu kelihatan begitu buruk dan cela dipandang orang. Allah tidak suka cara menguap begitu. Kebencian Allah ke atas perkara-perkara makruh, walaupun tidak berdosa tetapi elok sangat ditinggalkan. Malah, jika ditinggalkan berpahala pula.

Ya, tujuan saya bukan untuk menjelaskan prinsip dan soal-soal kaedah menguap sebenarnya. Tetapi apa yang ingin saya paparkan, sekiranya dalam soal sekecil-kecil seperti menguap itu pun ada lima hukum yang menyuluh, kemungkinan mendapat pahala atau dosa, redha atau murka Allah, apalagi dalam soal-soal yang lebih besar seperti soal makan-minum, berpakaian, mengatur keluarga, mengatur sistem kewangan dan ekonomi, pendidikan, budaya, hiburan hinggalah kepada urusan pentadbiran dan pemerintahan negara.

bebas daripada Allah1

Ingin bebas daripada syariat?

Anehnya, ramai manusia termasuk orang Islam masa kini seolah-olah ingin lepas bebas daripada syariat. Apa yang difikirkan, dipertimbangkan dan diputuskannya tidak langsung dikaitkan dengan syariat. Semuanya berasaskan logik akal dan dorongan emosi. “Pada pendapat saya, pada hemat saya,” Begitulah yang kerap kita dengar. Apabila diperingatkan hidup mesti berpandukan syariat, tidak kurang ada yang merasakan itu seolah-olah mengikat. Tidak merdeka. Ketinggalan zaman. Terlalu ideal. Begitu sesetengah pihak membuat tanggapan.

Bebas daripada syariat, bererti bebas daripada Allah. Dan bebas daripada Allah bererti terikat dengan hawa nafsu. Hawa nafsu akan membawa kepada kemusnahan diri dan orang lain. Bebas tapi terbabas. Kembali kepada cerita isteri dan suami pada awal tulisan ini. Jika suami merujuk kepada syariat, dia tidak akan “sekejam” itu. Bukankah syariat menetapkan ibu dan bapa mentua berkedudukan sama seperti ibu dan bapa kita sendiri? Seorang suami perlu mentaati, mengasihi bahkan menyayangi ibu dan bapa mentuanya dengan sepenuh hati.

Berpandukan syariat si suami tidak akan menjadi pemisah kasih sayang anak (isterinya) dengan bapa dan ibunya (ibu dan bapa mentuanya). Berpandukan syariat juga, seorang isteri tidak boleh “mencuri-curi” menziarahi ibu bapanya kerana membuat sesuatu tanpa izin suami (dalam konteks ini keluar rumah) adalah haram hukumnya. Walaupun hati sangat ingin, tetapi kawallah keinginan itu kerana Allah demi mematuhi suami. Ingatlah, ketika itu si isteri bukan mematuhi suami secara membuta tuli, tetapi hakikatnya mematuhi Allah. Ingatlah, kepatuhan kita kepada suami akan menjadikan kita isteri yang solehah, dan isteri yang solehah akan dapat menyelamatkan kedua ibu bapanya kerana itu merupakan “amal jariah” yang berterusan pahalanya untuk kedua ibu bapa kita.

Pemikiran Tauhid

Pemikiran berasaskan tauhid (tauhidic mindset) perlu ada pada setiap kita. Apabila pemikiran tauhid ini kukuh secara automatik kita akan merujuk kepada syariat dalam apa jua kelakuan dan tindakan. Apabila kita yakin Allah Maha Bijaksana, tergamakkah kita mendahului “kebijaksanaan” kita dengan membelakangkan kebijksanaan-Nya? Bahkan kita akan sentiasa memastikan kebijaksanaan kita yang kecil dan kerdil ini tunduk kepada kebijaksanaan-Nya yang tiada bandingan dan tandingan itu. Hati akan sentiasa terdetik, apa ‘kata’ Allah dalam setiap situasi dan kondisi yang sedang kita hadapi.

Seorang sahabat, pernah menghadiahkan saya sebuah buku Halal dan Haram dalam Islam karangan Dr. Yusuf Qaradhawi dan saya merasa buku yang sarat ayat al-Quran dan hadis itu sangat berguna sebagai teman rapat dalam kehidupan. Menurut ulama, iman itu bukan sekadar kepercayaan dan keyakinan, tetapi tindakan dan kepatuhan. Sungguhpun kekadang kita belum nampak ‘hikmah’ dan kebaikan di sebalik hukum syariat, dan ketika itu hati kita bertanya, kenapa begitu, tidak begini?

Yakinlah, bahawa saat itu sebenarnya akal kita ‘tidak sampai’ buat menjangkau kejituan dan kemurnian syariat. Bukan syariat itu tidak indah, tetapi akal dan hati kita yang rabun atau buta seperti kelelawar yang tidak dapat melihat pada waktu siang. Bukan siang yang tidak cerah, tetapi mata kelawar yang tidak mampu menatapnya!

Jadi setiap kali terasa begitu katakan pada diri, “Ya Allah, aku tidak nampak lagi di mana hikmah-Mu menetapkan demikian. Ilmuku yang terbatas tidak mampu menjangkau ilmu-Mu yang Maha Luas. Tetapi aku tetap yakin. Engkau Maha Benar ya Allah syariatMu tetap benar. ¤

 

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2


 

 

 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas