Menu

 

A+ A A-

BAHAYA KAFIR MENGKAFIR

Gejala Mengkafirkan Orang

Apakah pandangan ustaz mengenai isu kafir mengkafirkan orang Islam?

Jawapan: Mengkafirkan orang satu isu yang besar. Ia tidak boleh diluaskan kerana akan menyebabkan fitnah kepada orang Islam. Inilah manhaj Ahli Sunnah wa al-Jamaah. Meluaskan konsep kekafiran pula sama seperti golongan Khawarij. Mereka sampai mengkafirkan orang Islam yang melakukan dosa-dosa besar. Maka saya di sini ingin nasihatkan orang ramai agar jangan mudah mengkafirkan orang lain. Sebarang isu mesti dirujuk kepada pihak berautoriti seperti mufti terlebih dahulu.

Kerana Isu Khilaf

Saya memerhatikan ada segelintir masyarakat yang berani mengkafirkan orang lain padahal isu yang diperselisihkan itu termasuk dalam kategori khilaf ulama. Apa pandangan ustaz?

Jawapan: Tidak boleh seseorang mengkafirkan orang lain atas sebab khilaf walaupun dalil yang diberikannya memang lemah. Rasulullah mengingatkan kita: “Apabila seseorang itu berkata kepada saudaranya, wahai kafir maka tuduhan itu sama ada akan menimpanya atau menimpa salah seorang daripadanya.” (Riwayat al- Bukhari dan Muslim) Perbuatan melabelkan seseorang itu kafir boleh dihukum takzir kerana ia berbahaya kepada keamanan masyarakat.

KAFIR

Menolak Ijmak Kafir?

Bagaimana pula dalam kes seseorang menolak ijmak. Bolehkah dia dikafirkan?

Jawapan: Ulama usul menyatakan bahawa orang yang mengingkari ijmak tidak kafir cuma fasiq selagi mana masalah ijmak itu tidak bersifat daruri iaitu perkara yang diketahui umum seperti solat lima waktu. Adapun mengingkari ijmak yang tidak diketahui oleh orang awam tidaklah boleh dikafirkan.

Halang Poligami

Sengaja mempertikaikan hukum Allah boleh dikira jatuh murtad. Bagaimana pula dalam kes seorang isteri menghalang suaminya berpoligami?

Jawapan: Hukumnya tidak jatuh kafir kerana dia bukan menolak undang-undang poligami tetapi tidak memberi izin kepada suaminya. Maka secara hukumnya, tidak salah seseorang wanita menghalang suaminya berkahwin dua kerana hukum asal poligami adalah harus. Cuma yang salahnya, sekiranya si suami telah berkahwin lalu si isteri menyuruh suaminya menceraikan madunya. Sepatutnya dia reda dengan ketentuan Ilahi.

Mengkafirkan Kerajaan

Apakah hukum kerajaan yang tidak melaksanakan syariat Allah? Bolehkah ia dikira kafir?

Jawapan: Di sini kita perlu melihat kepada beberapa keadaan yang menyebabkan sesebuah kerajaan tidak melaksanakan undang-undang Islam. Jika:

1. Sengaja meninggalkannya tanpa mengingkari, maka hukumnya fasiq.

2. Sengaja meninggalkannya serta mengingkari, maka hukumnya kafir. Realitinya, sangat sedikit wujud keadaan ini dalam kalangan pemimpin negara-negara Islam.

3. Terdapat halangan seperti ancaman daripada pihakmusuh, maka penangguhan tersebut dianggap sah dan tidak menyebabkan seseorang pemimpin itu fasiq.

Nasihat Ulama

Boleh ustaz sebutkan kata-kata ulama berkaitan isu mengkafirkan ini?

Jawapan: Ya, ramai ulama menyempitkan isu mengkafirkan orang lain antaranya:

KAFIR1

Sebenarnya banyak lagi kata-kata ulama. Saudara boleh rujuk kitab karangan Imam al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir.

Cadangan Penyelesaian

Adakah ustaz mempunyai pandangan dan cadangan dalam menyelesaikan isu ini?

Jawapan: Saya melihat masalah terjadi kerana kebanyakan mereka yang terbabit belajar secara bersendirian atau dengan rakan-rakan. Mereka tidak datang belajar dengan ulama-ulama yang jujur dan sederhana. Maka jalan yang terbaik:

1. Masyarakat awam perlu mengambil ilmu daripada ahlinya. Jangan hanya bergantung

kepada kefahaman sendiri yang selalunya melencong daripada kefahaman sebenar.

2. Ilmuwan hendaklah memperbanyakkan dialog harmoni sesama mereka dalam sebarang isu khilaf yang timbul. Di samping itu, utamakan kaedah ihtiyat (berhati-hati) dalam melabelkan seseorang. Sentiasalah bersangka baik sesama kita. Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas