Menu

 

A+ A A-

WASATIYYAH DALAM DIMENSI DAKWAH

SOALAN: Kali ini saya ingin bertanya kepada ustaz berkaitan konsep dakwah dari perspektif wasatiyyah. Boleh ustaz jelaskan terlebih dahulu tentang makna dakwah?

JAWAPAN

Secara ringkasnya, dakwah bererti menyeru manusia kepada Allah Taala, kebaikan dan akhlak-akhlak yang baik. Ia bertepatan seperti yang dinyatakan dalam al-Quran: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan?” (Surah Fussilat: 33)

Dr. Yusuf al-Qaradawi mempunyai buku bertajuk Thaqafah al-Daiyah yang sangat bagus untuk dibaca. Dalam buku itu, beliau mendefinisikan dakwah kepada Allah sebagai:

“Dakwah kepada agama-Nya, mengikut petunjuk-Nya, berhukum dengan manhaj-Nya di muka bumi ini, mengajak kepada mengesakan Allah dengan beribadat, memohon pertolongan kepada-Nya dan melakukan ketaatan. Menyeru kepada pembersihan diri daripada taghut, membenarkan apa yang dibenarkan Allah, menentang perkara yang dilarang Allah, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan berjihad di jalan Allah.”

Hakikatnya, dakwah Islam begitu luas. Tetapi dalam masa yang sama, ia memerlukan pendakwah yang berkelayakan bagi menggerakkan Islam.

Ulama dan Pendakwah

SOALAN: Boleh ustaz terangkan perbezaan antara ulama dan pendakwah?

JAWAPAN

Soalan ini sangat relevan. Dengan mengetahui perbezaan antara ulama dan pendakwah, kita akan mengetahui tempat rujukan, nasihat, peringatan dan juga fatwa. Ulama yang pakar ialah ulama yang memenuhi kesemua rukun ilmu.

Rukun ilmu terbahagi kepada lima:

  1. Pelajar
  2. Guru
  3. Kitab
  4. Manhaj
  5. Bidang ilmu

Apabila seseorang telah melepasi peringkat-peringkat ini melalui latihan oleh ulama-ulama yang berkelayakan, maka dia layak digelar ulama yang boleh menyampaikan ilmu dengan penuh amanah.

Hal ini berbeza dengan pendakwah. Mereka tidak disyaratkan dengan rukun-rukun tersebut. Yang penting bagi pendakwah adalah mempunyai maklumat yang baik dan tepat. Kemudian dia menyampaikan maklumat tersebut dengan amanah untuk mengajak orang ramai kepada Islam.

Maka di sini saya simpulkan bahawa semua ulama ialah pendakwah tetapi bukan semua pendakwah ialah ulama. Masyarakat hendaklah mengetahui erti ulama atau pendakwah supaya mereka mengenali golongan ulama yang boleh dijadikan sumber rujukan. Begitu juga pendakwah yang boleh dijadikan sebagai pemberi semangat dan penyeru kepada kebaikan.

wasatiyyah-dalam-dimensi-dakwah-2

Ciri Wasatiyyah

SOALAN: Jadi, apakah ciri-ciri wasatiyyah yang perlu dibawa oleh seseorang pendakwah supaya dia boleh dijadikan contoh dan ikutan yang baik?

JAWAPAN

Dakwah adalah warisan peninggalan para Nabi termasuklah Nabi Muhammad kepada umat Islam. Maka dalam menyambung perjuangan menyebarkan ajaran Islam yang ditinggalkan Baginda, para pendakwah sangat memerlukan manhaj wasatiyyah bagi menggambarkan keindahan Islam tanpa sebarang elemen ekstrem dan liberal.

Antara tujuan-tujuan syariah (maqasid syar’yyah) adalah memberi gambaran yang cantik kepada Islam. Ini sesuai sebagaimana sabda Nabi: “Agar golongan Yahudi mengetahui bahawa dalam Islam ini terdapat keluasan.” (Riwayat Ahmad)

Ciri–ciri wasatiyyah yang menggambarkan Islam yang sebenar adalah:

  1. Mengutamakan dakwah tabsyir (berita gembira) ke atas tanfir (berita yang menyebabkan umat lari daripada Islam).
  2. Mengajak kepada dialog yang berhikmah.
  3. Pembawaan Islam yang syumul.
  4. Tetap matlamatnya dan fleksibel pendekatannya.

Suka Mengharamkan

SOALAN: Ada sesetengah golongan yang suka mengharamkan sesuatu perkara. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN

Sesungguhnya golongan yang suka mengharamkan sesuatu perkara tanpa bukti dan dalil boleh dianggap sebagai golongan ekstrem. Pendekatan sebegini bercanggah dengan tujuan (maqasid) agama yang inginkan kemudahan bagi umatnya. Firman Allah: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah: 185)

Penyakit Pendakwah

SOALAN: Kredibiliti seorang pendakwah terserlah apabila tampil dengan imej kemas dan idea bernas yang mampu mempengaruhi golongan yang didakwahkannya. Tetapi perlu diketahui juga, apakah sifat-sifat yang boleh meruntuhkan kredibiliti seseorang pendakwah?

JAWAPAN

Berdasarkan konsep wasatiyyah, di sini saya senaraikan beberapa sifat yang perlu dielakkan oleh para pendakwah:

  1. Berfikiran jumud (tidak terbuka).
  2. Tidak meraikan kebudayaan masyarakat yang tidak bercanggah dengan syariat.
  3. Gopoh dalam melakukan perubahan.
  4. Kasar dalam percakapan.
  5. Taasub kepada diri sendiri dan kumpulannya sehingga tidak mahu mengambil kebaikan daripada orang lain.
  6. Mengkafirkan dan menuduh orang lain membuat bidaah.

Bukan Penghukum

SOALAN: Saya pernah mendengar ungkapan “Kita Pendakwah Bukan Penghukum” (Nahnu Du’at La Qudhah) daripada seorang pendakwah. Apa maknanya ustaz?

JAWAPAN

Ini adalah satu istilah yang cukup popular dalam kalangan pendakwah. Fungsi utama pendakwah adalah menyeru masyarakat kepada Allah dan agama-Nya dengan perkataan dan perbuatan yang baik. Sayangnya, jarang sekali ia dapat dilaksanakan.

Seseorang pendakwah mestilah sentiasa tersemat di mindanya tanggungjawab memberikan galakan melakukan kebaikan, bukan menghukum atau melabelkan orang. Dia tidak akan menghukum seseorang dengan mudah melainkan dengan bukti yang kukuh. Bahkan dia lebih suka kepada dialog berhikmah berbanding menghentam dan melabel orang lain.

Ingatlah madah indah daripada Saidina Ali yang masyhur: “Janganlah kamu meruntuhkan binaan orang lain (kepercayaan), sebaliknya kamu binalah istana (ajaran) yang baru yang lebih cantik. Lalu mereka melihat istana tersebut, kemudian mereka meruntuhkan istana mereka dan masuk ke istana kita.”

Imam Hasan al-Banna, seorang pengasas pergerakan Ikhwanul Muslimin pernah berkata: “Kami akan memerangi manusia dengan cinta.”

Wallahu a‘lam.

wasatiyyah-dalam-dimensi-dakwah-3

 USTAZ AHMAD FAUWAZ FADZIL NOOR

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas