Menu

 

A+ A A-

KINI MASA UNTUK E-DAKWAH

SOALAN: Saya terbaca satu artikel menarik di sebuah blog yang menyatakan perkembangan teknologi memberi ruang yang cukup besar bagi perkembangan dakwah. Mungkin ustaz ada informasi berkaitan perkembangan ini yang ingin diketengahkan?

Saya cadangkan para pembaca menelusuri halaman Google Zeitgeist. Di dalamnya terdapat ratusan pencarian (query) yang paling kerap dan paling banyak ditanya oleh manusia melalui enjin pencarian Google. Jika dikaji, apakah perkara yang paling banyak dicari sejak pertama kali kemunculan Google? Jawapannya adalah “Who Is God?” dan “What Is Love?”

Ternyata manusia tidak lagi mencari Tuhan di altar-altar suci pemujaan, tidak juga di masjid dan kuil. Manusia pada abad digital ini mencari hakikat Tuhan dan cinta dalam berbilion kod binari yang berselirat benang terpilin menjadi sebuah sistem Internet yang menjalar tanpa henti. Manusia moden kini mencari dan mengenal Tuhan mereka dalam format pdf, exe, mp3 atau wma.12.

Fakta lain yang didedahkan oleh Pew Internet and American Life Project menerusi kajian CyberFaith: How Americans Pursue Religion Online pula menunjukkan kebangkitan sekitar 28 juta “Religion Surfers” di Amerika Syarikat. Mereka menggunakan Internet untuk mendapatkan informasi keagamaan dan spiritual serta membangunkan hubungan sesame pelayar Internet dalam perjalanan keimanan mereka.

Mengapa Internet?

SOALAN: Fakta-fakta daripada Google Zeitgeist dan bancian Pew Internet dan American Life Project ini memberikan satu pandangan baru bahawa Internet merupakan tempat subur untuk pengembangan agama. Persoalannya, mengapa Internet dan bukan media massa lain?

Dalam sebuah kajian mengenai “kehilangan Internet” (Internet Deprivation) yang dilakukan oleh Optimum Media Direction (OMD) dengan biayaan Yahoo menunjukkan bahawa amat sukar para penagih Internet untuk berpisah dengan Internet. Beberapa orang peserta yang dijadikan sampel kajian telah diminta untuk tidak menggunakan Internet selama dua minggu. Mereka diberikan buku kosong dan alat tulis untuk meluahkan perasaan mereka selama tidak menggunakan Internet. Dapatan kajian ini menunjukkan majoriti peserta menulis ekspresi kekecewaan dalam buku mereka.

Bruce R. Hopkins dalam The Nonprofits’ Guide to Internet Communication Law telah menyebut ciri-ciri unik Internet yang tiada pada media komunikasi massa lain. Antaranya:

Struktur binaan Internet adalah decentralized (tidak dimiliki oleh mana-mana central authority secara mutlak). Ia merupakan jaringan daripada beberapa jaringan yang direka tanpa memerlukan pengawal (gate keeper). Pengguna Internet bebas bersuara atas sifat Internet itu sendiri yang informasinya melimpah ruah (abundant). Media komunikasi massa yang lain lazimnya amat terbatas isi kandungan dan bahan-bahannya sama ada dikawal oleh pemerintah, penyunting atau pengarang.

Internet sangat ekonomik kerana penggunanya dapat mengirim pesanan ke ratusan bahkan ribuan orang melalui e-mel dengan kos yang murah serta dapat berkomunikasi melalui lamanlaman web secara percuma.

Dakwah dan Internet

SOALAN: Terdapat beberapa negara yang memandang Internet sebagai sumber keburukan. Apa pandangan ustaz?

Fathul Wahid menyebut dalam bukunya E-Dakwah: Dakwah Melalui Internet; penyebaran, kemajuan dan perkembangan teknologi Internet telah berlaku dalam tempoh yang sangat luar biasa berbanding teknologi komunikasi moden yang lain. Internet telah digunakan oleh seperempat penduduk di Amerika Syarikat hanya dalam tempoh tujuh tahun selepas kewujudannya. Berbanding teknologi perhubungan lain seperti telefon bimbit yang memerlukan 13 tahun untuk berkembang, komputer 16 tahun, radio 22 tahun, televisyen 26 tahun, telefon 35 tahun, elektrik 46 tahun dan kereta 55 tahun.

Dalam masa yang sama, kelahiran teknologi juga telah menghadirkan beberapa lagi bentuk media baru iaitu media digital. Media ini juga telah mengubah pola pemikiran manusia sehingga melahirkan e-mel yang mengubah cara konvensional berutus surat. Turut dikembangkan selepas itu sistem e-business atau e-commerce yang telah merubah teknik berniaga termasuk e-cash atau e-money. Begitu juga e-learning yang menawarkan cakerawala baru dalam proses pembelajaran, disusuli dengan e-book yang mengubah media pembelajaran. E-government pula telah membuka babak baru pengelolaan pihak kerajaan dan mekanisme hubungan antara kerajaan dengan rakyat.

kini-masa-untuk-e-dakwah-2

Dengan perkembangan sebegini, tidak dinafikan wujud dilema yang dihadapi negara dunia ketiga, khususnya negara-negara Islam. Sebahagiannya memilih untuk memusuhinya, menjauhkan atau menyingkirkannya dengan kerangka sensor. Ada juga yang mengharamkannya sama sekali menggunakan hujah buku-buku tulisan ilmuwan yang berkaitan.

Prospek Dakwah Malaysia

SOALAN: Bagaimana ustaz melihat peluang dakwah melalui Internet di Malaysia secara khasnya?

Satu kajian dalam talian berkaitan perilaku telah dijalankan oleh firma TNS dengan mewawancara seramai 50,000 orang responden di 46 buah negara. Hasil dapatan mereka menunjukkan hampir setiap rakyat Malaysia memiliki rakan di pelbagai laman sosial (Facebook, Friendster, MySpace, Tagged, HI5) yang teramai iaitu 233 orang berbanding Brazil (231), Norway (217), China (68) dan Jepun (29). Rakyat Malaysia juga didapati paling lama berinteraksi dengan rakan laman sosial iaitu sembilan jam seminggu berbanding Rusia (8.1 jam) dan Turki (7.7 jam).

Laman SocialBakers.com pula melaporkan Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia iaitu seramai 11,816,200 orang dengan kadar penembusan 69.91 pengguna Internet. Sebanyak 6.4 juta pemilik akaun adalah kaum lelaki dan 5.4 juta adalah wanita. Dari segi peratusan umur, didapati 76% adalah golongan berumur 18-44 tahun yang jumlahnya mencecah 8.9 juta orang.

Sesungguhnya horizon dakwah terbentang luas, seluas dunia Internet yang tiada sempadan. Jangan hanya menunggu peluang muncul di televisyen, radio atau masjid barulah ingin mula berceramah. Apa kata kita semarakkan lagi penyebaran Islam dengan e-dakwah? Bayangkan jika daripada 11.8 juta pengguna Facebook ini, seorang pendakwah mendapatkan 500 orang followers sahaja untuk ditarbiah dan dididik. Masya-Allah! Selamat berdakwah dalam talian.

Wallahu a‘lam.

USTAZ BADLI SHAH ALAUDDIN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Artikel berkaitan: « SEDEKAH YANG BARAKAH
Kembali ke atas