Menu

 

A+ A A-

ADAB GUNA GAJET CANGGIH

Keghairahan masyarakat menggunakan pelbagai gajet mutakhir ini kadangkala sangat membimbangkan. Terutamanya apabila alat-alat canggih ini digunakan tanpa had serta jauh daripada adab-adab yang diajarkan oleh Islam. Saya ingin mendapatkan panduan mengenai adab-adab yang perlu dijaga ketika menggunakan pelbagai gajet seperti telefon pintar (smart phone), i-pad, tablet dan sebagainya?

Jawapan

Alhamdulillah. Tahniah saya ucapkan atas sifat cakna yang ditunjukkan. Saya bersetuju dengan kebimbangan yang saudara nyatakan. Walau bagaimanapun, kebimbangan ini sebenarnya boleh diatasi sekiranya kita memahami bahawa adab perlu sentiasa dijaga dalam setiap perbuatan kita. Terlalu banyak adab yang Islam ajarkan kepada umatnya, daripada sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besarnya.

adab-guna-gajet-canggih-4

Maka dalam menggunakan gajet, prinsip menjaga adab tetap sama, Cuma bentuknya berbeza. Saya nyatakan beberapa adab menggunakan gajet untuk sama-sama kita amalkan:

1. Berusaha sedaya upaya agar tidak menyakiti orang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung. Elakkan daripada menelefon rakan-rakan pada waktu yang tidak sesuai. Peliharalah maruah mereka dengan tidak mendedahkan aib mereka, memuat naik gambar-gambar yang tidak sewajarnya, menyebarkan cerita palsu dan sebagainya.

2. Pastikan kesahihan nombor telefon yang dihubungi. Ini untuk mengelakkan gangguan secara tidak sengaja kepada seseorang yang sedang tidur, sakit atau apa-apa situasi yang tidak sesuai untuk dihubungi.

3. Tidak memanjangkan perbualan selain perkara penting dan bermanfaat. Apatah lagi jika perbualan tersebut dicemari dengan dosa mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.

4. Pelihara diri daripada tergolong dalam golongan yang mudah dan suka menekan butang forward lalu menyebarkan maklumat, berita, gambar, persoalan-persoalan yang berkaitan dengan agama tanpa memastikan kesahihannya.

5. Gunakan nada dering yang baik dan mesra telinga. Pastikan hanya gambar-gambar sopan menghiasi skrin gajet. Ia secara tidak langsung menggambarkan keperibadian anda.

6. Elak daripada membiarkan nada dering telefon bimbit dalam keadaan berbunyi kuat khususnya ketika mendirikan solat, mesyuarat dan majlis ilmu. Lebih baik letakkan telefon dalam mod senyap terlebih dahulu.

7. Manfaatkan gajet di tangan semaksimumnya. Alunan ayat suci al-Quran adalah aplikasi wajib yang perlu ada. Rajin-rajinlah mendengar pengisian ilmu Islam yang boleh dimuat turun supaya boleh didengar pada waktu-waktu senggang.

Ringkaskan Salam

Mestikah saya memulakan dengan ucapan salam setiap kali membuat panggilan telefon, SMS, Whatsapp dan lain-lain?

Jawapan

adab-guna-gajet-canggih-5

Ya, itulah adab yang terbaik. Seseorang yang memulakan panggilan, SMS, Whatsapp dan sebagainya wajar memulakan dengan ungkapan salam terlebih dahulu. Ucapan Assalamu’alaikum warahmatullah ialah tahiyyah (ucapan penghormatan) Allah Taala, para malaikat-Nya dan para rasul-Nya kepada orang-orang yang beriman di dalam syurga.

Ucapan salam sebelum memulakan perbualan adalah merupakan Sunnah Rasulullah yang mulia. Sesiapa yang tidak suka atau berasa susah untuk mengamalkannya, dikhuatiri termasuk ke dalam golongan yang tidak menyukai sunnah Nabi.

Ibadah Terabai

Apa pandangan ustaz tentang fenomena masyarakat sekarang yang terlalu teruja dan ghairah dengan pelbagai gajet canggih sehingga ibadah, keluarga dan masyarakat terabai dan tidak dipedulikan sama sekali?

Jawapan

Mari kita hayati sebuah kisah dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari yang menceritakan bahawa Salman al-Farisi menegur sahabatnya Abu Darda’ agar memberikan hak yang sewajarnya kepada semua pihak yang berhak. Kata Salman kepada Abu Darda’: “Sesungguhnya untuk Tuhanmu ada haknya, untuk dirimu ada haknya dan untuk keluargamu juga ada haknya. Maka berikanlah hak yang sewajarnya kepada pihak-pihak yang berhak menerima haknya.”

Selepas peristiwa tersebut, Abu Darda’ menceritakannya kepada Rasulullah. Baginda telah mengiakan perkara yang disebut oleh Salman dengan sabda Baginda: “Benarlah Salman.”

adab-guna-gajet-canggih-3

Dalam kisah ini, Ummu Darda’ iaitu isteri kepada Abu Darda’ mengadu kepada Salman al-Farisi tentang hal diri dan keluarganya yang terabai disebabkan penumpuan Abu Darda’ kepada ibadah-ibadah sunatnya. Jika dalam perkara sunat pun kita dilarang daripada melampau-lampau sehingga mengabaikan hak keluarga, maka apatah lagi dalam keasyikan menggunakan gajet dan peralatan canggih ini.

Lihatlah anak-anak kecil kita yang belum pandai bercakap tetapi tangannya sudah lancar meluncur di papan skrin. Pasti kita tidak mahu membayangkan anak-anak kita nanti yang hanya mesra dengan gajet, namun tidak sesama insan di sekelilingnya.

Janganlah hendaknya alat-alat ini membawa perpecahan keluarga dan rosaknya institusi kekeluargaan. Lebih parah apabila ibadah wajib dan segala tanggungjawab kepada Allah juga terkorban.

Semoga Allah memelihara kita semua daripada tergolong dalam golongan yang lalai.

Wallahu a‘lam.

USTAZ SALEHUDDIN ABU SAMAH
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas