Menu

 

A+ A A-

CARTA NAMA PILIHAN

CARTA NAMA PILIHAN                            

Saya berazam untuk memberikan nama yang terbaik buat anak-anak saya. Mohon nasihat ustaz.

Para ulama ada menggariskan panduan dalam memberikan nama yang terbaik buat anak-anak. Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid menyatakan bahawa dalam memilih nama anak yang terbaik, terdapat lima martabat seperti pada gambar rajah berikut:

Carta Lima Martabat Nama Yang Mulia Di Sisi Islam

 first p

Nama Terlarang

Adakah terdapat nama-nama larangan yang ditetapkan dalam syariat?

Saya memerhatikan ada trend menamakan anak dengan nama selebriti dan artis dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini secara bebas sekali. Sesungguhnya Islam agama yang sempurna. Segala kebaikan dan keburukan pasti akan ada penjelasannya di sisi agama kita. Perkara sepenting menamakan anak ini pastinya tidak akan ditinggalkan oleh agama kita yang serba lengkap ini.

Para ulama telah menggariskan beberapa nama larangan sebagaimana berikut:

1.Menggabungkan nama yang bermaksud hamba (abdul) kepada selain daripada Allah. Hukumnya adalah haram secara mutlak. Contohnya seperti meletakkan nama seperti Abdul Rasul, Abdul Nabi, Abdul Kaabah dan sebagainya.

2.Memberi nama anak dengan nama orang kafir dan nama tersebut memang kebiasaannya digunakan oleh orang-orang bukan Islam dan jelas menunjukkan identiti mereka seperti Beckham, Elvis, Madonna dan Diana.

3.Memberi nama anak dengan nama berhala atau sebarang sembahan orang kafir seperti Uzza, Naielah dan lain-lain lagi. Bagi sesiapa yang telah dinamakan dengan nama-nama seperti yang tersebut, maka wajib menggantikannya dengan nama yang lain.

Abdul Rahman bin Auf menceritakan: “Namaku sebelum ini Abdul Kaabah (menurut satu riwayat). Apabila aku memeluk Islam, Rasulullah menamakan aku dengan nama Abdul Rahman. (Riwayat al-Hakim)

Adab Memilih Nama Anak

Saya bakal menimang cahaya mata yang pertama pada hujung tahun ini, alhamdulillah. Saya dan isteri telah berbincang berkenaan dengannya. Namun mungkin ada adab-adab yang patut kami turuti tetapi terlepas pandang. Mohon nasihat ustaz.

Didoakan semoga saudara dan isteri bakal menerima zuriat yang soleh dan solehah yang memberi manfaat kepada kedua-dua ibu bapanya di dunia dan di akhirat, insya-Allah.

Benar sekali, memilih nama anak pun ada adabnya. Maka adalah sangat baik, pasangan suami isteri yang ingin memberikan nama kepada anak yang baru lahir mengambil berat perkara-perkara berikut:first p2

1.Mengetahui bahawa nama yang bakal diberikan kepada anak akan sentiasa memberi kesan kepada anak sepanjang hidupnya. Boleh jadi nama yang tidak sesuai dan tidak elok yang dinamakan itu akan menyebabkan si anak menghadapi pelbagai kesusahan, kurang senang dan tidak selesa dalam kehidupannya.

2.Menilai nama yang bakal dipilih dari pelbagai sudut seperti kesesuaian nama itu sendiri dan keelokan maksudnya serta mudah untuk disebut.

3.Memilih nama yang disepakati oleh kedua-dua suami dan isteri. Pada dasarnya, memberi nama anak ialah hak seorang ayah menurut syarak. Hal ini disebabkan bahawa nama anak tersebut akan dinisbahkan kepadanya. Namun demikian, sangat digalakkan kepada si ayah agar melibatkan sekali si ibu dalam urusan memilih nama anak.

4.Memilih nama yang baik maknanya menurut syarak dan bertepatan dengan sebutan yang betul dalam Bahasa Arab.

Maka adalah sewajarnya kepada ibu bapa agar meminta nasihat daripada seseorang yang alim dan arif dalam ilmu agama dan Bahasa Arab sebelum memberikan nama kepada anak yang baru lahir.

Ada satu pepatah Arab berbunyi: “Hak kepada anak ke atas bapanya: agar dipilih ibu yang mulia, diberikan nama yang baik dan diwariskan akhlak yang mulia kepadanya”.

Wallahu a‘lam.

 

               Ustaz Salehuddin Abu Samah

                                             Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas