Menu

 

A+ A A-

MENDAMPINGI ANAK REMAJA ELAK MENJADI LIAR

Ditulis oleh 

Anugerah Allah s.w.t. yang tidak ternilai kepada pasangan ibu dan bapa ialah zuriat atau anak-anak.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa menyempurnakan amanah memelihara dan mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna yang berbuat baik di atas muka bumi ini dan tidak mengingkari perintah Allah s.w.t.

Mengurus anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah, kerana jika anak tidak diasuh dan dididik dengan sempurna padahnya sangat berat, terutamanya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Pada tahap ini anak-anak akan melalui zaman transisi kealam kedewasaan yang biasanya kerenah mereka ini sukar difahami.

Hal ini adalah kerana mereka terlalu berahsia atau tidak mahu berterus terang dengan ibu bapa apabila menghadapi masalah. Mereka lebih suka memendam rasa dan ada sesetengah daripadanya mencurahkan isi hati padaorang lain dan lazimnya kepada rakan-rakan yang sebaya dengan mereka.

Mencurahkan isi hati kepada rakan tidaklah menjadi kesalahan, tetapi, sekiranya rakan-rakannya itu adalah dari kalangan mereka yang mempunyai peribadi yang buruk, ditakuti akan merosakkan pembentukan peribadi anak tersebut seperti terlibat dengan najis dadah, berpelesiran atau merayau-rayau ke sana sini, melepak, pergaulan terlalu bebas dan lain-lain.

Bagi menjamin keperibadian yang tinggi dalam kalangan anak remaja sewajarnyalah ibu bapa berperanan sebagai sahabat atau kawan kepada anak-anak. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membolehkan ibu bapa menjadi kawan kepada anak-anak remaja mereka.

Pantau gerak geri harian

Ibu bpa hendaklah sentiasa memerhatikan perilaku dan gerak-geri harian anak remajanya dengan mengambil masa yang sesuai untuk bertanyakan masalah mereka. Dengan cara ini, kedua ibu bapa mengetahui masalah yangdihadapi oleh anak mereka. Apabila masalah dan perasaan anak dapat diselami mudahlah si ibu atau bapa itu mendampinginya dan menjadi sahabat atau kawan kepada mereka

Jangan terlalu cerewet

Ibu bapa juga janganlah terlalu cerewet dalam menghadapi anak-anak remaja. Umpamanya, janganlah terlalu sangat hendak mencungkil rahsia peribadi anak remaja. Terlalu mencungkil rahsia boleh menjauhkan atau merenggangkan lagi anak-anak daripada kedua orang tuanya. Dalam usia remaja, anak-anak berada dalam proses membentuk keperibadiannya sendiri dan mereka selalunya tidak suka orang lain hatta ibu bapanya sendiri mengetahui hal-hal peribadi mereka.

Tidak terlalu mengongkong

Sekiranya anak remaja terlalu diawasi menyebabkan mereka berasa terkongkong. Mengongkong pergerakan mereka boleh merenggangkan hubungan antara merka dengan ibu bapa, dan mereka akan merasakan diri mereka tidak diberi kepercayaan, sekali gus akan membentuk perasaan rendah diri dan tidak berkeyakinan. Akibatnya anak-anak remaja ini akan mudah hilang pertimbangan apabila berada di luar pemerhatian ibu bapa, dan mudah menjadi liar atau terlibat dalam perkara-perkara negatif.

Ambil berat

Ambil berat berkenaan masalah yang dihadapi oleh anak-anak remaja. Suara mereka jangan dipandang remeh atau tidakdiendahkan. Beri peluang kepada anak-anak untuk menyuarakan rasa hati dengan kerelaan. Apa yang dirasakan betul, tidak salah jika ibu bapa menyetujuinya. Dan, jika sebaliknya, perbetulkanlah atau berikanlah nasihat dengancara yang baik, bukan dengan menengking atau pun menolak bulat-bulat.

Jadi kawan

Anak-anak remaja boleh didampingi atau dijadikan kawan seandainya ibu bapa pandai mengambil hati mereka. Pelbagai cara boleh dilakukan, umpamanya, ibu bapa mengajak sama mereka dalam merundingkan sesuatu hal atau masalah dalam keluarga.Jadikan anak-anak remaja sebagai orang pertama untuk mendengar segala masalah yang timbul dalam keluarga.

Cara begini dapat menimbulkan perasaan tanggungjawab pada keluarganya. Secara tidak langsung, tentunya akan menambahkan lagi keakraban anak tersebut dengan kedua ibu bapanya.

Hormati minat dan hobi mereka

Ibu bapa juga boleh memenangi hati anak-anak remaja dengan menghormati minat atau hobi yang disukai oleh anak-anak.

Rangsangan dan dorongan bolehlah diberikan kepada anak-anak misalnya dengan cara ibu bapa sendiri turut sama menyertai hobi mereka. Umpamanya, jika anak remaja suka memancing, maka bapa juga hendaklah turut serta ke tempat anak-anak memancing.

Luangkan masa

Ibu bapa juga hendaklah meluangkan masa bersama anak remaja mereka.

Misalnya, pada waktu lapang, ajak anak-anak berkumpul dan dalam masa yang sama bertukar tukar fikiran serta beramah mesra dengan mereka. Pada masa begini juga ibu bapa berpeluang mendekati atau mengenali hati budi anak-anak remaja dan secara tidak langsungakan mengeratkan hubungan antara keduanya.

Pada masa bersama-sama anak itu, ibu bapa bapa boleh mendalami isi hati mereka sekali gus dapat memberi nasihat kepada anak-anak. Dalam keadaan tenang yang sebegitu tentunya anak-anak akan mudah menerima nasihat dan tunjuk ajar daripada bapa.

Zaman penuh pancaroba

 Zaman remaja merupakan zaman peralihan menuju alam dewasa, suatu zaman yang penuh pancaroba. Remaja juga amat sensitif kepada suasana sekelilingnya, Ibu bapa harus memahami keadaan ini dan berusaha menyesuaikan diri dengan pengaruh emosi dalam diri anak mereka. Dengan memahami anak remaja, ibu bapa akan dapat mewujudkan hubungan mesra dengan anak.

Hubungan mesra inilah yang dapat berperanan dalam mewujudkan sebuah keluarga bahagia yang akan pula membentuk keperibadian yang mulia dalam kalangan anak-anak, yang sangat-sangat dikehendaki kerana generasi muda masa kini adalah modal insan kepada pembangunan negara yang juga bakal pewaris kepimpinan masa hadapan.

 

 

Izani Hj Daud

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Read 5791 times