Menu

 

A+ A A-

GEJALA MURTAD DI KALANGAN REMAJA

Ada seorang pelajar pra-universiti yang pernah dirujukkan kepada saya oleh bapanya. Ia tertarik kepada agama Kristian lantaran agama kristian sebagai agama yang ‘penyayang’ dan ‘ihsan’ kepada manusia. Pada masa yang sama, ia tidak ada asas yang kukuh tentang Islam.

Alhamdulillah, beliau telahpun kembali ke pangkuan Islam semula. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, bapanya membawa beliau berjumpa dengan beberapa orang ustaz termasuk saya bagi memberikan nasihat. Walaupun sudah kembali Islam, namun saya melihat masih terdapat beberapa persoalan yang masih bermain-main di benak pemikirannya. Saya kongsikan beberapa perbincangan kami di sini untuk kemanfaatan ramai.

Membuat Perbandingan antara agama.

Remaja itu menceritakan bahawa ia asalnya hanya ingin membuat perbandingan antara agama Islam dan Kristian. Saya bertanya kepadanya: “Sudahkah kamu mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap agama Islam sebelum mendalami agama Kristian? Cukupkah kefahaman tauhid yang kamu miliki sebelum mendalami konsep ketuhanan dalam agama baru? Bagaimana pula dengan al-Quran, sudahkah selesai dibaca dan difahami sebelum mendalami Bible?

Ia menjawab: “Belum.”

“Jika belum faham Islam, bagaimana kamu dapat membuat perbandingan antara Islam dan Kristian?”

Saya menjelaskan kepadanya: “Kamu tidak adil kepada Islam. Kamu lahir sebagai Muslim, tetapi tidak pernah belajar atau mengamalkan Islam. Bagaimana kamu dapat membuat pilihan yang tepat jika kajian kamu hanya tertumpu pada satu agama sahaja?

Kristian agama kasih sayang, Islam tidak?

Remaja itu mengatakan, sebab dia tertarik dengan agama Kristian ialah kerana Kristian agama kasih sayang, sedangkan Islam tidak.

“Betulkah ungkapan ini?” soal saya.

Saya tidak dapat nafikan ini berpunca daripada cara kita menyampaikan agama Islam itu sendiri. Islam hanya dikaitkan dengan halal-haram dan syurga-neraka. Ada di kalangan pendakwah kita sendiri, suka berbicara tentang hal ini sehingga ia sinonim dengan para agamawan kita.

Sedangkan Islam tidak sedemikian. Cuba kita lihat dakwah Rasulullah. Semasa 13 tahun di Makkah, Nabi banyak menumpukan sudut pengukuhan akidah dan pembentukan akhlak. Kedua-duanya menjadi menjadi agenda utama dakwah Baginda pada masa itu.

Apabila seorang Arab badwi kencing di masjid, Rasulullah tidak mengherdik atau menghalau, akan tetapi menegur dan berbicara lembut. Ini untuk mengajar para sahabat dan seluruh umat Baginda. Tidakkah kesemua ini membuktikan Islam agama ‘rahmat’ dan kasih sayang?

Kemusykilan tidak terjawab

Belia yang saya jumpa ini mempunyai banyak persoalan yang tidak terjawab tentang Islam. Sama ada berkaitan dengan aspek ketuhanan, kenabian, hal-hal ghaib dan lain-lain. Ia termakan segala apa yang ditulis di media massa tentang Islam, iaitu Islam menyokong keganasan dan tidak menghormati wanita.

Kesemua isu-isu ini tidak dapat dijawab oleh ibu bapa mereka atau mereka yang rapat dan berada di sekeliling dan persekitaran mereka. Dengan itu, para ibu bapa perlu memantau anak-anak dan mengenal pasti cara pemikiran mereka. Jika tidak berupaya menjawab kemusykilan mereka, rujuklah kepada guru agama yang mampu berbicara dalam hal ini. Ajaklah mereka membincangkan isu-isu yang menjadi kekeliruan di benak mereka ini.

Orang Kristian memeluk Islam

Saya bertanya kepadanya: “Kalau agama Kristian begitu baik dan sempurna, mengapa terdapat orangorang Kristian yang murtad juga? Mengapa tidak dipelajari dan ditanya mengapa mereka tinggalkan agama Kristian? Kenapa tidak kita tanya mereka, apakah yang membuatkan mereka tertarik untuk memeluk agama Islam?”

Saya melanjutkan, sungguh rugi jika kita yang dilahirkan Muslim tetapi ingin menganut agama lain, sedangkan orang bukan Islam berlumba-lumba ingin masuk ke dalam agama Islam.

Sirah Rasulullah

Akhir sekali, saya menggesa beliau untuk mengkaji sejarah hidup Rasulullah. Pelajari keperibadian Baginda apabila berdepan dengan masyarakat Islam dan bukan Islam, teman mahupun musuh. Banyak sekali pelajaran yang boleh diambil daripada riwayat hidup Rasulullah.

Sebelum ingin mendalami agama lain, bacalah dahulu kisah hidup Rasulullah. Saya sudahi sesi saya dengan menghadiahkan buku tentang sirah yang bertajuk The Messenger karangan Tariq Ramadan kepadanya untuk dibaca.

Usah singkirkan mereka

Apapun, kita hanya mencuba. Keputusan akhir adalah daripada individu itu sendiri. Jika ia tetap dengan pendiriannya, tiada apa yang dapat dilakukan kecuali berdoa agar ia kembali ke pangkal jalan. Dan yang paling penting, usah sesekali berputus asa. Jangan sebagai ahli keluarga kita singkirkan mereka.

Apabila berinteraksi dengan teman atau saudara kita yang tertarik dengan agama lain, diskusilah bersama mereka. Elakkan perbincangan sehala, yakni kita sahaja yang bercakap. Akan tetapi, libatkanlah mereka. Cuba fahami sebab di sebalik keputusan mereka keluar daripada agama Islam. Ajaklah mereka berfikir bersama dan persoalkan apa yang mereka fikirkan. Itu lebih baik daripada kita berbincang isu syurga-neraka, dosa besar dan sebagainya.

Dan jika mereka tetap dengan keputusan mereka, tidak mengapa. Teruskan hubungan dengan mereka. Insys-Allah, jika satu hari mereka punyai kesulitan, mereka tahu siapa yang perlu mereka rujuk. Mereka masih tetap punya teman, saudara, ibu ataupun bapa. Tidak mustahil orang sebegini akan kembali kepada agama asalnya iaitu Islam.

Wallahu a‘lam.

MOHD YUSRI YUBHI MD YUSOFF.

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19

 


 

Mohd Yusri Yubhi Md Yusoff

Seorang ustaz dan kaunselor dari Singapura. Lulusan Universiti Al-Azhar (Hadis), Sarjana UM (Hadis) dan Diploma Spesialis (Psikologi Kaunseling) dari Academy of Certified Counsellors di Singapura. Kini Pengarah Eksekutif di Persatuan Guru Agama dan Ulama Singapura (PERGAS). Kenali beliau melalui laman blognya abahyasir.com.

Kembali ke atas