Menu

 

A+ A A-

MENCARI KEBAHAGIAAN DI SEBALIK CINTA

CINTA ialah anugerah Ilahi kepada setiap insan. Insan yang tidak memiliki rasa cinta ialah insan yang tidak normal. Manusia tidak dapat lari daripada perasaan cinta. Oleh sebab itu, tidak hairanlah al-Quran mengutarakan cinta sebagai sesuatu yang fitrah yang bergolak dalam setiap jiwa.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dihiaskan bagi manusia itu kecintaan tentang apa yang menyenangkan iaitu daripada wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada emas dan perak, kuda-kuda pilihan, haiwan ternakan dan tanaman.” (Surah Ali ‘Imran 3: 14) Manusia mencari cinta untuk mencari kebahagiaan. Cinta di alam rumah tangga ialah cinta yang penuh keberkatan dan cinta yang diredai. Cinta ada pasang surutnya. Ada ketika, cinta itu suram dan hambar. Setiap yang terjadi kepada cinta perlu dinilai dan digilap agar ia kembali bersinar.

Ada Apa dengan Cinta?

Penting sangatkah cinta? Kalau tak penting, manusia takakan bersusah-payah mencarinya.

Mengapa cinta begitu penting? Tidak lain dan tidak bukan kerana cinta ialah kunci kebahagiaan dan ketenangan hidup. Kebahagiaan adalah antara elemen terpenting dalam kehidupan. Semua orang ingin bahagia. Tidak ada manusia yang bercita-cita untuk derita. Seorang penulis pernah bertanya kepada anaknya, “Apa citacita kamu apabila besar kelak?”

Anaknya menjawab, “Saya ingin menjadi seorang profesor.”

Penulis itu bertanya lagi, “Profesor dalam bidang apa?”

Anaknya menjawab, “Profesor kebahagiaan.”

Cita-cita untuk bahagia memang cita-cita yang mulia.

Tidak guna duit banyak jika tidak bahagia. Seandainya hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tak pernah hadir. Untuk apa memilih hidup kecewa?

Seorang pujangga pernah berkata tentang hakikat kebahagiaan:

Rumahnya bertingkat-tingkat
Wangnya berlipat-lipat
Kasutnya berkilat-kilat
Pasangannya cantik memikat
Badannya sihat walafiat
Tapi bahagia tak dapat
Kerana hidup macam nak kiamat
Sana sini gamat.

Dalam Hati Ada Cinta

Cinta akan terbina dengan baik jika hati kita bersih dan ikhlas. Oleh sebab itu, cinta yang tercerna nampak dalam kelakuan dan tingkah laku kita sebenarnya bermula dari hati. Jika perkahwinan itu berlaku secara paksa tanpa ada sekelumit pun rasa reda dan suka, maka istana yang dibina akan cepat punah. Apatah lagi jika perkahwinan itu terbina atas dasar cinta yang dicemari dengan maksiat, maka makin cepatlah ia berkubur. Istana kebahagiaan alam rumah tangga yang terbina akan cepat musnah jika tidak dibajai.

Cinta Fotokopi

Cinta tidak  boleh ditiru dengan begitu mudah. Ia perlu dibina dan disemai dengan baik agar ia subur. Oleh sebab itu, jika kita bercinta hanya kerana ingin fotokopi daripada cinta orang lain, ia akan kabur. Cinta fotokopi ialah cinta yang lahir tanpa perasaan yang ikhlas. Cinta mestilah berdasarkan asas yang kukuh.

Cinta juga khususnya cinta antara pasangan yang masih belum diikat dengan ikatan yang sah (akad nikah) perlu melalui adab dan peraturan syariat. Islam tidak mahu melahirkan cinta terlarang iaitu cinta yang melanggar hukum.

Cinta Terlarang

- Berdua-duaan di tempat sunyi atau tempat mencurigakan.
- Berpegangan tangan dan berpelukan.
- Bertemu tanpa ditemani mahram.
- Tidak menjaga adab berpakaian.
- SMS yang keterlaluan dan membazir wang dan masa.
- Telefon yang terlalu kerap.
- Keluar menonton wayang bersama.
- Bercakap perkara-perkara yang tidak perlu.
- Menaiki kereta atau motor berdua-duaan.


Ramai pasangan bercinta atau bertunang tidak rasmi dan rasmi menganggap pertunangan merupakan tiket untuk melakukan semua perkara yang melampaui batas. Awas dan jaga-jaga dengan tipu daya syaitan. Sebab itu hadis Rasul mengingatkan tentang fitnah wanita terhadap lelaki, begitu juga sebaliknya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang lebih mudarat ke atas lelaki daripada wanita.” (Riwayat al-Bukhari)

Bagi menggilap cinta yang pudar, bagi membajai bunga-bunga di taman hati setiap individu dan pasangan, bagi membentuk rumah tangga bahagia, bagi mencapai cita-cita slogan “Rumahku Syurgaku”, maka setiap pasangan perlu berusaha ke arah itu.

Prinsip asas dalam mewarnai rumah tangga bahagia berdasarkan kaedah hidup bersama secara baik. Suami isteri mesti hidup hormat-menghormati, bantu-membantu dan bekerjasama. Firman Allah s.w.t., yang bermaksud, “Dan bergaullah dengan isteri kamu dengan cara yang baik.” (Surah al-Nisa’ 4: 19) ¤

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5


Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Berkarier sebagai pendakwah dan sering muncul di tv sebagai panel jemputan Forum Perdana TV1, juga al-Kuliyyah, Motivasi Pagi, al-Hidayah, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Halaqah di TV9. Sentiasa mendapat undangan ceramah, membentang kertas kerja dan seminar di seluruh negara dan di Brunei. Juga sebagai kolumnis beberapa majalah antaranya Anis, Harmoni, Nona dan Mingguan Wanita. Telah melahirkan lebih 40 album pelbagai tajuk (agama, motivasi dan tip) dalam bentuk VCD, CD dan kaset. Dianugerahkan "Outstanding Achievement" dalam penjualan album daripada Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Artikel berkaitan: « MUSIM CINTA SUDAH BERLALU
Kembali ke atas