Menu

 

A+ A A-

MUSIM CINTA SUDAH BERLALU

Perkahwinan dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggungjawab.

Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang mengirim SMS berisi kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu.

Mungkin hanya sepatah “okey”, “ya” atau “tidak” sahaja yang tertera di layar telefon bimbit. Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri.

Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dikira. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali!

Memang begitulah resmi lelaki. Semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan. Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi... semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.

Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta. Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu. Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya, cinta itu pasti diuji.

SOAL CINTA- MUSIM CINTA SUDAH BERLALU Pahrol Mohamad Juoi - SOLUSI 6 2Suami Jadi Ahli Falsafah?

Seorang sahabat saya secara bergurau menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila berumah tangga, sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci apabila bergelar suami. Mengapa?

Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita penyengap menjadi peleter yang tidak pernah rehat.

Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam. Kesukaran tugas dan beban tanggungjawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!

Rupa-rupanya ketawa yang besar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan. Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan rumah tangga.

Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati. Benarlah kata hukama, perkahwinan dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggungjawab.

Apa maksud tanggungjawab? Ia satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita “tanggung” di dunia, “disoal” di akhirat dan mesti kita “jawab” di hadapan Allah s.w.t. kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggungjawab.

Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.

Cinta Itu Alat

Kita sering diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya adalah untuk mencari keredhaan Allah. Rumah tangga hakikatnya ialah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredhaan-Nya.

Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat. Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Apabila ini menjadi asas dan terasnya, maka itu lah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggungjawab.

SOAL CINTA- MUSIM CINTA SUDAH BERLALU Pahrol Mohamad Juoi - SOLUSI 6 1

Cinta dan Tanggungjawab

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggung jawab. Gabungan kedua-duanya yang melahirkan rumah tangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggungjawab, lambat-laun cinta akan luntur dan rumah tangga akan terkubur. Sebaliknya, jika ada tanggungjawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumah tangga. Umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggungjawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan. Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggungjawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggungjawab yang mampu bertahan ketika cuaca rumah tangga tenang ataupun bergelombang.

Warna Sebenar Pasangan

Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insane lain yang belum pernah kita kenali. Hairan melihat perubahannya? Jangan rasa hairan kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah. Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan.

Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama-sama sebagai suami isteri. Proses perkenalan antara pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga. Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.

Oleh sebab itu, tunggu apa lagi? Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan “fail lama” untuk mencipta keserasian baru. Terimalah hakikat bahawa minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini. Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.

Bila Tarikan Seksual Menurun

MUSIMMembina cinta ketika tarikan fizikal dan keinginan seksual sudah menurun memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman? Ertinya, kembali kepada Allah. Percayalah keadaan yang serba-serbi tak kena, hilang tumpuan, kurang selera makan, tidak ada “mood” untuk bercerita dan berbicara adalah bukti terhakisnya ketenangan dalam hati. Dan itu semua adalah berpunca daripada lalai dan alpanya hati daripada zikrullah (mengingati Allah). Firman Allah yang bermaksud:

“Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)

Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggungjawab. Walaupun terasa berat mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu ialah satu sedekah.

Walaupun terasa sukar mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah... dan terus tersenyum di hadapan suaminya kerana menyedari senyuman itu ialah satu sunah. Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.

Ya, apabila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggungjawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan ketenangan dan kebahagiaan akan kembali harum dan mewangi!

Tip untuk Rasa Bertanggungjawab

  • Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita ialah milik Allah, bukan milik kita.
  • Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
  • Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
  • Sering melakukan solat Istikharah dan solat Hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
  • Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggungjawab dengan perintah Allah.
  • Takutkan neraka dan bimbanglah seksa-Nya jika mengabaikan tanggungjawab.
  • Apabila suasana terlalu sukar, bisikkan dalam hati: “Ini semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.”

 

 

Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas