Menu

 

A+ A A-

IBN HAZM AL-ZAHIRI

Nama

Abu Muhammad Ali bin Ahmad bin Said. Beliau terkenal dengan gelaran Ibn Hazm al-Zahiri. Mazhab Zahiri ialah sebuah mazhab yang tidak menerima qias sebagai sumber hukum. Ulama besar ini berasal dari negeri Andalus (kini Sepanyol).

Kelahiran

Ibn Hazm dilahirkan pada hari terakhir bulan Ramadan tahun 384H, selepas terbit fajar sebelum terbit matahari. Negeri kelahirannya ialah Cordoba, sebuah bandar kosmopolitan Islam yang sangat masyhur pada abad keempat hijrah.

Keluarga Ibn Hazm cukup kaya dan terkenal. Sejak lahir, beliau terbiasa dengan kehidupan yang serba cukup. Namun begitu, kelebihan itu tidak memalingkannya daripada menuntut ilmu dengan rajin dan bersungguh-sungguh.

Guru-guru

Ahmad bin Hasur, Yahya bin Mas’ud dan lain-lain. Ibn Hazm belajar ilmu mantik (logik) daripada Muhammad bin al-Hasan al-Muzhaji.

Kerana Malu

Suatu hari, Ibn Hazm datang ke masjid untuk menghadiri solat jenazah. Waktu itu usianya telah mencapai 26 tahun. Setelah masuk, beliau terus duduk. Seseorang menegurnya: “Bangun. Solatlah dua rakaat tahiyatul masjid!” Ibn Hazm bangkit, lalu solat dua rakaat.

Selepas upacara pengebumian, mereka kembali lagi ke masjid. Ketika itu waktu asar telah habis. Kali ini, apabila masuk ke dalam masjid, Ibn Hazm terus berdiri untuk melakukan solat tahiyatul masjid. Seseorang menegurnya lagi. Ia berkata: “Duduk, duduk. Saat ini tidak boleh melakukan solat sunat.”

Ibn Hazm berkata: “Lalu aku pulang ke rumah dengan sedih. Aku meminta kepada guru yang mengajarku: Tunjukkan kepadaku rumah Abu Abdillah bin Dahun, seorang pakar fiqah.”

ibn-hazm-al-zahiri-2

“Aku mendatanginya lalu menceritakan kepadanya kisah yang berlaku pada diriku. Lalu beliau mengajarkan kitab al-Muwatta’ kepadaku. Aku terus membaca kitab itu bersamanya hingga khatam. Aku terus menimba ilmu daripadanya dan ulama yang lain selama tiga tahun.”

Pujian

Al-Ghazali berkata: “Aku pernah menemui sebuah kitab karangan Ibn Hazm yang berisi kajian tentang Asmaul Husna. Kitab ini menunjukkan keluasan hafalan dan kecerdasan penulisnya.”

Al-Zahabi berkata: “Ibn Hazm adalah kemuncak dalam kecerdasan, hafalan dan luas wawasan ilmu. Asalnya ia seorang pengikut mazhab Syafii. Lalu berpindah kepada mazhab Zahiri, menafikan qias dan berpegang kepada baraah asliyah dan hukum umum. Beliau menguasai banyak cabang ilmu. Beliau sangat tekun beragama, warak, zuhud dan menjaga kejujuran.”

Izzuddin bin Abdul Salam berkata: “Aku tidak pernah melihat dalam sejarah Islam sebuah kitab ilmu yang menandingi al-Muhalla Ibn Hazm dan al-Mughni Ibn Qudamah.”

Dibenci

Salah satu kekurangan Ibn Hazm terdapat dalam kata-katanya. Beliau sangat tajam mengkritik setiap orang yang berbeza fahaman dengannya secara lisan ataupun tulisan. Sehingga Abu al-Abbas bin al-Arif berkata: “Lisan Ibn Hazm dan pedang al-Hajjaj adalah bersaudara.”

Sikap ini tentu sahaja menerbitkan kebencian di hati orang lain. Manusia memang tidak menyukai seseorang yang kasar dalam ucapannya walau setinggi mana pun ilmunya. Ibn Hazm diusir dari negerinya dan buku-bukunya diharamkan untuk dibaca. Bahkan, masyarakat membakar buku-buku karangan Ibn Hazm semasa hidupnya.

Al-Zahabi berkata: “Ibn Hazm seorang ulama besar. Ia telah menghimpun alat-alat ijtihad. Sebahagian masalah yang beliau fatwakan telah sempurna dikaji, dan ada juga yang lemah dalilnya. Perkara ini berlaku kepada para ulama yang lain. Pendapat setiap manusia boleh diterima ataupun ditinggalkan melainkan Rasulullah.”

Kitab-kitab Karangan

Antara buku-buku karangan Ibn Hazm yang masih bertahan sehingga hari ini ialah:

  • Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam
  • Al-Muhalla
  • Al-Fasl fi al-Milal wa al-Nihal
  • Izhar Tabdil al-Yahud wa al- Nasara lil Kitabayn al-Taurah wa al-Injil
  • Maratib al-Ijmak

Kewafatan

Ibn Hazm meninggal dunia pada bulan Jamadilawal tahun 457H.

Wallahu a‘lam.

ibn-hazm-al-zahiri-3

UST. UMAR MUHAMMAD NOOR

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas