Menu

 

A+ A A-

HUKUM SEKITAR PENJAGAAN KECANTIKAN

Mengejar Kecantikan

Hari ini semua orang ingin kelihatan cantik. Ada kalanya kaum lelaki lebih beri-ia dalam hal ini hingga ada gelaran lelaki jelita. Apa pandangan Islam tentang trend mengejar kecantikan pada hari ini?

Jawapan: Sesungguhnya konsep kecantikan satu perkara yang harus dan digalakkan dalam Islam dengan syarat tidak membawa kepada kerosakan dan kemudaratan. Kecantikan suatu yang disukai oleh fitrah.

Pembedahan Kosmetik

Apa hukum melakukan pembedahan kecantikan?

Jawapan: Menurut Dr. Ali al-Qurrah Daghi, pembedahan kecantikan ialah pembedahan yang berkaitan dengan bentuk rupa dengan tujuan untuk memulihkan kecacatan yang berlaku secara semula jadi atau disebabkan kemalangan yang memberikan pandangan tidak elok pada seseorang oleh masyarakat. Pembedahan kecantikan boleh dikategorikan kepada dua jenis:

1. Pembedahan yang bersifat darurat iaitu keperluan. Contoh: Pembedahan wajah mangsa yang disimbah asid. Pembedahan sebegini ialah satu keperluan antaranya agar wajahnya kembali kepada rupa asal. Maka pembedahan ini diharuskan.

2. Pembedahan bersifat pilihan tanpa sebarang darurat atau hajat. Contoh: Pembedahan mencantikkan hidung dan membesarkan payu dara. Satusatunya motivasi di sebalik tindakan ini adalah menginginkan kecantikan tambahan. Pembedahan ini dilarang.

Rambut Palsu

Bolehkah saya memakai rambut palsu dengan niat untuk kelihatan cantik di hadapan suami. Saya mengalami masalah keguguran rambut yangk ronik.

Jawapan: Untuk menentukan hukumnya, kita perlu kenal pasti jenis rambut palsu itu sama ada rambut manusia sebenar atau selainnya. Sekiranya rambut palsu itu diambil daripada rambut manusia, maka hukumnya haram kerana ia dilarang oleh Nabi dan mencemar kemuliaan manusia. Sekiranya rambutnya palsu itu bukan daripada rambut manusia, maka terdapat tiga pendapat ulama.

MEKAP1

Tanam Rambut

Bagaimana jika saya menjalani rawatan menanam rambut untuk mengatasi masalah keguguran rambut saya?

Jawapan: Boleh. Prinsipnya dibolehkan bagi sesiapa yang keguguran rambut untuk menanam rambut dengan tujuan mengembalikan ke rupa asalnya.

Bulu Lebat

Saya menghadapi masalah bulu roma lebat di bahagian muka sehingga kelihatan bermisai dan berbulu kening bercantum. Bolehkah saya mencukur bulu-bulu itu?

Jawapan :Berkata guru saya Dr. Ali al-Qurrah Daghi, hukum menipiskan kening atau membuangnya adalah haram. Namun kalau dengan niat untuk memperelok kening yang tebal supaya kelihatan normal, maka ia tidak menjadi satu kesalahan. Begitu juga dalam masalah membuang janggut atau misai bagi wanita.

Wanita Botakkan Kepala

Apakah hukum seorang wanita membotakkan kepala?

Jawapan: Terdapat dua pendapat:

1. Makruh bagi wanita mencukur kepalanya tanpa ada sebarang darurat seperti faktor sakit.

2. Haram secara mutlak jika dengan niat melakukan perubahan bentuk atau meniru gaya lelaki. Tindakan ini termasuk dalam larangan mengubah ciptaan Allah.

Tatu

Apakah hukum membuat tatu? Sekiranya seseorang itu bertaubat, adakah dia wajib membuang tatunya?

Jawapan: Para ulama bersepakat bahawa membuat tatu adalah haram. Ini termasuk dalam perbuatan mengubah kejadian Allah. Tambahan pula, tatu yang ada pada badan itu dikira najis menurut sebahagian ulama. Asasnya, kerana ia bercampur dengan darah. Bagi orang yang bertatu kemudian bertaubat, dia wajib membuang tatunya sekiranya tidak mendatangkan kemudaratan. Namun jika terdapat kemudaratan ke atas dirinya, maka tatu tidak wajib dibuang.

Suntikan PRP

Bolehkah saya mengambil suntikan PRP?

Jawapan: Setakat yang saya tahu, PRP ialah platelet rich plasma yang digunakan untuk merawat penyakit dan rawatan kecantikan. Ketika ini, ia merupakan pendekatan baru yang digunakan sebagai alternatif selain daripada botox dan tidak memberi kemudaratan.

Sekiranya penggunaan PRP ini digunakan untuk rawatan penyakit seperti jantung dan sebagainya, maka hukumnya harus kerana ia termasuk dalam anjuran syarak agar berubat. Namun sekiranya ia digunakan untuk tujuan kecantikan, maka hukumnya haram. Ulama telah menetapkan satu prinsip bahawa sebarang rawatan kosmetik yang mengekalkan termasuk dalam perkara yang haram. Perbuatan ini juga dikira sebagai mengubah ciptaan Allah dan boleh berlaku penipuan sekiranya ia dilakukan oleh orang berumur. Maka kita melihat bahawa rawatan kecantikan PRP termasuk dalam kaedah ini dan ia adalah terlarang berdasarkan prinsip di atas. Jadi penggunaannya hanya terbatas untuk rawatan-rawatan penyakit sahaja.

 

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas