Menu

 

A+ A A-

DEMOKRASI BERPARLIMEN TERJEMAH SYURA

Bolehkah kita katakan bahawa sistem politik yang diamalkan di Malaysia sekarang sebenarnya bertepatan dengan konsep syura yang dianjurkan Islam?

Jawapan : Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia juga boleh dinilai melalui dimensi pengamalan konsep syura yang amat-amat dituntut dalam Islam. Menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab, syura membawa maksud proses pertukaran pendapat secara kolektif untuk mencapai keputusan. Dalam konteks tata kelola pula, syura lebih membawa maksud penglibatan orang ramai dalam proses membuat keputusan. Syura merupakan nilai yang paling utama dalam konsep politik Islam. Ayat al-Quran yang membincangkan syura memuji pengamalan syura dan menyifatkannya sebagai kualiti kepimpinan dalam Islam.

Konsep Syura Konteks Moden

Melihatkan kepada pengamalan Rasulullah s.a.w. dan juga konsep-konsep yang dibawa oleh hadis-hadis Baginda juga, kita akan mendapati bahawa setiap individu umat diberikan hak dan upaya (empowered) melalui tanggungjawab yang telah Allah s.w.t. berikan kepada mereka. Malah melalui ayat-ayat al- Quran mengenai syura seperti dalam surah Ali Imran ayat 159 dan surah al-Syura ayat 38, kita akan dapati bahawa Allah menyuruh Rasulullah melibatkan sebilangan besar sahabat dalam membuat keputusan. Langkah yang sama juga dapat dilihat dalam sirah Rasulullah. Baginda melibatkan seramai mungkin sahabat dalam proses membuat keputusan. Maka bolehlah disimpulkan bahawa syura yang sepatutnya diamalkan dalam kerangka politik Islam adalah dengan memberikan hak dan upaya kepada warga dalam proses membuat keputusan. Ia juga amalan para Khulafa’ al-Rasyidin dalam pentadbiran mereka.

Melalui kefahaman syura yang lebih terbuka ini, proses membuat keputusan mestilah melibatkan seramai mungkin individu yang mampu untuk memberikan pandangan mereka. Konsep syura yang memberikan hak dan upaya kepada individu dalam proses membuat keputusan ini dipanggil sebagai politik warga sivil”.

Syura Asas Pilihan Raya

Muhammad Imarah mengatakan bahawa ayat 59 surah al-Nisa’ yang menyuruh umat Islam mematuhi Allah, Rasul dan uli alamri (pemimpin) itu menunjukkan erti sebenar syura. Ayat yang berbunyi uli al-amri minkum yang bermaksud pemimpin daripada kalangan kamu membawa maksud daripada kalangan kamu yang telah kamu pilih. Perkataan minkum juga menurut al-Ghannoushi bererti memilih pemimpin daripada kalangan kamu melalui syura sebagai manifestasi ketaatan kepada Allah dan Rasul. Maka ketaatan dan kepatuhan kepada uli al-amri itu terikat dengan kadar kepatuhan dan ketaatan mereka kepada Allah dan Rasul. Jika uli alamri gagal melaksanakan amanah yang telah Allah dan Rasul-Nya berikan, maka dia tidak layak lagi ditaati dan dipatuhi. Uli al-amri juga tidak terhad kepada ketua negara semata-mata. Sesetengah ahli tafsir mengatakan uli al-amri itu merujuk kepada para ulama. Pentafsiran yang lain pula merujuk kepada sesiapa sahaja yang telah diberikan tanggungjawab. Maka tidak kira siapa sama ada dia seorang suami, bapa, ketua jabatan, pengurus, guru dan segala yang semakna dengannya dikira sebagai uli alamri.

Syura Teras Idealisme Demokrasi

Konsep syura mencerminkan dinamisme dan hak dan ruang masyarakat sivil. Inilah idealisme pengamalan demokrasi yang sebenar menurut al-Turabi. Melalui proses syura, setiap individu Muslim dapat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Al-Ghannoushi juga menegaskan bahawa proses membuat keputusan dengan syura mencerminkan konsep persamaan antara warga dan hak mereka untuk terlibat dalam membuat keputusan secara kolektif. Ini selari dengan makna syura yang disampaikan oleh ayat 38 surah al-Syura iaitu untuk hidup dalam proses perbincangan kolektif, istiqamah dan bertawakal kepada Allah.

Syura juga membawa refleksi bahawa Islam menggalakkan sesuatu keputusan untuk diambil secara kolektif. Keputusan hasil suara yang lebih ramai itu lebih baik daripada keputusan seorang ataupun kelompok yang lebih kecil. Bertitik tolak dari premis inilah, Muhammad Imarah mengatakan bahawa pengamalan syura merupakan suruhan syarak yang berbentuk imperatif. Konsep syura ini dengan jelas dapat diamalkan dalam kerangka demokrasi berparlimen melalui system pilihan raya, parlimen, kebebasan bersuara, kebebasan berpolitik dan menubuhkan parti politik, kebebasan berpersatuan dan juga pembahagian kuasa agar tidak dimonopoli oleh sesetengah pihak tertentu sahaja.

Syura dalam Politik Malaysia

Konsep syura inilah yang dapat dicernakan dengan kebebasan politik yang dijamin bagi setiap warga Malaysia pada artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. Malah sistem parlimen dan pilihan raya yang diamalkan di Malaysia sebenarnya merupakan sebahagian daripada pengamalan konsep syura. Jika tidak secara keseluruhanpun, sekurang-kurangnya ia membawa semangat syura pada konsepnya dan perlaksanaan dasarnya. Masakan tidak, dalam parlimen, pihak eksekutif (kerajaan) melalui menteri-menteri kabinet akan dipersoalkan oleh ahli parlimen berkaitan prestasi dan pencapaian mereka. Dalam waktu yang sama juga, penggubalan undang-undang melalui perbincangan di peringkat dewan rakyat dan kemudiannya diperhalusi di peringkat Dewan Negara juga menepati konsep asas prinsip syura.

Begitu juga konsep majlis raja-raja sebagai sebuah kuasa tradisional yang wujud seiring dengan kuasa rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Ia mencerminkan penyelarasan kuasa melalui konsep permesyuaratan dan perkongsian kuasa juga bertepatan dengan konsep asas syura yang dibawa oleh Islam. Malah sistem pilihan raya yang berlangsung dalam tempoh lima tahun sekali itu juga pilihan rakyat untuk memilih wakil mereka di parlimen juga bertepatan dengan konsep syura yang terbuka.

 

Wallahu a‘lam.

Dr. Maszlee Malik

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

 

Dr. Maszlee Malik

Sarjana Fiqah dan Usul Fiqah, Universiti Al al-Bayt, Sarjana UM. PhD, Universiti Durham dan pernah menjadi pensyarah di universiti tersebut. Kepakaran dan tumpuan begitu terserlah dalam kajian tentang politik Islam semasa. Aktif menulis dan antara buku beliau Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin dan Road To Beirut.

Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam antarabangsa dan fiqh kontemporari. Sehingga kini, beberapa buah buku tulisan beliau sudah diterbitkan antaranya Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin, Aspek-Aspek Keislaman, Road To Beirut, Soal Jawab Remaja Islam, dan disertasi sarjananya yang bertajuk Hukum Talfiq Dalam Muamalat. Kini pensyarah UIAM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas