Menu

 

A+ A A-

MENGINGKARI IBU DEMI KETAATAN KEPADA ALLAH

KEPUTUSAN Saad bin Abu waqqas memeluk islam tidak berjalan mudah tanpa rintangan, tetapi pemuda ini harus merasakan rintangan pengalaman yang paling pahit dan keras. kerana begitu pahit dan kerasnya pengalaman Saad, Allah s.w.t. menurunkan ayat-ayat al-quran berkaitan dengannya. mari kita hayati cerita saad tentang pengalamannya itu:

“Tiga hari sebelum masuk islam, saya bermimpi seolah-olah diri saya tenggelam dalam kegelapan yang sangat pekat. Ketika saya terumbang-ambing di dalam gelombangnya, tiba-tiba muncul bulan memancarkan sinar terang sehingga saya terus mengikutinya. Tetapi pada ketika itu saya melihat beberapa orang telah mendahulu saya mengikuti arah sinar bulan tersebut. saya melihat Zaid bin Harithah, Ali bin Abi Talib, dan Abu Bakar as-siddiq.

Lalu saya bertanya kepada mereka: ‘sejak bila pula kamu semua berada di sini?’ Mereka menjawab, ‘Baru sahaja.’ Pagi itu, saya mendengar Rasulullah s.a.w. mengajak manusia memeluk islam secara diam- diam. saya sedar bahawa Allah menghendaki kebaikan untuk saya dan akan mengeluarkan saya dari kegelapan menuju cahaya yang terang.

Saya segera mencari Rasulullah s.a.w. dan menemuinya di daerah Jiyad ketika baru sahaja selesai melaksanakan solat Asar. Ketika itu juga, saya menyatakan diri memeluk islam dan saya dapati tiada orang yang mendahului saya memeluk islam selain dari tiga orang yang saya lihat di dalam mimpi semalam.”

Ibu mogok lapar

Saad meneruskan ceritanya memeluk islam, “Apabila ibu saya mendengar bahawa saya telah memeluk islam, dia langsung naik pitam. Persoalannya, saya termasuk pemuda yang berbakti dan sangat menyintai ibu. Ibu berkata kepada saya, ‘Hai Saad, agama apa yang baru kamu peluk dan telah memalingkanmu dari agama ibu dan ayahmu? Demi Allah, kamu hendaklah meninggalkan agama baru itu. Jika tidak, ibu akan mogok makan dan minum sampai mati.

Ketika itu, hatimu akan tersayat kerana sedih dengan keadaanku. Engkau akan menyesali keputusanmu itu dan semua orang akan mencaci makimu sepanjang masa.’

saya menjawab, ‘Wahai ibu, janganlah ibu lakukan itu, kerana saya tidak akan meninggalkan agama ini dengan sebab apa pun!’ ibu saya membuktikan ancamannya.

Dia mogok makan dan minum selama berhari-hari sehingga tubuhnya menjadi kurus dan lemah. Selama itu saya tetap mengunjunginya berkali-kali dan mohon agar dia mahu makan atau minum walau hanya sedikit. Namun dia menolaknya mentah-mentah dan bersumpah tidak akan minum sampai mati, kecuali jika saya meninggalkan agama islam. Saya mula merasa bimbang sesuatu yang buruk menimpa ibu saya.

Namun saya juga mesti bertegas dengan pendirian saya. Sebagai jawapannya, saya berkata, ‘ibu, sekalipun rasa kasih saya kepada ibu begitu besar, tetapi itu tidak akan mengalahkan cinta saya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Demi Allah, seandainya ibu mempunyai seribu nyawa dan nyawa itu keluar dari tubuh ibu satu persatu, maka saya tetap tidak akan meninggalkan agama saya dengan sebab atau alasan apa pun!’

Ibu mengalah

Ketika mengetahui pendirian saya begitu teguh, ibu saya akhirnya menyerah. Dia mulai mahu makan dan minum walaupun dengan terpaksa. Setelah peristiwa itu, Allah menurunkan wahyu berkaitan dengan kejadian yang kami alami. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Luqman ayat 15 yang bermaksud: “Dan jika keduanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang tiada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya dan bergaullah degan keduanya di dunia dengan baik.”

Islamnya Saad bin Abu Waqqas r.a membawa begitu banyak kebaikan bagi kaum Muslimin dan agama islam. Selain itu, Saad masih tergolong bapa saudara Nabi s.a.w dari pihak ibu. Kerana dia berasal dari Bani Zuhrah yang merupakan keluarga Aminah binti Wahab, ibunda Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w sering mengungkapkan kebanggannya dengan hubungan ini.

 

Ust Mohamad Wahid Hanif

Sumber artikel daripada majalah Gen Q 7


 

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas