Menu

 

A+ A A-

CUKUPLAH BERMAIN-MAIN

KISAH kali ini berkaitan seorang ulama dari damsyik. Nama beliau Yahya bin Syaraf Al-Nawawi (w.676h). Meskipun hidupnya sangat singkat, 45 tahun sahaja, namun beliau mewariskan karya penulisan yang sangat banyak. Buku-bukunya masih menjadi rujukan sehingga ke hari ini.

Rahsia kejayaan imam al-Nawawi terletak pada kepandaiannya menjaga waktu. Beliau membenci semua aktiviti yang tidak bermanfaat dan membuang masa. Sebaliknya, beliau selalu berusaha agar setiap saat yang berlalu diisi dengan ilmu, ibadah atau membaca al-Quran. Sejak kecil lagi, beliau tidak menyukai permainan dan hiburan.

Cerita gurunya yang bernama Syeikh Yasin bin Yusuf membuktikan perkara itu. Beliau berkata: “Aku pernah melihat apabila al-Nawawi beliau berusia 10 tahun di Nawa. Kanak-kanak yang lain memaksanya untuk bermain bersama mereka, namun al-Nawawi selalu menolak. Beliau melarikan diri dan menangis apabila mereka terus memaksanya. Setelah kanak-kanak itu pergi, al-Nawawi membaca al-Quran. Melihat itu, hatiku segera mencintainya.”

Syeikh Yasin melanjutkan: “Meskipun ayahnya menyuruh menjaga kedai, aktiviti jual beli tidak menghalang beliau daripada membaca al-Quran. Aku mendatangi guru al-Quran yang mengajarnya. Aku berkata: ‘Jagalah baik-baik budak ini kerana suatu hari nanti ia akan menjadi ulama yang paling alim dan zuhud pada masanya.’”

Kisah ini diceritakan oleh imam Tajuddin al-subki dalam ‘Tabaqat alsyafiiyah al-Kubra’.

Jangan Berlebihan

Perkara yang membezakan antara tokoh besar dengan orang awam ialah aktiviti yang mereka lakukan sehari-hari. Orang besar selalu mengisi masanya dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Sementara orang awam menghabiskan masanya dengan aktiviti yang sia-sia. Salah satu aktiviti itu adalah permainan dan hiburan yang melalaikan.

Permainan dan hiburan tidak haram, selagi mana tidak melalaikan kita daripada beribadah dan menuntut ilmu. Sebahagian permainan bahkan dianjurkan apabila ia membentuk kecergasan fikiran dan kesihatan tubuh.

Hiburan juga diharuskan untuk melepaskan penat setelah bekerja keras. Selain yang disebutkan, maka permainan atau hiburan tidak disukai dalam islam. Apalagi jika dilakukan berlebihan, sehingga membuat kita ketagih dengannya. Orang yang ketagih berasa gelisah setiap kali berpisah dengan benda yang menjadi permainan dan hiburannya walaupun hanya beberapa jam sahaja. ini satu penyakit mental yang jika tidak diubati akan menjejaskan pencapaian seseorang dalam pelajaran dan pekerjaannya yang melalaikan adalah satu kebatilan.

Baginda bersabda, maksudnya: “Aku bukan bahagian daripada kebatilan, dan kebatilan bukan bahagian daripada diriku.” (Riwayat al-Bukhari).

Abu ubaid berkata: “Kebatilan di sini bermakna permainan dan hiburan yang melalaikan.”

Pewaris Nabi

Sebagai pewaris Nabi s.a.w., pemuda Islam memiliki tujuan hidup yang sangat mulia. Sumbangan mereka ditunggu-tunggu dengan penuh harap oleh masyarakat dunia. Oleh sebab itu, mereka tiada masa untuk aktiviti yang membuang masa. Suatu hari Sayidina Ali bin Abi Talib berjalan di hadapan sekumpulan orang yang sedang bermain catur. Beliau berhenti "Demi Allah, jika tidak khuatir akan menjadi sunnah, nescaya aku akan memukul wajah-wajahmu dengannya.” (Riwayat al-Baihaqi)

Minda pemuda Islam selalu disibukkan dengan ilmu dan kajian. Tiada tempat bagi permainan dalam minda mereka. "Hari itu, kami (pelajar-pelajar hadis) berada di rumah Muhammad bin Yusuf al-Firyabi di Syam. Kami tengah bermain-main sambil makan buah beri biru seperti perlakuan anak-anak muda. Ketika itu Muhammad bin ismail (al-Bukhari) bersama-sama kami, namun beliau tidak ikut serta dalam permainan kami. Beliau terus tekun mengkaji ilmu.”

Kisah ini diceritakan oleh imam al-Zahabi dalam ‘siar A’lam al-Nubala’. Pemuda islam dengan  sifat-sifat seperti ini yang akan menggegarkan dunia. Mereka yang akan dapat mengembalikan kegemilangan umat islam dan menggerunkan musuh-musuhnya.

Renungan

Jika anda peminat sesuatu permainan, renungilah diri anda sejenak. Ajukan soalan ini kepada diri kita: “Apakah keuntungan yang saya dapat daripada permainan dan hiburan ini? Apakah manfaat menjadi peminat fanatik sebuah pasukan bola sepak, penggemar seorang pelakon atau penyanyi dari negara tertentu, ataupun semua permainan lainnya?”

Tidak perlu berfikir terlalu lama, kita pasti telah mendapat jawapannya. Semua ini tidak ada manfaatnya. Kalaupun ada, kerugiannya jauh lebih besar. Pernahkah kita terfikir, berapa banyak masa kita terbuang kerananya? Berapa banyak majlis ilmu yang luput kerananya?

Andai masa-masa yang kita habiskan di hadapan TV, internet atau permainan video itu dimanfaatkan untuk menghafal al-Quran, kita mungkin menjadi hafiz al- Quran sejak lama lagi. Andai masa-masa itu digunakan untuk mempelajari bahasa Arab atau inggeris, kita telah fasih berbicara dan menulis dengan bahasa ini sejak dahulu. Namun, tengoklah diri kita sekarang ini.

Berapa banyak surah yang kita hafal? Berapa banyak bahasa asing yang telah kita kuasai? Telah tiba saatnya untuk kita berubah. Tinggalkan aktiviti yang tidak berguna, manfaatkan masa untuk membentuk masa depan yang lebih cerah.

Hargai Masa Muda

Hanya orang tua yang sedar kepentingan masa muda. Setelah tubuh lemah, hafalan tumpul, dan pelbagai kesibukan menghalangi, pada saat itu kita tersedar banyaknya masa yang disia-siakan. Namun penyesalan tidak akan merubah apa-apa.

Allah hanya memberi kesempatan hanya sekali. Jika kita tidak memanfaatkan kesempatan itu sebaik-baiknya, hanya penyesalan yang akan kita peroleh. Wallahua'lam.

Oleh Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Gen Q isu No.7

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas