Menu

 

A+ A A-

HUKUM MEMEJAM MATA KETIKA SOLAT

APAKAH hukum solat sambil memejamkan mata? Adakah ia ditegah dalam Islam dan bagaimana jika ia dapat menambah rasa khusyuk dalam solat dengan berbuat demikian?

RINGKASNYA: Harus tetapi ada syaratnya.

HURAIAN: Terdapat perbezaan ijtihad para ulama dalam menetapkan hukumnya. Sesetengah ulama mengharuskan dan mengatakan bahawa ia lebih memungkinkan hadirnya khusyuk. Manakala Imam Ahmad mengatakannya makruh. Beberapa ulama mazhab Syafi‘i juga mengatakannya makruh kerana ia menyerupai Yahudi. Walau bagaimanapun, hadis yang dijadikan dalil makruh memejamkan mata ketika solat adalah daif menurut Imam al-Baihaqi. Imam al-Tahawi al-Hanafi juga menyatakannya sebagai makruh. Demikian juga ditegaskan oleh Imam al-Kasani al-Hanafi (Al-Majmu‘, jil. 3, hlm. 260 oleh al- Nawawi; Bada’i‘ al-Sana’i‘, jil. 1, hlm. 216)

hukum-memejam-mata-1

Selain itu, amalan memejamkan mata semasa solat juga dilihat sebagai bercanggah dengan beberapa dalil hadis Nabi s.a.w. Antaranya hadis yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. mengarahkannya agar membunuh dua binatang hitam walaupun semasa solat, iaitu ular dan kala jengking.” (Riwayat al- Tirmidzi, jil. 2, hlm. 234; al-Hakim, jil. 1, hlm. 386; Ibn Hibban, jil. 6, hlm. 115; Ibn Khuzaimah, al-Baihaqi; dan al- Tirmidzi. Hasan Sahih) Hadis ini memberi petunjuk kepada kita bahawa perlu membuka mata jika ingin melaksanakan erti hadis ini, walaupun dalam konteks zaman sekarang yang amat jarang ditemui ular dan kala jengking di tempat solat. Hadis ini memberi kefahaman kepada kita akan perlunya membuka mata bagi menjaga keselamatan diri semasa solat.

Imam Ibn Qayyim berkata: “Jika membuka mata tidak mengganggu kekhusyukan solat, maka ia lebih elok daripada dipejam. Dan pandangan yang mengatakan elok memejam mata lebih bertepatan dengan prinsip dan tujuan solat berbanding pandangan yang memakruhkannya.” Imam ‘Iz bin Abdul Salam juga berpandangan demikian.

RUMUSAN: Saya menyokong pandangan mengharuskan memejamkan mata hanya dalam keadaan yang benar-benar diyakini dapat menambah kekhusyukan serta mengelakkan gangguan pandangan daripada perkara yang pasti menganggu khusyuk. Justeru, hukumnya adalah berbeza menurut keadaan seseorang. Selain itu, membuka mata semasa solat adalah lebih utama.

“Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. mengarahkannya agar membunuh dua binatang hitam walaupun semasa solat, iaitu ular dan kala jengking.”

Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2


 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas