Menu

 

A+ A A-

JAMPI MENJEJAK JODOH

Ustaz, saya baru putus cinta. Sekarang saya dalam kesedihan. Teman lelaki saya dipaksa ibunya supaya berkahwin dengan sepupunya padahal dia terlalu sayangkan saya. Tetapi dia mengambil keputusan mengikut kata ibunya.

Sebelum saya memutuskan hubungan dengannya, saya ada mengenali seorang kawan. Dia pandai melihat persamaan nama pasangan. Apabila dia gabungkan nama saya dan teman lelaki saya, katanya hati teman lelaki saya telah berbelah bahagi.

Jadi, dia meminta saya untuk terus berusaha dan berdoa. Kemudian dia menyuruh saya menjampi air minuman dan meminumnya selama empat hari. Menurutnya, dengan cara itu saya akan dapat membaca hati teman lelaki saya untuk melihat sama ada dia masih mempunyai perasaan terhadap saya atau tidak.

Selepas empat hari, saya merasakan jiwa saya kosong. Kemudian, dia mengatakan teman lelaki saya sudah tidak memilih saya, tetapi emaknya. Keesokan harinya, teman lelaki saya menghantar SMS bahawa dia terpaksa memilih emaknya dan bukan saya.

Soalan saya:

1. Adakah Allah telah memberikan petunjuk pada saya bahawa dia bukan jodoh saya? Adakah saya boleh terus berdoa supaya jodoh saya ialah teman lelaki saya?

2. Kawan saya itu mengatakan jodoh saya lambat lagi. Adakah saya boleh mempercayainya?

Jawapan

Saya bersimpati atas kerunsingan dan kesedihan yang menimpa saudari. Saya juga memahami bahawa kemurungan akibat patah hati dan putus cinta adalah amat berat kesannya, khususnya kepada wanita dan sifat semula jadinya yang begitu komited dalam percintaan.

Walau bagaimanapun, anggaplah ia sebagai satu jalan untuk beroleh kebaikan yang lebih banyak daripada Allah. Walaupun menyedari saudari dalam kesedihan, saya masih berkewajipan untuk menerangkan beberapa perkara asas sebelum menjawab soalan yang dikemukakan. Kemungkinan ini akan menambah duka di hati saudari, namun saya perlu mengatakan yang benar sekalipun ia pahit dan pedih untuk diterima.

Pertama, ingin saya ingatkan bahawa cinta sebelum berkahwin ialah kunci syaitan merosakkan iman. Lebih-lebih lagi sekiranya cinta itu ialah cinta mendalam yang wujud dalam diri yang kurang ilmu, nipis iman dan bergaul bebas.

Kerosakan amat mudah menyelinap masuk melalui perkataan sang pencinta, tulisannya dan lebih berbahaya sehingga merasuk perbuatan mereka dan mendorong kepada zina. Mata dan telinga mereka menjadi buta dan pekak daripada segala jenis nasihat daripada insan sekeliling. Mereka seolah-olah berada dalam dunia lain.

Kesimpulannya, cinta sebelum kahwin lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan bagi pasangan yang terlibat. Ia juga bukan sumber kebahagiaan rumah tangga jika dibina sekalipun. Malahan ia mungkin punca kehancurannya.

Kedua, saudari perlu bertaubat dengan sebenar-benar taubat kerana telah melakukan perbuatan syirik dengan mempercayai tukang tilik yang menilik perkara ghaib melalui tilikan pada persamaan nama.

Lebih buruk implikasinya, saudari dan teman lelaki mempercayainya sehingga mengamalkan amalan syirik iaitu jampi air untuk tautan hati. Ini tidak lain hanyalah penipuan, syirik dan dosa yang amat besar. Ketahuilah bahawa bagi mereka yang mati sebelum sempat bertaubat daripada dosa syirik, tempat mereka adalah neraka buat selama-lamanya (moga di jauhkan oleh Allah). Maka, segeralah sedar dan kembalikan kewarasan fifikiran dan iman saudari yang mungkin sedang rosak akibat “virus cinta” tersebut.

jampi-menjejak-jodoh-2

Juga nasihat saya buat saudari dan semua pembaca agar jangan sesekali mempercayai amalan mandi bunga, mandi air kolah dari tujuh masjid dan yang sepertinya. Kesemuanya itu tidak lain dan tidak bukan hanya membawa kepada kerosakan akidah dan kehilangan berkat sepanjang hidup. Ketiga, berkenaan soalan saudari:

1. Segala dakwaan dan takwilan bahawa dia jodoh saudari atau tidak adalah tidak boleh dipercayai sama sekali. Malah, jika benar dia berkahwin dengan wanita lain sekalipun, jodoh masih sentiasa terbuka.

Tidak mustahil saudari masih lagi jodohnya. Jika bukan sebagai isteri pertama, mungkin sahaja dia akan mengahwini saudari sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat. Jika tidak pun, kebarangkalian masih ada untuk menjadi isterinya selagi dia masih hidup. Siapa tahu, mungkin jodoh itu akan diketemukan setelah 20 tahun berlalu? Semuanya adalah ketentuan Allah dan tiada siapa boleh meramalkan dan menafikannya.

2. Berdoa untuk dikurniakan jodoh dengan seseorang diizinkan oleh Islam. Tiada sebarang dalil yang melarang doa untuk memperoleh sesuatu kebaikan sama ada dunia dan akhirat.

Doa untuk dijodohkan dengan seseorang yang dicintai, termasuk dalam doa untuk mendapat kebaikan dunia. Ia diizinkan dengan syarat dilakukan dengan betul, difahami dan bersungguh-sungguh tanpa disertai kepercayaan syirik, jampi mantera yang karut-marut dan ramalan syirik.

Namun demikian, adalah lebih baik untuk saudari meyakini bahawa “kumbang bukannya seekor”, malah mungkin yang jauh lebih baik daripada si dia. Tidak perlulah menyusahkan diri dengan terlalu mengikat dan memahat hati kepada seorang lelaki sahaja.

Adalah lebih baik sekiranya saudari berdoa agar Allah mengurniakan jodoh yang lebih baik daripada si dia yang telah terhenti di pertengahan jalan. Sebagaimana Ummu Salamah diajar berdoa untuk mendapat suami yang lebih baik daripada suaminya yang syahid. Akhirnya beliau dilamar oleh baginda Rasulullah. Ya, ternyata jauh lebih baik daripada seorang sahabat.

3. Dalam Islam, bagi memperkuatkan doa dan permintaan khas kepada Allah, kita dibenarkan untuk bertawassul atau menyebut amal soleh yang kita lakukan semasa berdoa. Selain itu, dibenarkan juga bernazar untuk melakukan sesuatu jenis kebaikan tambahan jika doa kita dimakbulkan. Semuanya boleh dilakukan berdasarkan nas dan dalil yang jelas, dan boleh digunakan dalam hal permohonan jodoh ini juga.

4) Jangan percaya kepada kawan saudari yang menyeleweng dan boleh membawa kepada syirik itu. Lambat atau cepatnya jodoh, ia suatu urusan tidak boleh diramal. Yang penting, Allah membuka ruang ikhtiar seluasluasnya kepada kita, maka berusahalah secara halal untuk memperoleh jodoh yang terbaik buat diri.

Wallahu a‘lam.

jampi-menjejak-jodoh-3

DR. HJ. ZAHARUDDIN HJ. ABD RAHMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas