Menu

 

A+ A A-

SIAPAKAH 73 GOLONGAN ITU?

Berbincang tentang perpecahan aliran dalam umat Islam ini, saya teringat sebuah hadis yang menceritakan ramalan Nabi bahawa umat Islam akan terpecah menjadi 73 golongan. Adakah hadis ini sahih, ustaz?

Jawapan

Hadis ini diriwayatkan menerusi banyak sanad. Namun kebanyakannya mengandungi kecacatan yang melemahkannya. Riwayat yang paling kuat adalah menerusi Muhammad bin ‘Amr, daripada Abu Salamah bin Abdurahman, daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Bangsa Yahudi telah terpecah menjadi 71 atau 72 golongan. Bangsa Nasrani terpecah menjadi sebilangan itu juga. Dan umatku akan terpecah menjadi 73 golongan.”

Hadis ini disahihkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim. Bagaimanapun, ada juga beberapa ulama yang menilai hadis ini sebagai lemah. Salah seorangnya ialah Ibn Hazm.

Ada penambahan matan dalam satu riwayat, iaitu daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-As: “Semuanya di neraka kecuali satu puak.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Yang (mengikuti) pendirianku dan sahabat-sahabatku.”

Dalam sanad riwayat ini, terdapat Abdurahman bin Ziyad al-Ifriqi. Beliau seorang perawi yang lemah. Penambahan kalimat ini juga terdapat dalam pelbagai riwayat yang lain, namun kesemuanya lemah.

Seorang perawi berasal dari negeri Syam, iaitu Azhar bin Abdillah al- Harazi meriwayatkan hadis ini secara berbeza. Beliau meriwayatkannya daripada Abu Amir, daripada Muawiyah bin Abi Sufyan, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya umat ini akan terpecah menjadi 73 puak. 72 golongan di antara mereka berada di neraka. Dan satu di syurga, iaitu jemaah.” Ramai ahli hadis yang mencela Azhar bin Abdillah. Ini kerana beliau dikenali sebagai seorang yang sangat membenci Sayidina Ali. Namun Ibn Hibban dan al-‘Ijli menilainya dipercayai (thiqat).

Maka berlaku perbezaan pendapat dalam mensahihkan tambahan ini. Beberapa ulama seperti Ibn Hajar menerimanya, namun beberapa ulama yang lain seperti al-Syaukani menolaknya.

siapakah-73-golongan-itu-2

Faham Inti Pati

Jika kita mensahihkan hadis ini, bagaimana kita memahami isi kandungannya? Saya melihat hadis ini menunjukkan seolaholah kebanyakan umat Islam akan masuk neraka, dan hanya satu sahaja yang akan masuk syurga.

Jawapan

Menurut Imam Abdul Qahir al- Baghdadi dalam al-Farq bayn al-Firaq, umat Islam meliputi setiap orang yang mengakui bahawa:

1. Alam ini dicipta oleh Allah Yang Maha Esa.

2. Menetapkan semua sifat-sifat-Nya.

3. Menafikan tasybih daripada-Nya.

4. Mengakui kenabian Muhammad dan pengutusannya bagi seluruh manusia.

5. Membenarkan semua berita yang disampaikan oleh Baginda.

6. Mengakui al-Quran sebagai sumber hukum-hakam.

7. Kaabah tempat menghadap dalam solat.

Beliau berkata: “Siapa yang mengakui semua ini, dan tidak mencampurkan akidahnya dengan perkara bidaah yang membawa kepada kekufuran, maka ia seorang sunni yang muwahhid (mentauhidkan Allah).”

Jika kita imbau sejarah, majority kaum Muslimin sentiasa berada atas akidah yang benar sebagaimana yang diwariskan oleh Rasulullah dan para sahabat. Mereka ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah kita bincangkan identiti dan ajarannya dalam kolum sebelum ini. Dalam Al-Ustaz isu ke-17, kami telah membawakan hasil statistic yang dilakukan oleh Pew Research yang menunjukkan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah membentuk tidak kurang daripada 87-90 % daripada keseluruhan populasi umat Islam di dunia.

siapakah-73-golongan-itu-3

Sementara itu, sejarah juga menunjukkan bahawa puak-puak sesat tidak pernah menjadi majoriti umat Islam di dunia. Sebaliknya, mereka selalu menjadi kumpulan-kumpulan minoriti sahaja. Bahkan sebahagian besarnya telah pupus sebagaimana yang berlaku pada aliran Muktazilah, Khawarij dan lain-lain.

Jadi, sekalipun kita mensahihkan hadis ini, maka kumpulan yang akan terselamat daripada neraka meliputi hampir semua umat Islam. Insya- Allah, mereka semua akan masuk ke syurga melainkan puak-puak kecil yang terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar. Mereka boleh “tersesat” ke neraka apabila tidak segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Erti Jamaah

Dalam salah satu lafaz hadis di atas, kita melihat bahawa kumpulan yang selamat itu ialah: jamaah. Apakah maksud jamaah? Di kampung saya ada sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Islam Jamaah, lalu mendakwa merekalah yang dimaksudkan dalam hadis ini. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan

Secara bahasa, jamaah bermakna kumpulan manusia. Ia bukan bermaksud gelaran atau nama, akan tetapi kumpulan umat Islam yang paling ramai. Mereka ialah para pengikut ulama-ulama yang diakui keilmuannya oleh umat Islam di seluruh dunia.

Dalam hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah bersabda: “Tangan Allah bersama jamaah. Siapa yang menyendiri, ia akan bersendirian ke neraka.” Ketika mentafsirkan hadis ini, al-Tirmizi berkata: “Tafsir kalimah al-jamaah di sisi para ulama ialah ahli fiqah, ilmu dan hadis.”

Cuba perhatikan kumpulan di kampung saudara yang mendakwa dirinya sebagai jamaah ini, adakah mereka membentuk kumpulan umat Islam yang paling ramai di dunia? Jika tidak, maka mereka bukanlah yang dimaksudkan dalam hadis ini.

Tambahan lagi, cuba perhatikan siapakah ulama yang menjadi rujukan mereka? Pada pengetahuan saya, tokoh rujukan dan pengasas kumpulan ini bukan tokoh ilmuwan Islam yang terkenal. Beliau hanya mengumpulkan beberapa hadis dalam kitab-kitab sunan tanpa memiliki kemampuan untuk menilai sahih atau daifnya, lalu “berijtihad” sendiri tanpa kaedah-kaedah usul fiqah yang jelas, dan mewajibkan pengikutnya untuk taasub kepada dirinya.

Oleh itu, saya menasihatkan saudara supaya menjauhkan diri daripada kumpulan ini.

Wallahu a‘lam.

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas