Menu

 

A+ A A-

UNTUNG ATAS ANGIN YANG HARAM

Tajuk utama akhbar New Straits Times pada 11 September 2007 yang lalu memaparkan isu pembelian beberapa peralatan untuk kementerian tertentu dengan harga luar biasa.

Hal ini terbongkar apabila pihak Ketua Audit Negara melakukan tugasnya dengan telus dan baik, lalu mendedahkan penyelewengan ini. Antara yang diketengahkan oleh media ini adalah:

1. Buku-buku yang sepatutnya berharga RM417 menjadi RM10,700.

2. Screwdriver yang sepatutnya berharga RM32 menjadi RM224.

3. Set lengkap komputer meja (desktop)  berharga RM174,811 menjadi RM3.06 juta (Kementerian Belia dan Sukan).

4. Karipap yang sepatutnya berharga 30 sen satu menjadi RM3 bagi satu karipap.

5. Dua kamera 3.1 Megapixel yang berharga RM2,990 menjadi RM8,254.

6. Pen Faber Castell yang sepatutnya berharga RM160 menjadi RM1,146.56.

7. Dua kren yang sepatutnya berharga RM2.98 juta menjadi RM5.72 juta.

Secara mudahnya kita dapat mengagak bahawa kes di atas berlaku disebabkan salah satu sebab berikut:

Penipuan oleh pegawai bertanggungjawab yang mengambil keuntungan atas angin. Melibatkan rasuah, kerana harga terbabit sudah termasuk jumlah bayaran rasuah. Salah teknikal atau pengiraan.

Menurut Islam, jika ia berlaku dengan sebab item 1 dan 2, sudah tentu hukumnya haram. Dalil pengharaman rasuah adalah:

1. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah 2: 188)

2. Hadis yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman).” (Riwayat al-Tirmizi, 3/622; Imam Tirmizi berkata hadis Hasan Sahih)

Manakala dalil pengharaman penipuan juga sangat jelas dalam urusan perniagaan secara umum, iaitu:

1. Sebuah hadis yang bermaksud: “Suatu hari Rasulullah s.a.w. melalui di hadapan seorang lelaki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah Baginda: ‘Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini?’ Dia menjawab: ‘Kena hujan.’ Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?’  Barang siapa menipu, bukanlah (mereka) daripada golongan kami (Islam).” (Riwayat Muslim).

2. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Al-Rawdu al- Murabba’, 2/30; Riwayat Ibn Hibban, 11/312)

3. Nabi s.a.w. pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijual.

Apabila Nabi mendapat tahu lalu terus berkata yang bermaksud: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mereka ini apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat al-Bukhari No.2111, 2/775; Muslim, Baihaqi)

Daripada keterangan hadis di atas, segala bentuk tindakan yang dilakukan seperti itu adalah haram dariapada sudut hukum Islam. Namun hendaklah dipastikan bahawa ia benar-benar dilakukan atas dasar penipuan dan rasuah. Manakala, jika berlaku atas kesilapan teknikal, ia tidak termasuk dalam kesalahan dari sudut hukum. Demikian itu hanya kelemahan pengurusan dan tindakan ke atas mereka bergantung kepada pihak berwajib.

Beberapa Bentuk Lain

Mereka yang memperoleh keuntungan di atas angin ini hakikatnya terlibat dalam jenayah perdagangan. Penyelewengan ini kerap berlaku dalam industri pekerjaan sama ada kerajaan, swasta, NGO, persatuan, sekolah, parti politik dan lain-lain organisasi.

1. Rasuah dalam memilih kontraktor

Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk sesuatu tender, melihat kepentingan yang akan diperoleh. Pihak pegawai akan memilih Syarikat Z daripada empat syarikat lain yang menghantar quotation  tender berkenaan, kerana Syarikat Z telah berjanji
memberikan sedikit imbuhan “ikhlas”.

Hukum: Ia adalah haram dan rasuah dalam Islam melibatkan orang yang memberi dana menerima.

2. Mencipta “quotation” sendiri:

Pegawai atau kumpulan pegawai yang diberi kuasa membuat pemilihan kontraktor telah sepakat untuk memberikan kepada satu syarikat yang mereka kenali, bukan kerana kualiti dan harganya, tetapi kerana sebab lain. Disebabkan oleh prosedur syarikat yang memerlukan “quotation” yang terendah, maka pegawai ini mencipta beberapa “quotation” dari syarikat yang tidak wujud bagi menunjukkan bukti.

Hukum: Haram perbuatan mereka kerana menipu.

3. Menaikkan Harga

Pegawai diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah. Apabila beliau berjaya mendapatkan pembekal dengan harga RM1,500 tetapi “menaikkannya” kepada RM2,000, lalu baki RM500 diambilnya.

Hukum: Perbuatan ini disepakati ulama adalah haram.

4. Menang Tender Bersyarat
 
Pegawai diminta oleh majikan untuk mencari kontraktor untuk ubah suai pejabat. Pegawai  telah memperkenalkan Syarikat B kepada majikannya, lantaran dia telah mempunyai perjanjian “di sebalik tabir” dengan pihak Syarikat B yakni memberinya izin melabur wang peribadinya dalam Syarikat B dengan kadar keuntungan “kononnya” mengikut Islam. Padahal, jika tiada peluang melabur itu, sudah pasti si pegawai tidak akan memperkenalkan Syarikat B itu.

Hukum: Tindakan sebegini adalah haram dalam Islam dan ia termasuk dalam rasuah bentuk baru yang berselindung di sebalik aktiviti pelaburan Islam.

5. Tuntutan Palsu

Pegawai membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu, tetapi berpakat dengan pembekal atau stesen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza dari jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikatnya dengan harga berlipat kali ganda.

Hukum: Amalan ini adalah haram menurut Islam kerana berlaku penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit yang bernilai palsu itu.

6. Resit Ciptaan

Pegawai membeli barang untuk kegunaan syarikat dari sebuah kedai, dan kedai tersebut enggan bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Bagi meraih keuntungan, pihak pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cop palsu.

Hukum: Ia adalah haram dalam Islam  kerana penipuan.

7. Ambil Untung Sendiri

Pegawai diberi oleh syarikat “bajet maksima” sebanyak RM5,000 untuk membeli satu barangan keperluan syarikat. Pegawai berjaya mencari di pasaran barang yang diperlukan dengan harga RM4,000 sahaja. Bagi mendapat manfaat, si pegawai berpakat dengan penjual agar ditulis harga RM5,000 dalam invois dan baki RM1,000 dapat kepadanya.

Hukum: Ia adalah haram kerana penipuan. Bagaimanapun, jika ia berterus terang dengan majikan sambil memohon sebarang insentif atas kejayaannya mengurangkan kos syarikat kerana kecekapannya mencari barang yang lebih murah, majikan harus memberikannya imbuhan, jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat. Ataupun, majikan mengambil kira kejayaan itu dan membayarnya dalam bentuk bonus atau kenaikan gaji apabila sampai waktunya.

 jualbeli

Wang yang Diperoleh dari Kerja yang Telah Diberi Gaji

Saya difahamkan, ramai pekerja yang cuba mendapatkan pendapatan tambahan daripada cara-cara yang disebut di atas, sambil melakukan tugasannya yang wajib. Ingatlah dua hadis berikut:

a. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan).” (Riwayat Abu Daud, No.2943; Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet. Dar Kutub Ilmiah)

b. Nabi mengarahkan kepada seorang gabenornya mengutip zakat kabilah Azad. Apabila selesai melakukan kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu beliau menyampaikan sebahagian daripada wang yang dikutip kepada Nabi s.a.w. sambil berkata: “Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai).” Baginda murka sambil bersabda: “Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh,  hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit,

“Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku...” sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan
pakaiannya haram. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana
Kami mahu mengabulkan doanya?” (Riwayat Muslim, No.1015, 2/703) betul (layak mendapat hadiah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini Nabi s.a.w. mengingatkan umatnya betapa besar kesan harta haram terhadap munajat dan doa seseorang. Sabdanya yang bermaksud: “Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit,

“Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku...” sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya?” (Riwayat Muslim, No.1015, 2/703)¤

 

Oleh Ustaz Zaharudin Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana

 


 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas