Menu

 

A+ A A-

SOAL-JAWAB MUAMALAT

KERJA di hotel halal, hidang arak haram. Boleh dikatakan di kebanyakan hotel termasuklah di Malaysia terdapat arak sebagai salah satu servis untuk pelanggannya yang bukan Muslim. 

Persoalannya apakah hukumnya jika kita sebagai seorang Muslim bekerja sebagai staf pengurusan di hotel tersebut? Persoalan yang sama juga jika kita bekerja di pasar raya yang sememangnya menjual dan memasarkan arak.

Jawapan: Secara umumnya, hukum asal bekerja di hotel atau bekerja sebagai cashier di hotel seperti mana di pasar raya, adalah halal. Bagaimanapun jika ada pelanggan yang meminta arak, dan kita sebagai pekerja menghidangkannya, tatkala itu kita turut mendapat dosa dan laknat Nabi s.a.w.

Menghidangkan arak sama haramnya dengan meminumnya kerana ia dianggap telah membantu pembelian arak itu. Demikian juga jika pekerja itu seorang pembantu yang menyusun dan menyemak stok arak dan lain-lain yang diharamkan. Apa sahaja yang berkait dengan menyusun arak, mempamerkannya adalah berdosa. 

Perlu difahami, tidak semua perkara haram sama tahap berat dosanya, ada yang dosa besar dan ada dosa yang lebih kecil. Allah s.w.t. lebih mengetahui kadar dosanya. Bagi mendapat lebih jelas panduan hukum dalam hal ini perhatikan hadis Nabi s.a.w.: 

“Rasulullah s.a.w. melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak iaitu: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya”

(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah; Tirmizi berkata, hadis gharib; Al-Munziri dalam al-Targhib berkata, perawinya thiqah). Dalam menghuraikan hadis ini dan kaitannya dengan cashier terdapat sebuah hadis lain yang bermaksud: “Pemakan harta dari jualan arak yang dibeli pelanggan iaitu sama ada untuk diminum atau untuk dijadikan barang dagangan melalui wakil” (Mirqat al-Mafatih, 6/22).

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Jabir r.a. berkata, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada hari pembukaan Makkah, “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya mengharamkan penjualan arak, bangkai, khinzir dan berhala.” (Riwayat Bukhari, 2/779).

Jelasnya di sini, pekerjaan sebegini boleh menyebabkan pendapatannya bercampur antara halal dengan haram. Bagaimanapun keadaan ini boleh diselesaikan dengan anda memperuntukkan sedekah sebahagian dari harta setiap bulan kepada fakir miskin. Namun bergantung kepada iman kita, jika ingin rasa lebih tenang, sedekahlah dalam jumlah yang wajar dengan keterlibatan penjualan arak tadi 

SOLUSI 8 -40

Operasi Insurans Takaful Berbeza 

Jika insurans diharamkan kerana riba dengan gharar, saya melihat syarikat insurans Islam (takaful) juga mengandungi proses yang sama. Lalu, bagaimanakah bentuk yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Takaful? Bukankah ia juga mempunyai elemen meletakkan wang dan menunggu pampasan apabila musibah mendatang? 

Jawapan: Syarikat-syarikat Takaful telah mengubah akad ‘Mu’awadah Maliah’ yang digunakan oleh syarikat insurans konvensional kepada akad Tabarru’at (kontrak derma). Hasilnya, aqad derma tidak terikat dengan syarat-syarat jual beli tadi, tidak juga diperlukan untuk menjelaskan dan menerangkan jumlah itu dan ini semasa serahan derma. 

Contoh mudahnya, apabila anda memberikan hadiah kepada seseorang, adakah menjadi syarat agar anda memberitahu kepadanya berapa jumlah yang anda beri? 

Jawapannya sudah tentu tidak. Ini kerana, ia adalah sumbangan baik dari satu pihak, maka dengan itu tidak perlu banyak syarat diperlukan untuk melaksanakan akad derma ini.

Bagaimanapun bagi memudahkan urusan syarikat Takaful, mereka akan menggunakan gabungan beberapa akad. Asas akadnya adalah:

a) Tabarru’ dan Mudarabah.

b) Wakalah dan Tabarru’.

Saya tidak akan mengulas kedua-dua bentuknya secara panjang lebar, tapi cukup saya sertakan gambaran berikut untuk semakan pembaca.

1) Takaful Model Wakalah dan Tabarru’ 

Keterangan ringkas: Syarikat pengendali  Takaful dilantik oleh pencarum sebagai wakil bagi menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu syarikat Takaful akan mengambil sejumlah upah (al-ujr) atas sebagai kos pengurusannya. 

Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang belum didermakan dan atas dasar Ju’alah, syarikat akan mengambil satu lagi jumlah upah sekiranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan yang diusahakannya itu.

3pp2) Takaful Model Mudarabah dan Tabarru’ 

Keterangan ringkas: Menurut model ini, pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah tertentu atas akad mudarabah, pihak syarikat akan menguruskan tabung takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya, jumlah mudarabah itu dari masa ke masa didermakan (tabarru’) oleh pencarum. Jika terdapat lebihan keuntungan (surplus) setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak syarikat Takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai penghargaan penyertaannya.

Jelasnya, perubahan dari akad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh insurans konvensional menjadikannya bermasalah dari sudut Syariah. Ini berbeza dengan yang digunakan oleh Takaful yang menggunakan sama ada akad derma (tabarru’) atau (wakalah) dan mudarabah.

Berikut dijelaskan perbezaan antara kedua-duanya dalam bentuk jadual di bawah:

 

Konvensional

Takaful

Kontrak Mu’awadah (Pertukaran Jual Beli)

antara penanggung insurans dengan pihak

yang diinsuranskan.

Kontrak Tabbaru’ (derma dan sumbangan)

yang disertakan dengan pelaburan.

Pemegang polisi membayar premium

kepada penanggung insurans.

Peserta membuat caruman ke dalam skim.

Peserta saling menjamin sesama sendiri di

bawah skim.

Penanggung insurans bertanggungjawab

membayar manfaat insurans seperti

dijanjikan daripada asetnya (kumpulan

wang insurans dan kumpulan wang

pemegang saham).

Pengendali Takaful bertindak sebagai

pentadbir skim dan membayar Takaful

daripada kumpulan wang takaful.

 

Sekiranya berlaku kekurangan dalam

kumpulan wang takaful, pengendali

Takaful akan menyediakan (qardhul

hasan) pinjaman tanpa faedah untuk

menampung kekurangan berkenaan.

Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa

sebarang kekangan syariah.

Aset kumpulan wang Takaful hanya boleh

dilaburkan dalam instrumen yang selari

dengan syariah.

Wang pelanggan dianggap wang syarikat

insurans dan dimiliki olehnya sejurus

dibayar oleh pelanggan.

Wang pencarum tidak dikira sebagai wang

syarikat malah ia diasingkan dan tidak

dimiliki oleh pengendali.

Keuntungan yang dihasilkan dari

kumpulan wang pencarum adalah dimiliki

sepenuhnya oleh syarikat. Ia juga adalah

objektif utama syarikat insurans.

Keuntungan hasil pelaburan dari kumpulan

wang pencarum tidak dimiliki oleh syarikat

kecuali nisbah yang disumbangkan dari wang

syarikat sendiri. Baki keuntungan adalah

milik tabung kumpulan wang pencarum.

Pencarum tidak berhak untuk mendapat

sebarang bahagian dari “surplus”.

Lebihan, untung atau pulangan dipegang

oleh tabung untuk dibahagikan semula

kepada pencarum.

Ubat mata ketika berpuasa

Apakah hukum menggunakan ubat salap pada mata ketika berpuasa? Berdasarkan pengalaman saya, ubat yang dibubuh pada mata seolah-olah melalui rongga hidung dan seterusnya akan memasuki tekak. Kadang kala terasa kepahitan ubat yang diletakkan di mata di dalam tekak. Adakah batal puasa saya padahal saya perlu menggunakan ubat mata secara berterusan.

Jawapan: Hukum menggunakan ubat itu adalah boleh dan tidak menyebabkan terbatalnya puasa kerana mata bukanlah termasuk dalam kategori rongga yang terbuka. Walaupun terasa kepahitan ubat, hakikatnya dia bukan makan atau minum. Sebaliknya kalau dimasukkan sesuatu ke rongga terbuka dengan sengaja maka akan boleh membatalkan puasa. Yang dimaksudkan dengan rongga terbuka ialah dua telinga, dua lubang hidung, mulut serta kemaluan depan dan belakang.

Bercelak ketika berpuasa

Apakah hukum menggunakan celak mata yang berserbuk ketika berpuasa? Adakah diharuskan atau penggunaan celak berserbuk boleh membatalkan puasa?

Jawapan: Orang yang berpuasa tidak di larang bercelak, jadi puasanya adalah sah tetapi makruh kalau bercelak dengan niat untuk menarik perhatian orang lain terhadapnya. Seelok-eloknya penggunaan celak bagi lelaki ialah ketika hendak tidur. Imam al-Bukhari pernah berkata dalam kitab sahihnya yang antara lain bermaksud:

“Anas, al-Hasan, dan Ibrahim tidaklah menilai bermasalah untuk bercelak ketika puasa.”

Riwayat di atas dikuatkan oleh Abdur Razak dengan menyambungkan antara lain bermaksud: “Tidak mengapa bercelak untuk orang yang berpuasa.” (Fathul Bari, 6/180, Maktabah Syamilah).

 

 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas