Menu

 

A+ A A-

BUKAN HANYA SEKADAR MALU

ANTARA KATA-KATA – ‘MALU BERTANYA SESAT JALAN’ DAN ‘JUST DO IT’ – YANG MANA SATU PILIHAN HATI DAN YANG MANA SATU MENJADI PRINSIP KITA?

Kalau ditanyakan kepada saya, dua-dua kena ambil kira. Pembaca pula bagaimana? Mungkin di akhir artikel saya nanti, kita akan tahu apa nak pilih dan macam mana nak pilih. Jom kita baca! Dua pepatah – Melayu dan inggeris – di atas antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat, bukan? Walaupun ada kebaikan kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu di perhalusi.

maluMengupas tentang malu, ia adalah sebahagian daripada iman. sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap Muslim. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri merupakan insan yang sangat pemalu. Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. lebih malu sifatnya daripada seorang gadis yang di dalam pingitannya. Pentingnya ada sifat malu itu dapat mencegah seseorang daripada membuat perkara yang dilarang. Dia akan malu melakukan perkara yang tidak senonoh. Dia akan malu memperlihatkan perilaku buruknya. ini kerana malu itu telah menjadi perisai dirinya. sesungguhnya malu itu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

Zaman ini memperlihatkan banyak kepincangan perilaku hasil daripada hilangnya rasa malu dari dalam diri. Pelajar mula tidak hormat kepada guru. Anak yang menengking ibu bapa. Pengguna jalan raya yang tidak beradab dan melanggar peraturan. Pemerintah dan pemimpin yang zalim. Maksiat yang semakin banyak. Dan pelbagai lagi perkara buruk sudah terjadi apabila pudarnya malu.

Malu adalah satu akhlak yang lahir sebagai manifestasi iman yang ada di jiwa. Jangan kita terpengaruh dengan orang barat yang memegang konsep ‘just do it’ atau istilah lainnya konsep ‘jangan malu’. Habis segala perkara di langgarnya. Kita juga jangan terlepas pandang dengan konsep malu bertanya sesat jalan yang membawa maksud jangan kita malu bertanya.

Walaupun umat islam dituntut memiliki sifat malu, namun dalam bab mencari ilmu, berlumba-lumba membuat kebaikan dan menyatakan yang benar, kita seharusnya tidak dihalangi oleh rasa malu itu. Letaklah malu itu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan perkara, namun jangan dibuang kesemuanya rasa malu itu walaupun dalam perkara kebaikan, kerana malu itu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas.

KISAH SAYIDINA ALI R.A.:
Sayidina Ali r.a tidak pernah melihat auratnya sendiri, apatah lagi melihat aurat manusia lain. Kisah ini berlaku ketika Perang uhud. Pihak Musyrikin telah menghantar wakilnya Talhah bin uthman sebagai panglima untuk berperang, manakala kaum Muslimin diwakili oleh Sayidina Ali r.a.

Maka berlakulah pertempuran sengit antara kedua-dua pihak. Akhirnya sayidina Ali r.a. berjaya mengalahkan Talhah dengan memancung kakinya. Ketika Talhah tersungkur ke bumi, sayidina Ali r.a. tidak jadi membunuh Talhah lantas bertemu  Rasululllah s.a.w. Maka berlakulah dialog antara Rasulullah s.a.w. dan sayidina Ali r.a.: Rasulullah s.a.w.: “Kenapa engkau tidak membunuhnya, wahai Ali?” sayidina Ali r.a.: “Ya Rasulullah, sewaktu aku ingin membunuhnya aku ternampak auratnya terbuka. Lantas aku berpaling darinya dan aku malu untuk menghampirinya buat kali kedua.”

malu1Begitulah hebatnya tarbiah Rasulullah s.a.w. iman para sahabat sungguh teguh sehinggakan ketika berperang pun mereka masih faham apa itu erti malu. Malah mereka itu jauh lebih berani dan lebih malu daripada kita ibarat langit dan bumi jaraknya!

Kini mari kita sama-sama memahami pesanan ulama – “untuk tidak terus-terusan melakukan dosa, perlunya ada merasa malu kepada Allah. Dengan cara ini seorang hamba akan sedar bahawa Allah selalu mengawasi dirinya. Apabila menyedarinya, maka tentu saja dia akan malu apabila melakukan hal yang boleh mengundang murka-Nya.”

Malu dalam erti kata yang sebenar adalah malu yang menjadikan kita berbuat sesuatu yang Allah reda dan meninggalkan apa yang dibenci-Nya. Tetapi mengapa kita selalu lebih malu dengan manusia daripada malu dengan Allah?


Oleh Siti Rohani Surani
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Siti Rohani Surani

Bertugas selama enam tahun sebagai DJ Radio IKiM FM. Merupakan penyampai radio bagi slot Warna Pagi Ikim FM dari pukul 6 hingga 10 pagi. Pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara bagi program realiti Astro Oasis iaitu Ustazah Pilihan yang bermula pada 6 Oktober 2011.

Kembali ke atas