Menu

 

A+ A A-

DAHULUKAN IMAN

S i t u a s i 1

GEL rambut disapu di serata kepala. Rambut yang agak lebat memudahkan rambutku digayakan mengikut arus semasa. Kedua-dua belah tangan mengepit bahagian hadapan rambut. Rambutku terpacak dengan bantuan gel. Wajahku mengukir senyum setelah berpuas hati dengan gaya rambut terbaru ini.

S i t u a s i 2

Aku menyisir rambut dengan rapi. Penampilan diriku perlu kelihatan kemas dan bersih. Itu yang disarankan Islam dan itu jualah ikutanku. Biar gaya semasa berubah seiring zaman, namun yang dirasakan sesuai ku ambil dan sebaliknya ku tinggalkan jauh.

Seperti Lalang Ditiup Angin

Lalang yang memiliki dedaun yang tirus dan lurus mudah sahaja melentok-lentok mengikut sapaan angin. Lalang yang tidak memiliki struktur yang tegap tidak mampu menahan angin daripada menolak dirinya ke sana ke mari. Semakin kuat angin yang datang, semakin tunduklah lalang diterjah angin kencang. Itu adalah peribadi lalang. Mengikut arus yang meniup dirinya. Bagaimana pula kita sebagai manusia?

Adakah kita berperanan dan berwatak disebabkan faktor luaran atau kita memiliki pendirian sendiri yang mampu membentengi pertahanan diri? Ayuh fikirkan wahai remaja, sering kita alpa membuat penilaian untuk kebaikan diri sendiri sedangkan Islam mengajar kita agar menyayangi diri sendiri dan usah menzaliminya.

Fikirkan dengan akal yang dianugerahkan dan nilai semula segala tindakan dengan simpulan kemas iman. Usah terikut dengan keadaan semasa yang merosakkan dan menjauhkan kita daripada ingatkan Tuhan.

dahulukan-iman-1

Lalang,
Penciptaanmu untuk manusia memikirkan,
Tentang sebuah pendirian,
Pendirian yang menjadi paksi pegangan,
Agar tidak longlai seperti dedaun tirus,
Yang mudah rebah disapa angin.

Berdiri teguhlah,
Seperti pohon gagah yang berakar tunjang,
Memiliki kekuatan benteng pertahanan,
Biar angin menderu menggoyahkan kekuatan,
Namun tetap pegun memasak bumi.

Beringatlah,
Bayu yang bertiup lembut boleh melalaikan,
Jika kita leka dengan sapaannya,
Ribut yang bertiup kencang bisa memusnahkan,
Andai kita tidak bersedia memasak pancang keimanan.

Jadilah insan yang memiliki pendirian,
Membesar dan matang dengan panduan iman,
Selamatkan dirimu daripada kehinaan,
Daripada terlalu menurut kehendak zaman,
Peliharalah dirimu dan keluargamu,
Daripada bahang dan maraknya api neraka.

dahulukan-iman-2

Info ayat al-Quran:

Renung-renunglah maksud ayat daripada surah al-Tahrim ayat enam ini. Betapa indahnya kalamullah menusuk hati-hati yang ingin mengambil iktibar. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”

Kupasan ayat:

Betapa indahnya ayat ini mengingatkan kita agar memelihara dan menjaga diri kita sendiri daripada melakukan perkara yang tidak disukai Allah. Allah mengingatkan agar menyelamatkan diri daripada azab dahsyat api neraka dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Jauhilah ikutan semasa yang menjadikan kita Muslim yang hilang identitinya kerana disapa angin jahiliah. Tetapkan pendirian dan pastikan segala tindak tanduk kita menurut panduan wahyu bukannya nafsu. Renunglah supaya segala tindakan yang diambil kerana kefahaman, bukannya kerana ikut-ikutan insan lain. Jadilah Muslim yang mengenali diri dan melakukan sesuatu kerana menyayangi dirinya daripada jatuh ke kancah api neraka yang marak menyala ditemani malaikat yang garang dan bengis.

Indah sungguh hidup bersama Islam kerana Allah sentiasa menyayangi diri kita dengan kata-kata-Nya yang tersisip indah dalam al- Quran. Ia memberi peringatan dan panduan agar manusia yang sering alpa tidak teraniaya dan hidup bahagia di dunia dan akhirat.

 

Noorjehan Baharudin
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q Isu 8


Noorjehan binti Baharudin

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang kepimpinan dan perguruan. Pernah terlibat dalam penulisan majalah. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Nurul Iman di Selangor.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas