Menu

 

A+ A A-

MALU TAPI BUKAN MEMALUKAN

SATU KETIKA USAI SOLAT MAGHRIB DI SALAH SEBUAH SURAU DI SEBUAH PUSAT MEMBELI-BELAH DI IBU KOTA, SAYA BEREHAT SEKETIKA DI SATU SUDUT. SAAT ITU, MATA TERPANDANG BEBERAPA ANAK MUDA YANG BARU MEMULAKAN SOLAT. SAYA TERUS MEMERHATI DAN HATI TERSENYUM BANGGA KERANA MELIHAT SENARIO YANG MENYEJUKKAN INI.

Namun, tatkala anak-anak muda itu mula untuk sujud... aduh! seolah-olah lagu sentimental yang bermain indah dalam hati tadi tiba-tiba jadi macam cakera padat yang calar dan rosak bunyinya. Istighfar lantas mengiringi saat terpandang jenama seluar dalam yang terjelir keluar di antara seluar jeans dan baju yang agak singkat dipakai. Malunya rasa kalau itu terjadi pada kita.

Namun, tak boleh juga nak marahkan mereka sebab sekurang-kurangnya mereka ni sudah jinak dengan solat. Hakikatnya dia mungkin sudah malu pada Tuhan dengan menunaikan solat bahkan itulah yang terbaik. Tapi kena ‘adjust’ sikit sahaja lagi agar malunya itu sampai juga dengan hubungannya sesama manusia.

Siapa yang paling malu?

Dalam satu hadis yang diabadikan dalam kitab Riyadh al-salihin karya agung imam al-Nawawi – Dari Abi said al-Khudri r.a berkata: “Bahawasanya Rasulullah s.a.w adalah lebih malu daripada seorang anak dara yang berlindung di sebalik tirai rumahnya. Jika baginda s.a.w membenci sesuatu, kami dapat melihatnya menerusi reaksi air muka Baginda s.a.w.”

Para ulama berkata hakikat malu sebenarnya adalah satu akhlak yang terbit daripada sikap meninggalkan yang buruk dan menghalang daripada sikap mengurangkan hak kepada yang berhak.

Malu tapi bukan memalukan

Lihatlah wahai rakan remajaku sekelian. Bagaimana murninya akhlak dan indahnya malu ini jika diletakkan sesuai dengan tempatnya. Jika sayidatina Aisyah r.a. malu hatta dengan sekujur mayat apatah lagi jika dengan manusia yang masih hidup!

Khas buat remaja Muslimat, inilah mahkota yang perlu digilap dan dijaga. Malulah dalam berakhlak dan bermuamalat, tetapi jika maruah anda dan islam dicabar, ketika itu beranikanlah diri persis Nusaibah r.a tatkala keadaan yang terdesak di medan uhud.

Kepada sekelian remaja Muslimin dan Muslimat, malulah jika teringin melakukan maksiat. ingatlah bahawasanya Allah s.w.t. sentiasa memerhati dan di kiri dan kananmu punya Malaikat yang setia menanti. Jangan malukan dirimu dengan menanggalkan pakaian taqwa. Kerana jika taqwa itu ‘terlucut’ itulah yang sebenarnya memalukan!

Mari kita amati teladan ini:

Sayidina umar al-Khattab r.a. telah berpesan dan meminta izin Aisyah r.a. jika beliau mati, minta dikebumikan bersama-sama dengan Nabi s.a.w dan sahabatnya Abu Bakar al-siddiq r.a. Kebetulan, kawasan itu sudah dikhaskan untuk Aisyah r.a. setelah beliau pula wafat nanti.

Akhirnya, sayidatina Aisyah mengizinkan juga kepada sayidina umar. setelah lama kemudian, peristiwa pembunuhan umar al-Khattab pun berlaku. Lantas, sejurus selepas pengkembumian berlangsung, sayidatina Aisyah bersiap untuk keluar dan ingin berpindah dari kamarnya yang menjadi tempat pengkebumian tersebut. Ditanya kepeda beliau mengapa sebelum ini Aisyah tidak berpindah namun selepas sayidina umar dikebumikan, Aisyah segera berpindah seolah-olah ada sesuatu yang berlaku.

Jawab sayidatina Aisyah r.a, dahulu yang ditanam di sini ialah suami dan ayahandanya. Tetapi kini yang ditanam itu adalah sayidina umar yang bukan mahramnya. Justeru beliau malu jika nanti auratnya terdedah sedangkan jenazah sayidina umar berada di kamarnya.

Subhanallah! Apakah ada sikap malu yang lebih hebat dari kedua-dua teladan yang agung ini? inilah kemurnian sifat al-Haya' (malu) yang ditunjukkan oleh sayidatina Aisyah mencerminkan kemuncak peribadi seorang wanita yang malu walaupun dengan jenazah yang sudah meninggal dunia!

MALU

 

Oleh Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas