INDAH KHABAR, LEBIH INDAH RUPA
- Ditulis oleh Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
- Kategori Kembara
- Read 7933 times
Suatu yang terlalu baik tidak mungkin tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata indah untuk menambah kecantikannya lagi. Tiada ungkapan yang mampu ditulis dan diucapkan, kecuali wajah yang terpana melihatnya.
Teringat pula penulis satu kisah selepas kewafatan Baginda Rasulullah s.a.w. ketika seorang pemuda Arab Badwi bertanyakan kepada Sayidina Ali r.a. tentang Baginda.
Lalu Sayidina Ali r.a. menjawab dengan bertanya semula, “Ceritakan kepadaku keindahan dunia dan isi dalamnya?” Pemuda itu menjawab: “Dunia ini terlalu indah hingga tiada kata-kata yang cukup untuk meluahkannya.” Lantas Sayidina Ali berkata: “Begitulah juga perihal Rasulullah s.a.w. semuanya indah dan hebat hingga susah untuk memulai bicara dan memetik tajuknya.”
Inilah jua perumpamaannya dengan bumi kesayangan Baginda, Makkah al-Mukarramah yang semuanya hebat untuk diceritakan apatah lagi untuk dihayati dengan mata dan hati.
Keagungan Sebuah Nama dan Gelaran
Jika kita perhatikan dalam penilaian duniawi khususnya di negara kita Malaysia, kalau seorang itu banyak namanya atau banyak gelarannya tentu kita rasa orang itu penting dan hebat. Contohnya si polan itu memiliki pangkat Tun, Tan Sri, Dato’ Seri, Dato’, Dr., Profesor dan sebagainya (kalau cukup tempat kosong pasti semua akan ditulis), kita mungkin terlopong dengan banyaknya gelaran dan pingat yang diperoleh ditambah pula dengan kehebatan akademik dan kemasyhuran hidup. Itu baru pangkalnya belum lagi dilihat hujungnya. Inilah yang terakam di minda dan pengamatan kita selama ini terhadap manusia.
Namun pernahkah kita terfi kir kalau sebuah tempat atau kawasan itu banyak namanya dan juga mercu tandanya. Apakah ia juga hebat dan agung? Bahkan ia jauh lebih hebat, agung dan lebih mulia daripada sangkaan kita.
Imam al-Nawawi r.hm. pernah berkata: “Ketahuilah bahawasanya banyaknya nama menunjukkan kepada kebesaran yang dinamakan, sebagaimana banyaknya nama Allah s.w.t. dan nama Rasulullah s.a.w. Kita tidak mengetahui sebuah tempat yang mempunyai banyak nama selain daripada Makkah dan Madinah kerana kedua-duanya merupakan sebaik-baik bumi, disebabkan banyaknya sifat yang boleh dinamakan kepada kedua-duanya.”
Jika dilihat daripada aspek rohaninya, nama Makkah al- Mukarramah ini bererti membinasakan atau mengurangkan. Ia dinamakan sedemikian kerana sifat Makkah yang mengurangkan dosa atau menghapuskan dosa orang yang datang mengunjunginya. Selain itu juga kredibiliti Makkah dalam membinasakan sebarang unsur kezaliman sama ada dari aspek aktivitinya mahupun pemimpin dan pemerintahan yang zalim serta berupaya menundukkan kesombongan mereka.
Menurut pandangan penulis, inilah sebabnya para ulama di Arab Saudi menasihatkan agar ditukar gelaran al-Fakhamah (yang mulia) dan Jalalah al-Malik (paduka diraja) kepada gelaran yang lebih menggambarkan ketinggian bumi Haramain iaitu Khadim al-Haramain al-Syarifain yang bermaksud khadam kepada dua Tanah Suci (Custodian of the Two Holy Lands).
Inilah ketundukan hati yang dijana oleh bumi Makkah al-Mukarramah kepada orang yang mengunjunginya mahupun bermukim di dalamnya, termasuklah raja negara itu, hanya dengan keagungan nama dan kemuliaannya.
Namun begitu, kadang-kadang terasa pelik juga, khasnya kepada segelintir manusia yang begitu gah dan berbangga dengan “mudahnya” mereka berulang alik ke Makkah kerana kerap melakukan umrah atau mempunyai perniagaan membawa para jemaah umrah atau haji. Perasaan ini seolah-olah sunyi daripada sekelumit rasa syukur yang mampu menenggelamkan kesombongan yang lahir daripada hati yang masih belum mahu lembut dengan keutuhan iman.
Bukanlah menjadi kesalahan untuk mengikuti atau membawa trip haji atau umrah berulang kali, bahkan digalakkan dan diberi pahala pula jika ikhlas dan benar-benar jujur. Namun janganlah dirosakkan pahala itu dengan rasa sombong sambil menuturkan ayat-ayat berbaur pasti dan keyakinan tanpa sandaran kepada Ilahi. Tidak kira walau berapa mudahnya kita untuk ke bumi barakah itu, namun wajib kita merafakkan rasa syukur yang terhebat disertai kerendahan hati atas peluang yang dikurniakan Allah kepada kita saban kali.
Bukan Sekadar Nama
Ternyata hebatnya bumi Makkah al-Mukarramah ini bukan hanya sekadar indah pada nama dan khabarnya tetapi indah realitinya serta fadilat kelebihannya. Inilah pentingnya nama yang baik dalam menggambarkan sesuatu yang baik untuk dikasihi dan disayangi.
Hakikatnya hari ini umat Islam seolah-olah tidak mementingkan kebaikan pada nama terutama ketika memberi nama kepada anak tersayang sewaktu kelahiran dengan nama-nama bersifat moden dan bombastik, tanpa panduan dan rujukan. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah zuriat kita sendiri. Ingatlah nama bukan sekadar nama, tetapi itulah panggilan bagi mereka tatkala diadili di mahkamah Yang Maha Esa di akhirat sana.¤
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.