Menu

 

A+ A A-

MENGUBAT JIWA KOSONG

SETIAP penyakit ada penawarnya. Begitu juga dengan jiwa. Jiwa yang sakit pasti ada ubatnya. Apa-apa pun harus diingat bahawa penyakit yang berkaitan dengan jiwa mesti dicari penawarnya secepat mungkin, kerana untuk memulihkan jiwa mengambil masa yang agak lama.

Sebelum itu, mari kita mengkaji apa maksud sebenar jiwa kosong ini. Dari segi istilahnya, jiwa kosong membawa maksud kemurungan. Ada sesuatu yang membebankan jiwa seseorang sehingga terasa dirinya terlalu merendah diri dan menyebabkan hidupnya terumbang-ambing tanpa pegangan.

Apakah puncanya?

Satu punca yang utama iaitu tidak membaca al-Quran dan mengamalkan perintah Allah dengan ikhlas. Percayalah, jika kita patuh pada ajaran al-Quran dan mengamalkan segala yang diperintahkan, jiwa kita sentiasa terisi.

Bagaimana untuk mengatasi atau mengubat jiwa yang telah kosong?

Ayuh! Mari kita selami ayat-ayat dalam kitab agung al-Quran:

141 - Sentiasa beringat bahawa kita dilahirkan mulia:Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Israa’ ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

2 - Sentiasa beringat bahawa kita hidup bermasyarakat:Firman Allah s.w.t. dalam surah asy-Syura ayat 23 yang bermaksud: “Itulah yang Allah gembirakan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu upah untuk ajaran Islam yang aku sampaikan itu, melainkan kasih mesra disebabkan pertalian kerabat. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya.”

3 - Sentiasa beringat bahawa amalan baik dibalas baik:Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 100 yang bermaksud: “Dan orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah) dari orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut mereka dengan kebaikan, Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

4 - Sentiasa beringat bahawa kita disediakan dengan iman:Firman Allah s.w.t. dalam surah al-An’am ayat 144 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.”

5 - Sentiasa beringat bahawa kita perlu sentiasa menolak kejahatan:Firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Ra’d ayat 22 yang bermaksud: “Dan orang yang sabar kerana mencari keredaan Tuhan mereka dan mendirikan sembahyang, serta menafkahkan dari apa yang Kami berikan mereka, secara bersembunyi-sembunyi atau terang-terangan; dan mereka menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itulah disediakan bagi mereka balasan yang baik.”

6 - Sentiasa beringat bahawa tidak leka daripada berdoa: Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.”

7 - Sentiasa beringat bahawa berjemaah di masjid:Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Hanyasanya yang memakmurkan masjid masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Wallahuaklam.

Azzam Supardi

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas