Menu

 

A+ A A-

ZAKAT RAMBUT BAYI

Saya pernah mendengar tentang zakat rambut bayi. Betulkah ustaz?

Sebenarnya tiada istilah khusus seumpama zakat rambut bayi yang wajib ditunaikan. Yang ada ialah sunnah bersedekah mengikut kadar timbangan berat rambut bayi yang baru lahir sama ada dengan nilaian emas atau perak.

Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Ali bahawasanya Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hassan dengan seekor kambing seraya bersabda mafhumnya: “Wahai Fatimah, cukurlah rambut kepalanya lalu sedekahkanlah sebanyak nilaian berat timbangan rambutnya itu dengan wang perak.” Setelah ditimbang, nilaiannya sekadar satu dirham atau beberapa dirham. (Riwayat alTirmizi)

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah mencatatkan bahawa jumhur ulama mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali berpandangan bahawa perbuatan mencukur rambut dan bersedekah dengan nilai timbangannya itu adalah mustahab (sunat). Cuma mereka berbeza pandangan tentang jumlah nilaian yang perlu disedekahkan.

Menurut mazhab Maliki dan Syafi‘i, bersedekah itu boleh sama ada berdasarkan nilaian emas atau perak manakala mazhab Hanbali hanya mengehadkan pada nilaian perak sahaja. Sekiranya rambut tersebut tidak dicukur, maka hendaklah dianggarkan berat tersebut dan disedekahkan mengikut nilaian yang termampu.

Hukum perbuatan ini adalah sunnah dan bukan wajib. Jika ia dikategorikan sebagai zakat, sudah tentulah ia menjadi wajib. Maka jelaslah kepada kita bahawasanya hukumnya adalah sunat dan digalakkan bagi mereka yang berkemampuan tanpa mengabaikan galakan melakukan aqiqah. Kedua-duanya ini adalah amalan yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Cara Pengiraan

Bagaimanakah cara mengira nilai sedekah rambut yang dicukur itu?

3Contohnya jika ditimbang rambut yang telah dicukur seberat dua gram, maka kiraannya adalah seperti berikut:

Terpulang kepada individu sendiri, jika berkemampuan boleh mengikut nilai emas. Jika tidak, nilaian perak pun memadai kerana kebanyakan ulama menetapkan nilaian perak sebagai sandaran untuk bersedekah yang asasi.

Namun, nilailah kemampuan masing-masing kerana Allah sesekali tidak mensia-siakan amalan yang dilakukan apatah lagi jika dilakukan dengan ikhlas dan memilih yang terbaik untuk dilaksanakan.

Zakat Haiwan Dikembiri

Saya merancang untuk mengasi kucing saya. Lalu saya diberitahu wajib mengeluarkan zakat. Itulah pertama kali saya tahu bahawa ada zakat haiwan yang dikasi. Benarkah ustaz?

Tidak ada zakat khusus yang wajib dikeluarkan jika mengasi atau mengembiri haiwan. Cuma, adalah baik sekiranya kita menganggarkan sejumlah wang untuk disedekahkan sebagai ganti perbuatan mengasi yang dilakukan. Hal ini pernah disebut oleh Syeikh Abu Bakar bin Jabir al-Jazairi dalam salah sebuah kuliah beliau di Masjid Nabawi.

TAMBAHAN: Saya merasakan perlu untuk menyentuh tentang hukum mengembiri atau mengasi haiwan secara ringkas. Dengan merujuk alMausu‘ah al-Fiqhiyyah, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama sebagaimana berikut:

  1. Mazhab Hanafi: Tidak mengapa mengasi haiwan kerana padanya ada manfaat kepada binatang dan juga manusia.
  2. Mazhab Malik: Harus mengasi haiwan yang dimakan dagingnya tanpa makruh untuk penghasilan daging yang lebih baik.
  3. Mazhab Syafi‘i: Boleh mengasi haiwan yang dimakan dagingnya dan haram mengasi haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Walau bagaimanapun hukum harus mengasi haiwan itu dengan syarat ia dilakukan ketika ia kecil dan tidak mendatangkan kecelakaan kepada haiwan.
  4. Mazhab Hanbali: Harus mengasi kambing untuk mengelokkan dagingnya dan makruh mengasi kuda dan haiwan lain.

Kesimpulannya, hukum mengasi haiwan adalah harus jika ada maslahat. Namun sudah tentu dengan cara dan proses yang tidak menganiayai haiwan tersebut. Maka jika disebabkan jumlahnya haiwan itu banyak dan menyusahkan serta tidak memudaratkannya, maka tindakan mengembiri tersebut tidak menjadi masalah.

Ini kerana mengasi lebih baik daripada membunuhnya. Namun, jika jumlah kucing itu tidak banyak dan tidak menyusahkan, mudahmudahan dengan membiarkannya membiak itu adalah lebih baik.  Wallahu a‘lam.

                                                 

     Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

   Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

 

 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas