Menu

 

A+ A A-

PANDUAN SOLAT ISTIKHARAH

Ditulis oleh 

Saya masih keliru berkaitan solat Istikharah. Bagaimana kita hendak mengetahui hasil istikharah kita? Adakah dengan petunjuk melalui mimpi, gerak hati atau bagaimana? Mohon penjelasan. Untuk pengetahuan ustaz, saya telah melakukan solat istikharah berkenaan calon pasangan hidup saya.

JAWAPAN :

Kita dianjurkan untuk melakukan solat Istikharah sekiranya berdepan dengan beberapa pilihan dalam satu permasalahan. Bukan sahaja berkenaan dengan jodoh, masalah lain juga kita digalakkan untuk melakukannya. Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Jabir bin Abdillah: “Nabi s.a.w. mengajar kami melakukan solat istikharah pada semua urusan.” (Riwayat alBukhari)

Para ulama fuqaha keempat empat mazhab bersepakat bahawa tanda istikharah itu diterima adalah dengan dilapangkan dada. Rasulullah bersabda kepada Anas dengan maksudnya: “Wahai Anas, apabila kamu berazam ingin melakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah solat istikharah kepada Tuhan kamu sebanyak tujuh kali. Kemudian, lihatlah apa yang mendahului ke dalam hati kamu (melapangkan dada). Sesungguhnya terdapat kebaikan padanya.” (RiwayatIbn al-Sunni)

Lapang dada itu menurut al-Adawi ibarat kecenderungan manusia atau kesukaannya kepada sesuatu tanpa dipengaruhi oleh hawa nafsu atau disertai dengan sesuatu tujuan.

Namun al-Zamlakani daripada ulama Syafi’iyyah berpendapat: “Tidak disyaratkan lapang dada. Apabila seseorang melakukan solat istikharah kepada Tuhannya, maka lakukanlah apa yang terang baginya sama ada lapang dadanya ataupun tidak. Sesungguhnya terdapat kebaikan padanya. Hadis tersebut tidak mensyaratkan lapang dada.”

Adapun tanda tidak istikharah diterima pula, seseorang akan dihalang daripada sesuatu berdalilkan hadis di atas. Hal ini dipersetujui oleh semua ulama. Tanda halangan itu ialah hati seseorang itu tidak akan mengingati lagi kepada perkara tersebut selepas berlaku halangan. Keadaan ini bertepatan dengan lafaz doa istikharah yang bermaksud: “Maka halangilah ia daripadaku dan halangilah aku daripadanya.”

Istikharah Tanpa Solat

SOALAN :

Selain daripada melakukan solat istikharah, adakah cara lain yang boleh saya lakukan sebagai usaha saya mendapatkan petunjuk daripada Allah dalam membuat keputusan?

JAWAPAN :

Sebagaimana yang kita tahu bahawa istikharah sinonim dengan solat dua rakaat dan doa yang ma’thur yang dibacakan selepasnya. Ini merupakan cara yang paling afdal.

Namun ada juga cara lain untuk melakukan istikharah iaitu dengan berdoa sahaja terutamanya bagi perempuan yang uzur. Selain itu, kita boleh juga berdoa selepas apa-apa solat berserta niat istikharah.

Jumlah Rakaat

SOALAN :

Berapakah jumlah rakaat yang afdal untuk saya dirikan solat istikharah?

JAWAPAN :

Solat sunat istikharah lebih afdal dilakukan sebanyak dua rakaat. Hal ini disepakati oleh ulama fuqaha empat mazhab. Cuma mazhab Syafi‘i pula mengharuskan lebih daripada dua rakaat.

Ustaz Dr. Wahbah al-Zuhaili berpendapat bahawa sekiranya tidak nyata lagi baginya tentang perkara itu, seseorang itu boleh melakukannya sebanyak tujuh kali.

Namun Nawawi al-Jawi mengehadkan hanya dua rakaat sahaja. Sekiranya belum nyata baginya hal tersebut pada kali yang pertama, dia hendaklah mengulanginya doa istikharah itu tanpa solat.

Bacaan Dalam Solat

SOALAN :

Adakah terdapat ayat atau surah khusus yang sunat dibacakan selepas surah alFatihah dalam kedua-dua rakaat solat Istikharah?

JAWAPAN :

Ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i sependapat dalam hal ini bahawa pada rakaat pertama, dibacakan surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua, surah al-Ikhlas. Namun sebahagian ulama salaf ada menambahkan bacaan dalam solat istikharah iaitu pada rakaat pertama dibacakan ayat 68-70surah al-Qasas:

1PSI

Manakala pada rakaat kedua pula dibacakan ayat 36 surah al Ahzab:

2PSI

Bagi mazhab Hambali, mereka tidak menentukan bacaan tertentu dalam solat ini.

Doa Istikharah

SOALAN :

Boleh ustaz ajarkan doa yang perlu dibaca untuk istikharah?

JAWAPAN :

Doa ini merupakan doa ma’thur daripada Nabi sebagaimana yang terdapat dalam hadis daripada Jabir. Lafaznya:

3PSI

Nyatakan hajat pada ruangan kosong di dalam doa diatas. Tidak semestinya dinyatakan dalam ayat yang panjang. Cukup sekadar ringkas sahaja dengan menyebutkan subjek yang terlibat seperti: “Jual motor, beli kereta atau nikah dengan Aminah.”

Seperkara lagi, mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i menetapkan bahawa disunatkan membaca pada permulaan doa dengan pujian kepada Allah seperti: “Alhamdulillah dan selawat dan salam ke atas Rasulullah.”

Ustaz Fuad Ismail

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Read 34802 times
Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.