Menu

 

A+ A A-

ISLAM ITU INDAH TETAPI UMATNYA

Apabila kita berjalan di bandar lalu bertemu dengan sepasang non Muslim yang datang dari Eropah. Mereka berpakaian seksi dan bertatu. Kita memandangnya dengan pandangan tajam dan keras, bagai ada seribu kebencian dalam hati. Seolah-olah mereka “makhluk perosak” yang mengganggu keamanan dunia. Wajarkah kita beranggapan begitu? Adakah kita mahu memberitahu bahawa Islam itu keras dan bengis kepada non Muslim?

Bukankah Islam itu indah dan mudah? Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Jangan kamu memperkecilkan suatu perkara yang baik walaupun sekadar tersenyum ke wajah saudaramu.” (Riwayat Muslim)

Salahkah senyum kepada non Muslim? Sudah tentu tidak salah! Maka kenapa kita perlu memberikan air muka bengis kepada mereka? Sepatutnya kita bertanya khabar dan langsung menawarkan khidmat jika mereka memerlukan sesuatu. Biar mereka tahu bahawa orang Islam mudah membantu dan sangat menyenangkan. Bukan menakutkan.

Agama Tanpa Akhlak

Pernah suatu ketika di sebuah hotel, seorang lelaki berjubah dan berjanggut bersama isterinya berpurdah menggertak penjaga kaunter dengan hentakan keras. Lelaki tersebut memarahi pekerja itu dengan suara yang tinggi hanya disebabkan penanda arah kiblat tidak ditampal di dalam bilik hotelnya. Adakah menggertak dan meninggi suara itu akan menjadikan Islam nampak indah? Adakah itu tindakan yang bijak atau kelihatan seperti memalukan?

reBukankah Islam lembut dan pemaaf ? Bahkan kelembutan itu sentiasa mampu menewaskan kekerasan. Orang yang dimarahi akan merasa tidak selesa dan berkonflik. Kita seolah-olah menjatuhkan maruahnya di hadapan orang lain.

Maka Nabi sangat melarang kita daripada menyakiti hati saudara sendiri. Sepatutnya teguran perlu disampaikan secara sopan supaya orang lain berasa dihormati dan menambahkan rangsangan untuk membantu. Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Gembirakanlah dan jangan bersikap kasar. Mudahkanlah dan jangan menyusahkan.” (Riwayat al-Bukhari)

Apabila kita bertemu dengan seorang perempuan Melayu Islam yang tidak bertudung, berpakaian seksi dan bersikap gedik. Kita mula meluat dan membencinya. Kita zahirkan rasa marah atas pendedahan aurat. Pantang saja ada peluang, kita terus memberikan khutbah jihad kepadanya. Adakah itu suatu tindakan yang wajar? Sedangkan kita tidak tahu bagaimana ibu bapanya mendidiknya sewaktu kecil. Kita tidak tahu adakah dia pernah mempelajari Islam atau tidak.

Dakwah itu seharusnya bermula dengan tingkah laku yang baik. Selain itu ia perlu dilakukan secara konsisten dalam masa yang agak panjang. Maka sepatutnya kita mendekati dan menyelami latar keluarga orang yang mendedahkan auratnya. Dalam masa yang sama kita menjadi kawan yang baik serta tidak menyakiti hatinya. Apabila dia sudah lama bersama dengan kita, barulah kita boleh memulakan proses menegur secara lisan. Itulah yang terbaik.

Muslim Tanpa Islam

islamNamun, hari ini kita kekurangan mereka yang boleh berbicara dengan sopan apabila hendak menegur. Kebanyakannya akan menggunakan tempo yang laju dan nada yang tinggi. Sehinggakan orang yang ditegur merasa jauh hati. Lalu orang akan beranggapan bahawa Islam itu keras dan menakutkan.

Sedangkan kita melihat budaya di Barat sangat menjaga tatasusila pergaulan. Kesopanan dan adab mereka sangat tinggi.

Tidak hairan jika seorang ulama besar Islam Syeikh Muhammad Abduh berkata: “Aku melihat ada Islam di Barat tapi tidak ada Muslim, dan ada Muslim di Arab tapi tidak ada Islam”. Maksudnya akhlak Islam itu ada di Barat walaupun mereka tidak memeluk Islam. Sebaliknya Islam tidak wujud dalam jiwa orang Arab beragama Islam.

Wahai saudaraku, Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Mudahkanlah sesuatu urusan dan jangan dipayah-payahkan. Sampaikan yang baik-baik dan jangan disampaikan berita yang menakutkan.” Jelas bahawa Nabi mahu kita memberitahu sesuatu yang positif serta sentiasa membawa keamanan kepada orang di sekeliling. Nabi tidak menggertak atau melatah sesuka hati. Malah beliau sentiasa bersikap bijak.

Abu Hurairah mengisahkan bahawa ketika ada seorang Arab Dusun kencing di masjid. Para sahabat hendak membentaknya namun Nabi Muhammad menahan: “Biarkanlah dia selesaikan hajatnya. Kemudian siramlah kencingnya itu dengan sebaldi air. Anda semua diperintah untuk berlaku manis dan bijak. Bukan berlaku kasar dan menimbulkan kesulitan.” (Riwayat al-Bukhari)

Zahirkan keindahan Islam menerusi akhlak. Semoga lebih ramai orang mengetahui bahawa Islam itu mudah dan indah. Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz A.Ubaidillah Bin Alias

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas