Menu

 

A+ A A-

JUJUR ITU BERANI

Pagi masih bening, awan kumulus berbalam tebal. Warung Pak Kamel sudah ramai pelanggan. Ketika Kauthar tiba, Lebai Syakir sudah tercungap di situ. Belum sempat dia memusing tubuh, lebai itu sudah memanggil-manggil namanya sambil melambai.

 “Ustaz Kauthar! Ke sini, saya belanja!” Kauthar bungkam, dia melangkah berat ke warung Pak Kamel. Punggung  dilabuhkan seraya barang yang dijinjit dari pasar diletak bersebelahan. Lebai Syakir tersengih mempamerkan gigi kuningnya.  

“Selalu sangat ustaz ke pasar beli barang, isteri tak pergi? Atau ustaz takut bini?” Lebai mengusik, seperti minggu  yang sudah. Kauthar memandang sekilas wajah Lebai Syakir sambil memesan secawan teh dan roti canai. Serban Lebai terlilit besar, bulat seperti tayar.

Agama mengajar Kauthar untuk telus. Dia perlu ikhlas dalam berbicara, jangan mahu tunjuk alim hingga sanggup mereka hujah dan fatwa. Pasti fitnah akan melecak. Bahkan fitnah dalam agama lebih berbahaya daripada fitnah dalam perkara dunia. Ia boleh menyebabkan amalan terseleweng, apatah lagi jika boleh menyebabkan akidah tersesat. Punah!  

“Sekali sekala orang minta ke pasar, apa salahnya tolong,” Kauthar jawab acuh tak acuh. “Sekali sekala tak apalah, tapi saya nampak selalu sangat. 

Ustaz nak tahu, selama saya beristeri dua, bini saya tak pernah suruh belikan barang-barang dapur. Lagipun pasar basah dekat sangat. Mereka boleh pergi sendiri. Ustaz pun tahu saya banyak kerja, kan. Kalau ada apa-apa, saya suruh mereka buat sendiri,” lepas satu, satu lagi Lebai Syakir mencucuk.

“Saya hormat isteri saya Pak Lebai, saya kasihankan dia yang banyak buat kerja dirumah sendirian waktu saya keluar bekerja.”

“Ustaz, perlu lagi ke kita orang lelaki buat kerja macam ni? Kalau begitu, mereka nakbuat apa? Mereka ada, buat apa kita susah susah. Jangan jadi dayus sampai mereka berani suruh-suruh. Dalam berumah tangga ni, orang lelaki kena berkuasa sekat suara perempuan. Jangan sampai mereka lebih daripada kita,” Lebai Syakir menyeringai. Serasa dia berjaya mengalahkan Kauthar di depan pelanggan warung Pak Kamel hari ini.

Teh wangi yang diteguk Kauthar tiba-tiba terasa kelat. Dia tidak menyangka Lebai sanggup berkata begitu. Dia memujuk diri sendiri sambil mengatur kalam, dia tidak mahu bermusuh namun kebenaran perlu dijelaskan. Dia perlu berani untuk berlaku jujur.

“Pak Lebai, saya pernah baca buku-buku karangan Abdullah Nasih Ulwan dalam pembinaan keluarga Muslim. Saya juga pernah membaca buku Syeikh Ramadhan al-Buthi dalam menceritakan kedudukan wanita. Setahu saya, wanita setaraf dengan lelaki dalam keluarga. Mereka berhak atas kita dan kita juga berhak atas mereka. Setahu saya, tugas memasak, mengemas dan membasuh semuanya tugas orang lelaki. Cuma ramai orang lelaki yang tak tahu tugas sendiri sampai menyusahkan isteri,” Kauthar meneguk teh yang masih berjelaga. Aroma teh wangi menyerap ke seluruh esofagusnya.

Lebai tertegun setagal apabila Kauthar menyebut nama kitab dan ulama Timur Tengah. Dia kisar duduk. Ini bukan kali pertama Lebai menjadi gundah, malah sudah berkali-kali. Setiap kali berdepan dengan Kauthar, dia asyik kecundang. Diayang buka topik, akhirnya dia juga yang tercekik. Tetapi Lebai tidak mahu serik selagi Kauthar tidak kalah padanya.

“Ustaz memang pandai. Kahwin dua memang banyak tanggungjawab. Saya buat tu kerana sunnah, dapat pahala. Lagi banyak tanggungjawab, lagi banyak pahalanya. Ustaz tak mahu pahala lebih ke? Tak nak kahwin dua?” Lebai berasa selamat kerana dapat menepis dan melibas semula.

ssa 4

“Semua orang tahu kahwin tu sunnah, dapat pahala. Tapi sunnah yang lain tak buat-buat juga. Malah ramai yang menggunakan sunnah sebagai alasan berpoligami, sedangkan tanggungjawab dan kesedaran tak ada.  Yang tahu pun, kadang-kadang tak buat juga.” 

“Lebai, Nabi juga berpoligami, tapi banyak urusan di dalam rumah, Baginda lakukan sendiri. Contohnya menjahit pakaiandan menolong isteri di rumah. Malah, Nabi nyatakan sebaik-baik dalam kalangan umatnya adalah yang elok pergaulan dengan isteri-isterinya. Bererti, menolong isteri dan meringankan beban mereka adalah satu sunah,” Lebai terdiam, dia tewas sekali lagi.

Kauthar bangkit daripada duduk sejurus menghabiskan sarapannya, dia berterima kasih kepada Lebai Syakir dan beredar. Dia tidak mahu memusuhi sesiapa, dia cuma berkata jujur dengan apa yang dia yakini. Itu sahaja. 

Seminggu kemudian Kauthar ke pasar membeli barangan dapur. Ketika membelek-belek sayur segar, dia disapa.

“Assalamualaikum ustaz Kauthar,” Kauthar berkalih, melirik kepada empunya suara.

“Eh, Lebai Syakir!” Mata Kauthar terbuntang luas.

Lebai Syakir tersenyum, “Terima kasih kerana berkata jujur dalam perbincangan tempoh hari, terima kasih kerana berani menegur saya. Dengan izin Allah, saya sudah merubah layanan saya terhadap isteri-isteri. Semoga Allah merahmati ustaz.”

“Alhamdulillah,  semoga Allah merahmati kita semua,” Kauthar tersenyum.

 

A. UBAIDILLAH ALIAS

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

 

A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas