Menu

 

A+ A A-

REMEH-TEMEH MUAMALAT BERSAMA PROF DR ASHRAF MD HASHIM (#1)

“Modal saya sekian, saya dapat untung sekian aje!”

SAYA selalu mendengar peniaga menyatakan “Modal saya sekian, saya dapat untung sekian aje!” Apa hukum perbuatan tersebut?

Jawapan: Jika apa yang disebut oleh penjual itu benar, maka ia bukanlah menjadi suatu kesalahan. Namun jika ia tidak benar dan disebut begitu semata-mata menarik perhatian pembeli dan sebagai salah satu strategi pemasaran, maka sudah tentu ia tidak dibenarkan kerana satu bentuk penipuan. Menipu haram hukumnya.

Harga Ansuran lebih mahal

Saya ditawarkan untuk membeli satu barangan elektrik. Penjual menyatakan bahawa harganya adalah RM1000.00 ringgit jika bayaran dibuat secara tunai. Jika ia dibuat secara ansuran, maka harganya adalah RM1200.00. Adakah ini dibenarkan? Tidakkah ia dianggap sebagai riba?

Jawapan: Secara umumnya, tidaklah menjadi kesalahan bagi penjual meletakkan harga yang berbeza ke atas sesuatu barangan dengan mengambil kira cara pembayarannya, iaitu sama ada secara tunai atau ansuran. Perkara ini boleh dinyatakan semasa iklan dibuat atau semasa proses rundingan antara penjual dan pembeli. Apabila pembeli sudah membuat keputusan untuk membeli barangan tersebut secara tunai atau ansuran, maka perlu diingat bahawa hanya satu harga sahaja yang boleh disebut semasa akad jual beli dilakukan. Dengan kata lain, pilihan dua harga tidak lagi boleh disebut atau berada dalam akad jual beli.

remehtemeh-muamalat-1

Untung Tidak Terhad

Saya seorang usahawan yang menjalankan perniagaan import barangan dari China. Saya menjual barangan tersebut di Malaysia dengan harga yang berlipat kali ganda. Adakah ini dibenarkan? Adakah di sana terdapat had tertentu ke atas keuntungan yang boleh saya buat?

Jawapan: Syariah tidak meletakkan had keuntungan tertentu ke atas sesuatu perniagaan selama mana ia harga yang dipersetujui oleh pihak saudara selaku penjual dan dipersetujui oleh pembeli. Namun adalah menjadi kesalahan jika keuntungan tinggi yang saudara buat itu berlaku dengan cara penipuan, eksploitasi atau dengan cara-cara lain yang tidak dibenarkan oleh syarak dan undang-undang. Misalnya dengan memonopoli dan menyorok barang tersebut agar permintaan terhadapnya tinggi dan harganya meningkat.

Prof Dr Ashraf Md Hashim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas