Menu

 

A+ A A-

HUKUM KANAK-KANAK BERJUAL BELI

APAKAH dalil-dalil yang menunjukkan jual beli dibolehkan dalam Islam?

Al-Quran dengan jelas menghalalkan jual beli ketika menjawab pertanyaan golongan yang ingkar dan mahu mempertahankan amalan riba kerana bagi mereka riba sama seperti jual beli. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: “Padahal Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Begitu juga dalam surah al-Nisa’ ayat 29, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu.”

Dalam hadis riwayat al-Bukhari, daripada al-Zubayr bin al-‘Awwam, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika ada antara kamu yang mengambil seutas tali, kemudian dia memikul seikat kayu di belakangnya lalu dijual, dan kerana itu Allah menjaga mukanya (maruahnya). Itu lebih baik daripada dia meminta-minta belas ihsan orang ramai, sama ada mereka memberinya atau tidak.” Maksud Allah s.w.t menjaga mukanya adalah apabila dia menjual kayu tersebut, Allah akan memelihara maruahnya daripada dihina dan menjaga air mukanya.

Bagaimanakah urusan jual beli dilakukan oleh para sahabat pada zaman Rasulullah s.a.w.?

Para sahabat Rasulullah s.a.w. telah melakukan urusan jual beli berdasarkan apa yang dilihat oleh Baginda atau mengetahui jual beli yang dijalankan, dan Baginda memperakui apa yang mereka lakukan dan tidak pula menghalangnya. Ini menunjukkan bahawa urusan jual beli itu diterima syarak. Jika terdapat amalan yang bertentangan dengan syarak, maka Baginda akan menegah atau membetulkannya. Terdapat banyak hadis yang berkisar tentang perkara ini. Antaranya sila rujuk Sahih al-Bukhari dalam bab jual beli, apa yang dikatakan tukang, jual senjata ketika kekacauan dan sebagainya.

Apakah rukun akad jual beli?

Sebagaimana yang diketahui, jual beli merupakan satu akad. Setiap akad memerlukan rukun. Rukun-rukun ini mempunyai syarat-syarat tersendiri supaya ia diterima sebagai sah seterusnya memberikan implikasi tertentu.

Rukun dalam akad jual beli ada tiga iaitu:

1 Pihak yang melakukan akad.

2 Sighah (lafaz akad).

3 Barang jualan dan harganya.

hukum-kanakkanak-berjual-beli-1

Adakah sah jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak?

Antara syarat bagi orang yang hendak melakukan akad jual beli sama ada penjual atau pembeli ialah waras. Maksud waras ialah baligh, berakal dan boleh mengurus harta dengan baik. Urus niaga yang dijalankan oleh kanak-kanak yang memenuhi ciri-ciri ini adalah sah. Adapun kesahihan urusan perniagaan yang dijalankan oleh kanak-kanak yang tidak memenuhi ciri-ciri tersebut (misalnya belum mumaiyiz atau belum boleh mengurus harta dengan baik) terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Urusan yang hanya membawa manafaat, contohnya penerimaan hadiah, sedekah dan seumpamanya. Urusan sebegini ini adalah sah. Maksudnya, jika seseorang memberi hadiah kepada seorang kanak-kanak yang belum mumaiyiz, maka ianya adalah sah dan hak milik hadiah tersebut berpindah kepada kanak-kanak yang menerima hadiah.

2. Urusan yang hanya membawa kepada kemudaratan, contohnya hadiah yang diberi oleh kanak-kanak yang belum mumaiyiz kepada seseorang. Urusan seumpama ini adalah tidak sah.

3. Urusan yang boleh membawa kepada manafaat dan mudarat, contohnya urusan jual beli, menyertai syarikat perniagaan (yang berkemungkinan untung atau rugi) dan lain-lain. Kesahihan urusan yang seumpama ini adalah tergantung kepada persetujuan wali kepada kanak-kanak tersebut atau kepada kanak-kanak itu sendiri apabila mencapai umur baligh, berakal dan boleh mengurus harta dengan baik.

Hukum di atas juga terpakai bagi orang yang tidak dibenarkan mengurus harta sendiri kerana bodoh atau lurus bendul. Hal ini menyebabkan dia tidak layak menguruskan harta. Contohnya, orang yang membelanjakan hartanya dalam perkara-perkara yang diharamkan atau terlalu boros membelanjakan harta ataupun orang yang dianggap cuai dan tidak bijak serta tidak berpengalaman menguruskan harta.

hukum-kanakkanak-berjual-beli-2

Bagaimana cara untuk mengetahui seorang kanak-kanak itu sudah layak untuk menjalankan urusan jual beli?

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 6 yang bermaksud: “Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian, jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkan kepada mereka hartanya.”

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. memerintahkan para penjaga agar menguji anak anak yang berada bawah jagaan mereka dengan cara menyuruh mereka menjalankan urusan jual beli setelah mereka cukup umur. Jika mereka dapat menguruskan harta tersebut dengan baik, mereka akan diberikan kebenaran untuk memperolehi semua harta mereka dan segala urusan mereka dianggap sah. Ini menunjukkan bahawa kewarasan adalah syarat untuk memperoleh harta dan menguruskannya. Urusan jual beli adalah urusan yang membabitkan harta, oleh itu kewarasan menjadi syarat dalam urusan ini.

Datuk Hj.Md. Hashim Yahaya

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Dato’ Hashim Yahya

Mantan mufti Wilayah Persekutuan, dilahirkan di Pulau Pinang dan melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Unuiversiti al-Azhar Mesir. Menjadi Ahli Lembaga Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Penasihat Syariah EPF/RHB Capital Berhad / RHB Unit Trust Management Berhad / Bank Pembangunan dan Infranstruktur Malaysia Berhad. Beliau juga menjadi penasihat kepada beberapa lagi buah bank antaranya Perbankan Islam/Suruhanjaya Sekuriti/Syarikat Takaful/Bank Rakyat, Penasihat syariah Southern Bank Berhad/AM Bank/ Islamic Banking Department of Malaysia Rating Corporation Berhad / Public Bank / Malayan Banking & Maybank Dana Yakin dan banyak lagi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Terkini daripada Dato’ Hashim Yahya

Kembali ke atas