LAFAZ JUAL BELI TANDA KEREDAAN
- Ditulis oleh Prof Dr Ashraf Md Hashim
- Kategori Jual Beli
- Read 42619 times
USTAZ, saya sering mendengar seorang penjual mengatakan “saya jual” dan pembeli mengatakan “saya beli”. Boleh ustaz jelaskan, mengapa dilafazkan begitu?
Sebenarnya ia adalah lafaz yang terbit daripada kedua-dua pihak berakad yang menggambarkan keinginan dan keredaan kedua-duanya untuk melakukan akad. Sebagaimana yang diketahui, akad jual beli hendaklah dilakukan dengan keredaan pihak-pihak yang berakad. Namun, keredaan adalah perkara yang tersembunyi dalam hati. Oleh itu, sighah memainkan peranan penting di dalam menzahirkan keredaan tersebut. Dengan kata lain, sighah yang terkandung dalamnya ijab dan kabul adalah tanda kepada keredaan penjual dan pembeli.
Ijab daripada penjual seperti katanya: “Saya jual kepada awak pakaian ini dengan harga seratus ringgit”, manakala kabul daripada pembeli seperti katanya: “Saya terima atau saya beli atau apa yang seumpamanya.”
Adakah sighah itu perlu kepada lafaz yang jelas untuk dihukum sah jual belinya?
Sighah terbahagi kepada perkataan yang sarih (nyata) dan lafaz kinayah (kiasan). Sighah lafaz yang sarih (nyata) adalah setiap lafaz zahir yang secara jelas merujuk kepada jual beli. Contohnya: “Saya jual kepada kamu atau saya serahkan hak milik barang ini kepada kamu.” Sementara pembeli pula berkata: “Saya beli atau saya terima hak milik barang ini.” Sebagai tanda persetujuan, adalah memadai untuk pembeli berkata: “Saya terima.”
Secara amnya, lafaz ijab dan kabul hendaklah sepadan. Adalah tidak sah ijab dan kabul jika penjual berkata: “Saya jual kain ini dengan harga seratus ringgit.” Dan pembeli menjawab: “Saya beli kain tersebut dengan harga sembilan puluh ringgit.” Batalnya akad tersebut adalah kerana ketidaksepadanan pada harga yang disebut oleh penjual dan pembeli.
Manakala sighah kinayah (kiasan) adalah ungkapan yang boleh membawa maksud jual beli dan pada masa yang sama juga boleh membawa pengertian yang lain. Contohnya seorang penjual berkata: “Saya jadikannya milik engkau dengan harga sekian.” Ataupun dia berkata: “Ambillah dengan harga sekian.” Ataupun: “Saya serahkan dengan harga sekian.” Pembeli pula menjawab: “Saya ambil dan saya terima.” Ungkapan yang diucapkan dengan sarih (nyata) dianggap sah sebagai jual beli sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebaik sahaja ia diucapkan tanpa perlu bergantung kepada niat. Sementara ungkapan secara kiasan pula tidak dianggap sebagai jual beli kecuali jika ia dilakukan dengan niat jual beli atau ada tanda-tanda yang merujuk kepada wujudnya kemahuan ke arah itu, misalnya menggunakan lafaz “ambillah” dengan menyebut harga. Sudah tentu “ambil” di sini membawa maksud “jual” dan bukannya “hadiah” kerana disebut harga dalam lafaz tersebut. Hadiah berlaku secara percuma tanpa harga.
Adakah sah jual beli sekiranya penjual menghulurkan barangan dan pembeli menghulurkan wang tanpa sepatah kata antara mereka atau hanya seorang sahaja bersuara yang lain tidak?
Perbuatan di atas diistilahkan oleh fuqaha sebagai al-‘aqd bi almu’atah. Pendapat yang masyhur dalam mazhab Shafi’i ialah kedua-dua pihak perlu melafazkan akad dan jual beli tidak sah dengan hanya hulur-menghulur. Namun, beberapa orang fuqaha mazhab membolehkan jual beli dengan cara hulur-menghulur, cuma bagi barangan yang murah seperti roti, seikat bawang dan sebagainya. Manakala jual beli secara hulur ini tidak sah bagi barangan mewah atau barangan yang mempunyai nilai yang tinggi. Sesetengah ulama mazhab yang mutakhir seperti Imam al-Nawawi rhm. membenarkan apa-apa jual beli yang dilakukan melalui cara ini jika ia menjadi satu kebiasaan. Pendapat ini lebih memudahkan dan lebih peka kepada kemudahan orang ramai. Dan ia mengelakkan masyarakat daripada terjebak dalam dosa dan aturan yang boleh membatalkan jual beli mereka.
Apatah lagi pada hari ini jual beli secara hulur-menghulur telah diamalkan secara meluas. Dewasa ini jarang sekali kedua-dua pihak yang berjual beli mengucapkan penawaran dan persetujuan (ijab dan kabul), khususnya bagi barangan yang tidak tinggi nilainya. Jual beli dengan cara sebegini biasa kita lihat di pasar raya, restoran, kedai runcit dan sebagainya.
Bagaimana pula orang yang bisu? Adakah sah jual beli mereka?
Hukum yang disebutkan tadi hanya membabitkan orang yang boleh bercakap. Adapun orang yang bisu, mereka hanya perlu menunjukkan isyarat yang mudah dan boleh difahami oleh pihak yang berakad dengannya. Isyarat ini diterima bagi menggantikan ucapan yang perlu diucapkan atas dasar keperluan yang mendesak (tidak boleh bercakap). Isyarat ini dapat menyatakan hajatnya sama seperti ucapan yang digunakan oleh orang yang bercakap. Selain itu, tulisan juga termasuk dalam erti kata isyarat. Malah, ia lebih baik kerana tulisan memberikan bukti yang lebih kukuh bagi menunjukkan hasrat atau keredaan orang bisu tersebut.
Bagaimana pula kedudukan sighah apabila jual beli dilakukan melalui mesin-mesin menjual air, coklat, biskut dan sebagainya? Tidak ada “penjual” yang boleh dilakukan ijab dan kabul dengannya.
Ini adalah perkembangan pada zaman moden ini. Dewasa ini, sememangnya terdapat banyak mesin-mesin yang menjual berbagai-bagai barangan. Bagi menjawab soalan ini, adalah penting untuk dilihat tujuan asal sighah diletakkan sebagai salah satu rukun dalam akad jual beli. Sesungguhnya, ia bertujuan menzahirkan keredaan pihak-pihak yang berakad dan juga untuk mengelakkan sebarang perbalahan antara mereka pada masa hadapan. Berbalik kepada mesin-mesin tersebut, saya berpandangan bahawa jual beli yang berlaku adalah sah apabila perkara-perkara berikut dipenuhi:
1. Penjualan melalui mesin-mesin tersebut hanyalah melibatkan perkara-perkara yang tidak tinggi nilainya seperti air minuman, makanan ringan dan sebagainya.
2. Sifat barang jualan dan harganya hendaklah dipamerkan dengan jelas. Ini bolehlah mengambil peranan ijab dalam sighah. Pembeli yang memasukkan wang ke dalam mesin tersebut menunjukkan keredaannya untuk membeli barang tertentu dengan harga yang dipamerkan. Perbuatan ini bolehlah dianggap sebagai kabul. Perbuatan di atas juga sudah menjadi amalan (‘uruf) dan diterima oleh masyarakat tanpa adanya unsur-unsur perbalahan.
3. Mesin tersebut juga hendaklah berkebolehan untuk memulangkan wang baki. Jika ini tidak dapat dilakukan, maka satu notis yang jelas hendaklah dipamerkan untuk memberitahu pembeli agar memasukkan wang jumlah yang tepat. Disyorkan juga agar pihak operator mesin mempamerkan nombor telefon untuk dibuat aduan sekiranya berlaku masalah teknikal atau kerosakan pada mesin tersebut.
Wallahua’lam.
Prof. Dr. Ashraf Md Hashim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4
Prof Dr Ashraf Md Hashim
Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.