Menu

 

A+ A A-

MUZIK UNTUK BAYI DALAM KANDUNGAN

MUZIK UNTUK BAYI DALAM KANDUNGAN

Untuk bayi menjadi aktif, ada saranan supaya ibu memperdengarkan janin dalam kandungannya dengan muzik. Adakah perbuatan sedemikian dibolehkan dalam Islam?

MUKADIMAH: Setiap ibu menginginkan yang terbaik untuk bayinya. Ada kajian mendapati bahawa dengan alunan muzik mampu merangsang kecerdasan otak dan minda bayi di dalam kandungan.

RINGKASNYA: Maka tidak salah bagi ibu-ibu mengandung untuk meletakkan alat-alat yang mengeluarkan bunyi di bahagian perut mereka bagi tujuan tersebut. Cuma diingatkan agar tidak keterlaluan sehingga memudaratkan kandungan.

NASIHAT: Seperkara lagi, para ibu mengandung dinasihatkan supaya memperbanyakkan membaca ayat ayat suci al-Quran kerana ia merupakan pengubat bagi segala penyakit dan pelindung bagi mereka yang membacanya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Kami turunkan al-Quran yang mampu menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman kepadanya.” (Surah al-Isra’: 82)

Oleh sebab itu, ustaz menasihatkan agar bayi dalam kandungan lebih banyak diperdengarkan dengan ayat-ayat suci al-Quran sama ada ia dibaca oleh si ibu sendiri atau dibaca oleh qari-qari terkemuka menerusi kaset dan CD. Amalan seperti ini lebih mulia berbanding lagu-lagu dan muzik-muzik yang sangat melalaikan.

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, muzik-muzik yang dibenarkan ialah:

1.Muzik-muzik yang tidak bercanggah dengan syariat Islam sehingga menyerabutkan pendengarnya.

2.Lagu-lagu yang didendangkan tidak menghina Islam sama ada dari aspek lirik mahupun alunannya.

3.Perbuatan tersebut tidak menyebabkan si ibu lalai hingga meninggalkan solat atau berzikir kepada Allah.

 

Kumpulan Marhaban Perempuan dalam Majlis Akikah

Bolehkah kumpulan marhaban wanita mengalunkan selawat dan qasidah dalam majlis akikah bayi yang baru lahir?

RINGKASNYA: Boleh hanya ketika ketiadaan kaum lelaki.

HURAIAN: Secara asasnya, adat resam dalam Islam terbahagi kepada dua jenis:

1. Adat yang ditolak oleh Islam kerana amalannya bercanggah dengan kehendak al-Quran dan sunnah seperti adat bersalaman antara sepupu yang berlainan jantina.

Sepupu merupakan golongan keluarga yang halal dikahwini. Maka haram menunjukkan aurat apatah lagi bersalaman sesama mereka. Lebih teruk lagi, ada yang bercium tangan atau pipi seperti adik-beradik. Oleh yang demikian, adat-adat jenis seperti ini adalah ditolak

2. Adat yang bertepatan dengan kehendak syariat Islam. Maka pengamalannya juga dibenarkan oleh syarak dengan syarat tidak melampaui batas seperti adat mengalunkan selawat secara beramai-ramai dalam majlis akikah. Namun, amalan tersebut mesti menepati beberapa syarat seperti berikut:

a) Alunan selawat beramai-ramai itu dilakukan oleh golongan lelaki sahaja. Manakala golongan wanita makruh berbuat demikian di hadapan kaum lelaki. Ini kerana dikhuatiri akan menyebabkan timbulnya fitnah yang lebih besar dan memudaratkan banyak pihak. Asas kepada hukum ini ialah merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu (wanita) melenggok-lenggokkan suara kamu ketika berkata-kata kerana ia akan menyebabkan golongan (lelaki) yang mempunyai penyakit hati berminat kepada kamu (fitnah). Bercakaplah dengan kata-kata yang mulia (yang tidak menimbulkan fitnah).” (Surah al-Ahzab: 32)

Sehubungan dengan itu, ustaz menyarankan agar kumpulan marhaban wanita mengalunkan qasidah, nasyid atau selawat hanya ketika ketiadaan kaum lelaki. Usaha ini lebih selamat agar tidak terjebak dalam perkara yang diharamkan Islam. Sesungguhnya sikap berhati-hati itu lebih baik daripada mengambil jalan sambil lewa.

b) Majlis akikah itu tiada unsur-unsur kemaksiatan.

c) Tidak mewajibkan amalan ini. Ini kerana tidak terdapat sebarang nas atau dalil yang menunjukkan kepada hukum berkenaan.

d) Tidak beranggapan bahawa amalan seperti ini sebagai sunnah yang mesti dilakukan ke atas semua bayi yang baru lahir.

Sekali lagi, ini kerana tidak terdapat sebarang dalil sama ada daripada al-Quran atau sunnah yang menunjukkan Nabi pernah berbuat demikian. Walau bagaimanapun, perbuatan ini tidak menjadi satu kesalahan dan ia boleh dikategorikan di bawah adat resam yang diharuskan dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

 

Pembedahan Kosmetik untuk Menghilangkan Tanda Lahir di Wajah

Anak kedua kami lahir dengan satu tanda lahir yang memanjang di sebelah pipinya. Doktor menyarankan agar kami melakukan pembedahan untuk membuang tanda tersebut apabila anak kami berusia dua tahun nanti. Bolehkah kami melakukannya?

RINGKASNYA: Boleh sekiranya memenuhi syaratnya.

HURAIAN: Tidak dinafikan terdapat sebahagian bayi yang lahir bersama dengan tanda merah atau hitam di wajahnya. Tanda-tanda lahir tersebut menyebabkan wajah bayi itu kelihatan kurang menarik atau dalam erti kata lain hodoh. Tanda kelahiran sedemikian akan menyebabkan kecacatan pada wajah seumur hidup jika tidak dirawat.

Ramai ulama antaranya Imam al-Shirbini daripada mazhab Syafi‘i, Ibn Jauzi daripada mazhab Hanbali, al-Aini daripada mazhab Hanafi dan Abu al-Walid al-Qurtubi daripada mazhab Maliki mengharuskan pembedahan kosmetik ke atas wajah bayi berkenaan bagi menghilangkan kecacatan yang terdapat pada mukanya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi seperti berikut:

1. Telah mendapat nasihat daripada pakar kulit yang diiktiraf.

2. Pembedahan dilakukan oleh pakar kulit yang diiktiraf.

3. Pembedahan tersebut tidak akan memudaratkan bayi berkenaan.

4. Tiada alternatif lain kecuali pembedahan kosmetik yang dicadangkan oleh pakar kulit.

5. Pembedahan hanya dilakukan pada tempat yang bermasalah sahaja dan tidak melibatkan anggota lain yang tidak berkaitan.

Wallahu  a‘lam.

 

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir (Al-Jarumi)
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz Isu No.9


Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas