Menu

 

A+ A A-

SUMPAH, NAZAR DAN KAFARAH

Ditulis oleh 

Asal

Saya perhatikan ada sebahagian orang mudah sahaja bersumpah dan suka bernazar apabila menginginkan hajatnya tercapai. Apakah hukum sumpah dan nazar sebenarnya?

Prinsip: Pada asalnya, hukum bersumpah adalah makruh. Namun ia boleh berubah menjadi sunat bahkan wajib apabila ada hajat yang mendesak seperti membela hak di mahkamah dan lain-lain. Oleh itu, perbuatan mudah bersumpah kurang disukai dalam Islam. Imam al-Syafi‘i pernah berkata: “Aku tidak pernah bersumpah dalam ucapan benar ataupun dusta.” Lebih tidak disukai lagi ialah menggunakan sumpah untuk tujuan maksiat seperti bersumpah di mahkamah untuk merampas hak orang lain. Sumpah seperti ini disebut “yamin al-ghamus”, yakni sumpah palsu yang menjerumuskan pelakunya ke neraka.

Adapun bernazar adalah satu bentuk ibadah dalam mazhab Syafi‘i. Namun dalam mazhab Hambali, nazar hukumnya makruh. Sebab ia mengubah perbuatan yang tidak wajib menjadi wajib serta merupakan penambahan bebanan ke atas manusia.

Bernazar Jika Beroleh Anak

Sudah dua tahun kami berkahwin namun belum mendapat rezeki cahaya mata. Jadi kami merancang untuk bernazar. Mohon nasihat ustaz, apakah jenis nazar yang terbaik untuk kami lakukan?

Puan tidak perlu bernazar. Sebaliknya, menggantikan “rancangan nazar” dengan memperbanyakkan amalan daripada sekarang. Sebab nazar sama sekali tidak dapat menjadi penguat doa. Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu bernazar. Sesungguhnya nazar tidak dapat menolak takdir. Ia hanya berjaya mengeluarkan wang daripada orang bakhil!” (Riwayat Muslim) Perkara yang akan menguatkan doa kita ialah amalan soleh yang kita lakukan. Jika ada hajat tertentu, gandakanlah amalan sunat seperti sedekah, puasa dan bertahajud. Selepas itu, berdoalah kepada Allah bersempena dengannya. Inilah yang disebut sebagai bertawassul dengan amal soleh. Mudah-mudahan dengannya, hajat puan dipermudahkan oleh Allah.

Sumpah Tidak Makan Masakan Isteri

NAZARSaya pernah bertengkar dengan isteri. Saya marah kerana ia membuat sambal yang terlalu pedas. Dalam beremosi marah, saya berkata: “Saya bersumpah dengan nama Allah tidak akan pernah makan masakan awak lagi!” Sekarang ini saya menyesal kerana menyedari ucapan itu telah menyakiti perasaannya. Soalan saya, adakah masakan isteri saya haram saya makan selama-lamanya? Bagaimanakah cara agar saya boleh kembali boleh menikmati masakan isteri saya lagi?

Sumpah saudara ini dikira sah. Nama Allah mahal harganya. Sekali anda gunakannya untuk bersumpah, anda terikat kepada sumpah tersebut selama-lamanya. Namun begitu, jangan bimbang kerana Islam memberikan jalan keluar bagi kes ini. Rasulullah bersabda: “Jika kamu telah bersumpah (untuk melakukan atau meninggalkan) sesuatu, lalu kamu melihat lebih baik untuk tidak melaksanakannya, maka lakukanlah apa yang lebih baik itu dan bayarlah kafarah atasnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Jadi, jalan keluarnya, bayarlah kafarah untuk menebus sumpah itu.

Seterusnya anda boleh kembali menikmati masakan isteri dan mengubati perasaannya yang terluka. Suka saya nasihatkan agar pada masa hadapan tuan mengawal diri dan tidak bersumpah kecuali jika benar-benar ada hajat.

Kafarah Sumpah dan Nazar

Boleh ustaz jelaskan bagaimana cara membayar kafarah untuk menebus sumpah?

JAWAPAN Kafarah wajib dibayar apabila seseorang melanggar sumpah atau nazarnya. Kafarah itu berbentuk salah satu daripada tiga pilihan berikut:

1. Membebaskan hamba sahaya yang Mukmin, atau

2. Memberi makan sepuluh orang miskin. Seorang minimum satu mud beras atau

3. Memberi pakaian 10 orang miskin. Boleh berbentuk baju, seluar ataupun skirt. Jika tidak mampu melakukan

ketiga-tiganya, maka wajib puasa 3 hari. Puasa itu tidak wajib dilakukan berturut-turut. Namun tidak boleh beralih kepada puasa kecuali benar-benar tidak mampu melakukan ketiga-tiga pilihan di atas.

10 untuk 1

Saya hendak menebus sumpah saya dengan kafarah. Sepuluh pakej makanan telah saya siapkan. Namun, apabila mencari fakir miskin untuk menerima kafarah ini, saya bertemu seseorang yang sangat memerlukan bantuan. Bolehkah saya berikan semua pakej makanan tersebut kepadanya?

Duka cita saya jawab, tidak boleh. Ketetapan bilangan 10 orang miskin ini adalah ketentuan al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 89. Kita tidak boleh mengubah ketentuan ini semahu kita. Kita tetap berkewajiban juga mencari 10 orang fakir miskin. Ini mazhab jumhur ulama. Meski begitu, mazhab Hanafi mengajukan pendapat berbeza. Menurut mereka boleh memberikan kafarah itu kepada satu orang miskin selama 10 hari yang berlainan. Bagaimanapun, jika ia memberi kesemua pakej makanan itu sekali gus dalam satu hari, maka ianya tetap tidak sah sebagai kafarah.

Nazar Ibu

Ibu saya pernah bernazar melakukan umrah. Namun beliau meninggal dunia sebelum melakukan nazar tersebut. Sebagai warisnya, apa yang mesti kami lakukan?

Anda boleh melaksanakan nazar itu untuk beliau. Anda boleh melakukan umrah itu sendiri atau membayar orang lain untuk melakukannya. Seorang perempuan berkata kepada Rasulullah: “Ibu saya pernah bernazar untuk melaksanakan haji. Namun beliau meninggal sebelum melakukannya. Bolehkah saya melakukan haji nazar itu?” Baginda bersabda: “Lakukanlah. Hutang Allah lebih berhak untuk dibayarkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Jika ibu anda meninggalkan harta warisan, mesti dikeluarkan sebahagian harta itu untuk menunaikan nazarnya sebelum diagihkan kepada ahli waris. Jika tidak, anda boleh membayar kos umrah itu daripada harta anda sendiri. Tetapi ini bukan satu kewajipan, hanya galakan sahaja. Jika anda tidak melakukannya, maka anda tidak berdosa.

 

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Read 11964 times
Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.