Menu

 

A+ A A-

RASULULLAH S.A.W. BAPA MITHALI : CARA EFEKTIF MEMBANGUNKAN JIWA ANAK-ANAK

1. Bersahabat dengan Anak

Persahabatan mempunyai pengaruh yang besar dalam jiwa seorang anak. Sahabat menjadi cerminan bagi sahabatnya yang lain. Sahabat juga boleh menjadi pendorong kepada kejayaan seseorang.

Oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. sering bersama dengan anak-anak. Baginda sering menemani anak tanpa merasa susah dan hina.

Menurut Anas, Rasulullah s.a.w. pernah didatangi Jibril a.s ketika baginda sedang bermain dengan anak-anak. Baginda ditarik oleh Jibril dan dijatuhkan lalu dibedah dadanya. Ketika bersama dengan anak, baginda s.a.w. sentiasa memberi motivasi dan membangunkan jiwa dan semangat mereka melalui kata-kata dan kisah para nabi terdahulu.

2. Menggembirakan Hati Anak

Kegembiraan dan keriangan memberikan kesan yang mendalam terhadap jiwa anak. Sebagai kain putih yang masih suci dan bersih, anak-anak amat menyukai sesuatu yang menggembirakan. Oleh kerana itu, baginda s.a.w. senantiasa menggembirakan anak melalui pelbagai cara dan pendekatan.

Antara pendekatan tersebut adalah:

·    Melayan anak dengan baik.
·    Mencium dan meribai anak.
·    Mengusap kepala.
·    Memberikan makanan yang baik.
·    Makan bersama anak.

3. Mewujudkan Persaingan Sihat dan Memberikan Ganjaran

Secara umumnya, manusia suka bersaing untuk menjadi yang terbaik. Apatah lagi anak-anak yang mempunyai emosi dan potensi untuk cemerlang yang tinggi.

Keupayaan dapat dilihat apabila bersaing dengan adik-beradik atau rakan-rakan mereka yang lain. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w sering membangkitkan semangat bersaing di kalangan anak-anak agar potensi mereka yang besar itu dapat dijelmakan dengan baik.

Ganjaran juga akan memberikan motivasi kepada anak-anak. Oleh yang demikian sebagai seorang ibu atau bapa kita boleh mewujudkan persaingan di kalangan anak-anak seperti membuat teka-teki dan pertandingan larian. Pemenang bagi pertandingan tersebut kemudiannya diberikan hadiah atau ganjaran. Pendekatan seperti ini adalah berkesan dan mempunyai kelebihan-kelebihan berikut:

·    Anak-anak akan terbiasa dengan roh kebersamaan (sama ada bersama ibu bapa,adik beradik atau rakan-rakan).
·    Menghindarkan diri anak dari sikap mementingkan diri sendiri.
·    Anak-anak dapat memahami erti kehidupan yang sebenar, kadang kala manusia berada di puncak dan kadang kala tersungkur jatuh menyembah bumi.

4. Memotivasikan Anak

Motivasi adalah unsur penting dalam proses pendidikan. Memberikan dorongan jiwa kepada anak, menggerakkan tindakan yang positif dan mengungkap potensi dan diri mereka yang terpendam. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sehingga baginda pernah berlumba lari dengan anak-anak.

Begitu juga Sayidina Umar alKhattab yang mendorong anaknya agar berani untuk berpidato di hadapan orang dewasa.
 
5. Pujian dan Bergurau Senda dengan Anak

Pujian mempunyai pengaruh yang besar dalam jiwa anak. Ianya dapat mengerakkan perasaan dan emosi agar selalu memperbaiki kelemahan diri.

Gurauan pula membantu perkembangan jiwa anak-anak dan mengeluarkan potensinya yang terpendam. Kepentingan gurauan disebut oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:“Barang siapa yang mempunyai anak kecil hendaklah diajak bergurau senda.” (Riwayat Ibn Asakir)

Ummu Khalid yang lahir di Habsyah,sewaktu kecilnya pernah dibawa oleh ayahnya bertemu Rasulullah s.a.w. Dia bercerita:

“Waktu itu saya memakai baju berwarna kuning. Apabila melihat saya berpakaian tersebut Rasulullah berkata (dengan bahasa Habsyah), “Sanaa, sanaa (cantik! cantik)’

“Saya terus bermain-main dengan cincin Rasulullah s.a.w.” Cerita Ummu Khalid lagi: “Dan ayah saya melarang saya, tetapi Rasulullah s.a.w. bersabda, “Biarkan saja!” (Riwayat alBukhari)

6. Membangunkan Kepercayaan dan Keyakinan diri Anak

Rasulullah s.a.w. menggunakan banyak cara untuk membangunkan kepercayaan dan keyakinan diri anak-anak.

Antaranya:

·    Menyokong kemahuan anak.
·    Membiasakan anak agar menjaga rahsia. Apabila seseorang anak diberikan kepercayaan untuk menyimpan rahsia, maka anak tersebut akan mula belajar untuk mengendalikan diri dan menguasai kemahuannya. Kesannya, rasa percaya dan keyakinan diri akan bertambah.

·    Membiasakan anak berpuasa. Ketika seseorang anak mampu menahan diri daripada lapar dan dahaga, dia akan merasakan yang dia telah berjaya. Oleh yang demikian, keinginannya untuk berani menghadapi cabaran dalam kehidupan akan semakin menebal dan sudah pasti kepercayaan dan keyakinan pada dirinya akan semakin meningkat.

·    Membangunkan kepercayaan sosial. Ketika anak-anak sudah mampu untuk melakukan kerja-kerja rumah, bergaul dengan orang dewasa dan berinteraksidengan rakanrakan, maka kepercayaan dalam bersosial atau keyakinannya untuk berinteraksi dengan orang lain akan bertambah.

·    Membangunkan kepercayaan ilmu. Bermula dengan mengajarkan alQuran, hadis dan sirah nabi. Anak-anak harus dibekalkan dengan sumber ilmu yang boleh mendorong mereka di dunia dan akhirat.

7. Panggilan yang Baik

Pelbagai panggilan yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk memanggil anak. Tujuan baginda adalah untuk menarik perhatian dan agar anak tersebut bersedia untuk mendengar apa yang ingin disampaikan. Antara panggilan tersebutadalah: “Ghulam” (anak), contohnya: “Hai anak... bacalah bismillah dan makanlah dengan tangan kanan.” (Riwayat Abu Daud dan alTirmizi)

“Wahai anakku”. Panggilan ini merupakan panggilan yang mesra diucapkan oleh Rasulullah s.a.w agar anak yang mendengar ungkapan tersebut akan merasa dirinya hampir dan dekat dengan baginda s.a.w.

ipods

8. Memenuhi Keinginan Anak

Kadangkala ibu bapa harus memenuhi permintaan anak-anak mereka kerana ini merupakan cara yang efektif untuk membangunkan emosi dan menambat hati mereka dengan ibu bapa. Apabila keinginandilaksanakan, mereka akan gembira dan tenang.

Rasulullah s.a.w. sering menggunakan pendekatan psikologi apabila berhadapan dengan anak-anak.

Uthman bin Madh’un mengadap Rasulullah s.a.w. dengan membawa anak kecilnya. Rasulullah s.a.w. bertanya:

“Ini anakmu?”

“Benar, ya Rasulullah.”
“Kamu menyayanginya, wahai Uthman?”

“Sungguh, demi Allah. Saya menyayanginya wahai Rasulullah.”

“Mahukah aku tambahkan cintamu kepadanya?”

“Mahu wahai Rasulullah.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa berusaha menggembirakan hati anak keturunannya, maka Allah akan membuatnya merasa senang sehingga di akhirat dia akan benar-benar merasa senang.”

Jiwa anak-anak perlu dibangunkan dengan cara yang terbaik. Panduan dan saranan yang dianjurkan dan dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. boleh kita jadikan sebagai modul asas untuk mendidik anak-anak.

Harapannya supaya mereka sentiasa berjiwa kental di samping mempersiapkan diri mereka untuk berhadapan dengan cabaran pada masa hadapan. ¤.

 

Oleh Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid
Sumber artikel daripada majalah Solusi

 


 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Dilahirkan di Kedah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab juga di UIAM, dan menyambung pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di UIAM. Berpengalaman dalam bidang motivasi dan kepimpinan dan aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan artikel majalah. Merupakan penulis Indahnya Hidup Bersyariat. Layari blog beliau di http://mohdazrul.blogspot.com. Beliau juga boleh dihubungi di mohdazrulazlan@gmail.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

tbbk1297

 

Kembali ke atas