Menu

 

A+ A A-

JUJURNYA SEORANG KANAK-KANAK

Ketika masih kecil, Abdullah bin Mas‘ud pernah mengambil upah menggembala kambing. Suatu hari semasa sedang berada di kawasan penggembalaannya, beliau ternampak dua orang lelaki tua yang kelihatan tenang datang kearahnya. Itulah Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya, Abu Bakar al-Siddiq. Walaupun mereka berdua masih jauh, beliau dapat melihat keadaan mereka yang amat keletihan. Pasti mereka berdua sangat dahaga setelah menempuh perjalanan yang cukup memenatkan.

jujur anakSetelah tiba di tempatnya, mereka berdua memberi salam dan berkata: “Wahai budak, perahkan susu daripada kambing-kambing ini supaya dapat menghilangkan dahaga kami dan membasahkan urat tekak kami.”

Abdullah berkata: “Saya tidak akan melakukannya. Kambing ini bukan milik saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya.”

Tetapi, kedua-dua lelaki tersebut tidak membantah jawapannya. Kemudian, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Tunjukkan kepadaku seekor kambing yang masih belum disetubuhi oleh kambing jantan.”

Maka, Abdullah menuruti perintah tersebut dan menunjukkan kepadanya seekor kambing kecil yang berada berdekatan. Baginda terus menuju ke arah kambing itu lalu menyapu kantung susunya dengan tangan Baginda yang mulia sambil menyebut nama Allah s.w.t.

Dengan kuasa Allah s.w.t., kantung susunya mengeluarkan susu yang banyak. Baginda dan sahabatnya itu minum daripada susu tersebut, sedangkan Abdullah hanya melihat dan hampir-hampir tidak mempercayainya.

jujur anak2Abdullah melihat kejadian tersebut dengan penuh takjub dan berkata dalam dirinya: “Bagaimana pula kambing kecil yang tidak pernah disetubuhi oleh kambing jantan mampu mengeluarkan susu?”

Setelah dahaga kedua-duanya hilang, Baginda berkata kepada kambing tersebut: “Kecutlah.”  Dengan kuasa Allah s.w.t., kantungnya mengecil dan menjadi sama seperti keadaannya yang asal. Sejak daripada kejadian tersebut, Abdullah bin Mas‘ud meninggalkan kerjanya sebagai penggembala dan menawarkan diri untuk berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w.

 

 

USTAZ MUHAMMAD YUSUF A KADIR

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas