Menu

 

A+ A A-

BERKONGSI KASIH KERANA POLIGAMI

SAYA wanita yang sudah berusia 40 tahun. Anak-anak saya sudah besar panjang, malah ada yang sudah masuk universiti. Masalahnya, suami tiba-tiba beritahu bahawa dia hendak kahwin lagi. Saya berasa seperti dunia mahu kiamat. Saya tidak rela hendak dimadukan dan saya tidak rela hendak berkongsi kasih. Saya tahu poligami itu harus dalam Islam. Apakah yang terbaik perlu saya lakukan ustaz?

Pertamanya saya mengucapkan syabas kepada puan kerana mengemukakan apa yang terbuku di hati melalui ruangan ilmiah dan berasaskan pedoman agama. Tindakan ini amat bertepatan bagi mengelakkan kita terbawa-bawa dengan perasaan sedih dan marah sehingga bertindak luar kewarasan dan pertimbangan adil. Apabila ditanya kepada mana-mana isteri, kebanyakan mereka biasanya akan menyatakan berat untuk membenarkan suami mereka berkahwin lain. Masing-masing tidak sanggup berkongsi kasih, atau melihat suaminya sendiri berada di samping wanita lain.

Perasaan cemburu sebegini adalah normal dan semula jadi. Bahkan ada kisah-kisah yang menggambarkan para isteri Rasulullah s.a.w. mempunyai perasaan cemburu antara satu dengan yang lain. Namun, soalnya bagaimana para isteri menghadapi perasaan begini sesuai dengan petunjuk Allah dan bertepatan dengan akhlak islami. Dalam situasi para isteri berdepan dengan cabaran poligami ini, mereka perlulah kembali meneguhkan iman dengan meyakini sesungguhnya hukum yang ditetapkan oleh Allah yang Maha Adil dan Maha Bijaksana itu mempunyai hikmah yang tersendiri. Dalam masa yang sama perlu juga para isteri menekuni peraturan-peraturan syarie berkaitan dengan poligami agar dapat menyuarakan pandangan mereka dengan bernas tentang hasrat suami untuk berkahwin dengan wanita lain.

Saya mencadangkan agar Puan Faridah dapat berbincang dengan suami bagi menemui jalan sepakat atau sekurang-kurangnya dapat saling memahami antara satu sama lain. Perbincangan berkenaan boleh berasaskan isu-isu berikut: Berasaskan realiti, apakah hukum poligami bagi suami. Sama ada sunat, makruh, harus atau haram? Benar, seperti yang Puan Faridah sebutkan, poligami pada asalnya adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam. Suami dibenarkan memiliki empat orang isteri. Kebenaran ini disebut secara nyata di dalam Al- Quran (Surah al-Nisa’ 4: 3).

Hukum asal ini tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Namun hukum ini berbeza-beza bagi setiap individu dan boleh berubah mengikut situasi. Contohnya, bagi suami yang mampu berlaku adil, dan memerlukan wanita yang dapat memenuhi keperluan semula jadi, serta bagi mengelakkan maksiat, sedangkan isterinya tidak mampu memenuhinya, maka hukumnya adalah sunat. Begitu juga bagi suami yang mampu bersikap adil dan inginkan anak sedangkan isteri yang ada, sakit atau mandul. Sebaliknya jika seorang suami itu berhasrat untuk berpoligami semata-mata untuk berseronok dan dia sendiri ragu-ragu boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya, maka hukumnya berubah menjadi makruh. Bahkan hukum poligami boleh berubah menjadi haram dalam keadaan tertentu, seperti jika seorang suami tidak yakin boleh bersikap adil terutamanya jika dalam keadaan sebelum poligami pun dia sudah mengabaikan tanggungjawab asasinya sebagai suami.

Persoalan yang kedua adalah tentang kemampuan suami Puan Faridah berlaku adil kepada semua isteri-isteri. Islam tidak memaksa keseimbangan atau keadilan dari segi perasaan, kerana ia sesuatu yang tidak zahir, tidak boleh diukur dan tidak mampu dikawal. Keadilan yang dimaksudkan ialah keadilan dari sudut nafkah, tempat tinggal, tempat tidur dan pergaulan yang baik. Jika suami Puan tidak mampu berlaku adil, dan poligaminya termasuk dalam kategori makruh atau haram, maka Puan berhak untuk bersuara bagi memintanya membatalkan hasrat berkenaan.

Puan perlu bersuara bagi mengelakkan berlakunya kezaliman dan kemungkaran. Allah s.w.t. berfirman: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah) dengan seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk mencegah supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah al-Nisa’ 4: 3) Undang-undang pentadbiran keluarga Islam di Malaysia memberikan ruang kepada isteri untuk memberikan pandangannya melalui kaedah-kaedah berbeza mengikut negeri.

Namun begitu, adalah lebih baik perkara ini diselesaikan melalui rundingan sama ada melalui puan dan suami, atau boleh juga melibatkan ahli keluarga yang dihormati yang dapat menjadi pendamai antara dua pihak. Sebaliknya, jika suami puan yakin boleh berlaku adil, dan sememangnya dia mampu serta termasuk dalam kategori yang harus atau sunat melakukan poligami, maka puan perlulah bersedia menerima hasrat berkenaan. Setiap ketentuan Allah pasti ada hikmah yang tersendiri. Sesuatu yang kita merasakan mendatangkan keburukan, kadang-kala ia mendatangkan kebaikan di sisi Allah. Insya-Allah, ketabahan puan menerima hasrat suami ini akan dikira satu pengorbanan besar yang pastinya mendapat ganjaran di sisi Allah. Bahkan inilah sebenarnya peluang puan untuk bermuhasabah dan meningkatkan kecintaan kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Idah kematian suami sepupu perempuan saya baru kematian suaminya. Bolehkah ustaz nyatakan idah baginya. Adakah ada pantang larang atasnya?

Idah kematian adalah empat bulan sepuluh hari. Namun jika dia hamil, idahnya ialah sehingga dia melahirkan anak. Bagi isteri yang kematian suami dia wajib berkabung iaitu dengan meninggalkan untuk memakai wangi-wangian, bersolek, atau memakai barang perhiasan. Selain itu dia tidak boleh keluar rumahnya melainkan kerana keperluan, seperti bekerja, mendapatkan barang keperluan dan lain-lain. Dalil berkabung dalam tempoh idah adalah hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud: “Wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak dihalalkan berkabung (meninggalkan perhiasan dan wangian) disebabkan kematian seseorang melebihi tiga malam kecuali kerana kematian suaminya, iaitu selama empat bulan sepuluh hari.”

 

Ustaz Fathi Yusof 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 1

 


 

 

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas