Menu

 

A+ A A-

KONSEP SEKUFU SATU DISKRIMNASI

SOALAN :Saya ingin memahami konsep sekufu dengan sebenarnya. Sebelum ini saya pernah berbincang tentangnya dengan beberapa orang teman. Namun, saya masih tidak begitu berpuas hati. Secara jujurnya, saya masih beranggapan bahawa konsep sekufu itu ada unsur diskriminasi. Mohon pencerahan.

JAWAPAN :

RINGKASAN: Sekufu bermaksud pasangan lelaki dan wanita yang mempunyai “kafa’ah” iaitu keserasian. Kafa’ah dari segi bahasa bermaksud persamaan. Dari sudut istilah syarak, kafa’ah bermaksud keserasian antara suami dan isteri dari sudut agama dan lain-lain.

HURAIAN:Pada umumnya sekufu boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekufu dari sudut agama dan sekufu dari sudut selain agama.

Sekufu dari Sudut Agama

Menurut Ibn Hajar, para ulama bersepakat tentang keperluan sekufu dari sudut agama yang biasanya meliputi soal akhlak, ibadah, akidah dan ilmu agama.

Pasangan suami isteri dianggap sekufu jika kedua-duanya mempunyai penghayatan agama yang seimbang seperti jika kedua-duanya berakhlak mulia. Sebaliknya seorang yang menjaga solat tidak wajar berkahwin dengan seorang yang suka meninggalkan solat kerana mereka berdua tidak sekufu.

Sekufu dari sudut agama amat perlu diberikan perhatian serius kerana ia bersabit dengan tujuan perkahwinan itu sendiri iaitu untuk mendapatkan kebahagiaan dan keharmonian dalam hidup. Seorang wanita atau lelaki yang beragama mestilah mencari pasangannya yang beragama.

Kewajipan ini bukan sahaja berasaskan konsep sekufu, bahkan ia memenuhi tuntutan umum dalam memilih pasangan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Wanita itu dikahwini kerana empat faktor: harta, keturunan, kecantikan dan agama. Pilihlah yang beragama, kamu akan beruntung.” (Riwayat al-Bukharidan Muslim)

Sekufu dari Sudut Selain Agama

Sekufu dari sudut selain agama pula meliputi soal pekerjaan, keturunan dan kemerdekaan. Ini pendapat jumhur ulama. Walaubagaimana pun, ulama mazhab Hanafi dan Hanbali menambah satu lagi faktor iaitu kekayaan. Ulama mazhab Syafi‘i pula memasukkan soal kecacatan yang boleh menyebabkan fasakh seperti gila sebagai salah satu factor sekufu.

Berdasarkan konsep ini, Islam menggalakkan setiap pasangan itu agar tidak mempunyai perbezaan yang terlalu jauh dalam perkara-perkaradi atas. Seorang yang bekerja sebagai pengangkut sampah misalnya adalah tidak sekufu dengan seorang doktor.

Begitu juga seorang yang daripada kerabat istana pula tidak sekufu dengan peminta sedekah. Demikian juga, seorang yang terencat akal misalnya tidak sekufu untuk berkahwin dengan seorang yang normal.

Sekufu Berdasarkan Nas

SOALAN :

Daripada perbincangan diatas, saya melihat konsep sekufu ini lebih kepada ijtihad ulama. Adakah terdapat sebarang nas yang menjadi dasar konsep ini?

JAWAPAN :

Ya, hukum berkaitan sekufu ini disandarkan kepada dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran dan hadis antaranya:

  1. 1.Ayat al-Quran: Allah s.w.t berfirman mafhumnya:  “Wanita yang tidak baik adalah untuk lelaki yang tidak baik, lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik. Dan wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.” (Surah al-Nur: 26)
  2. 2.Hadis: Rasulullah yang bermaksud: “Pilihlah untuk permata-permata kamu (anak-anak Perempuan kamu). Kahwinkanlah dengan yang sekufu dan kahwinkanlah mereka kepadanya.” (Riwayat al-Hakim)

 

Kewajaran Faktor Selain Agama

SOALAN :

Islam menetapkan kemuliaan seseorang itu berasaskan tahap takwa. Jadi kenapa kita perlu melihat soal kekayaan, taraf hidup, keturunan dan sebagainya dalam pemilihan pasangan? 

JAWAPAN :

RINGKASAN: Itu satu keperluan kerana perkara-perkara tersebut mempunyai pengaruh yang besar dalam kebahagiaan sesebuah keluarga.

HURAIAN: Kita memahami bahawa Islam mengamalkan prinsip persamaan antara manusia iaitu tidak ada seseorang pun boleh dianggap mulia mengatasi orang lain atas dasar keturunan, kekayaan dan sebagainya.

Sebaliknya ketinggian darjat seseorang itu adalah dari sudut ketakwaan. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: 13)

Dalam soal pemilihan pasangan, soal takwa diambil kira sebagai asas penentuan ciri-ciri sekufu dari sudut agama. Hal ini tidak dipertikaikan. Persoalannya yang berbaki, adakah faktor sekufu selain aspek agama itu dikira bercanggah dengan prinsip persamaan dalam Islam?

Jawapannya tidak. Ini kerana soal pemilihan pasangan berdasarkan faktor-faktor itu lebih kepada hak peribadi. Maka apabila seorang wanita memilih seorang lelaki dan menolak seorang lelaki lain atas pertimbangan faktor sekufu di atas, maka dia tidak boleh dianggap melakukan penghinaan kepada lelaki yang ditolak itu.

Selain daripada itu, konsep ini juga terbina atas prinsip sadal-zarai‘ iaitu menghalang laluan ke arah kerosakan. Berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu dan penelitian kepada kecenderungan manusia, perkahwinan antara dua pasangan yang tidak sekufu banyak membawa kepada krisis rumah tangga. Justeru konsep sekufu ini berperanan untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko krisis kekeluargaan.

Tidak Sekufu, Tidak Sah?

SOALAN :

Adakah ini bermakna jika perkahwinan antara dua orang yang tidak sekufu itu tidak sah?

JAWAPAN :

RINGKASAN: Tidak sama sekali. Ini kerana sekufu bukanlah syarat sah nikah.

HURAIAN: Mana-mana lelaki disunatkan mencari pasangan yang sekufu, namun tiada siapa berhak menghalangnya jika dia berhasrat untuk mengahwini wanita yang tidak sekufu.

Manakala bagi wanita pula, memilih pasangan sekufu ialah hak bersama antara dirinya dan walinya. Jika dia meredai tindakan wali yang mengahwinkannya dengan seorang yang tidak sekufu, maka perkahwinannya sah. Wallahu a‘lam.

 

Dr. Fathi Yusof 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas