Menu

 

A+ A A-

AMANAH YANG TERABAI

Amanah kita terlalu banyak untuk dihitung. Masa yang ada tidak memungkinkan kita melaksanakan semuanya sekali gus. Ada hal yang perlu didahulukan dan ada perkara yang boleh dilewatkan. Jadi, amanah siapakah yang mesti kita utamakan dan amanah mana pula kita perlu kemudiankan?

 

 

Ramai orang menyedari bahawa dia seorang Muslim dan hamba Allah, namun dalam masa yang sama dia melupakan tanggungjawab kepada Allah.

Allah berfirman dalam sebuah hadis kudsi: ‘“Wahai Adam, sesungguhnya Aku telah menawarkan amanah kepada langit dan bumi tetapi mereka tidak sanggup memikulnya, maka mampukah engkau memikul apa-apa yang ada padanya?” Adam bertanya: “Apakah gerangan yang akan aku peroleh jika melaksanakan amanah ini?”

Allah menjawab: “Jika engkau memikul amanah ini, engkau akan diberi pahala. Jika engkau mensia-siakannya nescaya engkau akan diseksa.” Adam menjawab: “Aku bersedia menggalas apa-apa yang ada padanya” Tetapi, tidak beberapa lama baginda tinggal di dalam syurga melainkan sekadar waktu di antara solat Subuh dan Asar, syaitan mengeluarkannya dari syurga.”’ (Riwayat Abu Syeikh)

Pelbagai Sikap Manusia

AMANAH2Ramai orang diberi kehidupan yang mencukupi dari segi makanan, minuman, pakaian, kenderaan dan tempat tinggal. Ada yang bersederhana dan ada juga yang mewah. Namun, tidak ramai yang bersegera untuk menunaikan perintah Allah. Lihat sahaja perintah solat, berapa Ramai yang istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah?

Lihat pula sola haji berapa ramai hartawan yang tidak bergegas menunaikan haji? Sedangkan mereka bergelar Dato, Datin Tan Sri dan lain-lain. Bukankah ini sikap “bermain dengan perintah Allah? Perintah agama itu seakan-akan sesuatu yang boleh dilupakan.

Sedari peringatan Allah dalam sebuah hadis kudsi: “Sesungguhnya seorang hamba yang telah Aku sihatkan badannya dan luaskan rezekinya, tetapi enggan berkunjung kepada-Ku setelah berlalu lima tahun, maka ia sungguh merugi.” (Riwayat Ibn Hibban)

Nah! Ini satu penegasan bagi sesiapa yang mengabaikan tuntutan haji selama lima tahun sedangkan dia sudah punya kesihatan dan kekayaan. Hartanya sudah cukup dan membolehkan dia menunaikan haji. Namun dia sengaja menangguhkan ibadat itu atas sebab duniawi. Maka, dia akan terus merugi sehingga dia menunaikan amanah itu. Ada juga orang yang mampu menyelesaikan tuntutan haji pada usia muda. Mereka gigih mengumpul duit dan sanggup memenuhi panggilan Allah terlebih dahulu. Sudah pasti ia tidak mudah untuk dilakukan. Kerana ada orang yang sanggup membayar pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan, perabot serta membeli aksesori untuk rumah. Mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk memenuhi selera nafsu. Akibatnya, mereka gagal memenuhi jemputan Allah di Makkah al-Mukarramah. Bagi yang berjaya melaksanakan ibadah haji, bersyukurlah kepada Allah. Namun, harus diperiksa niat dan tujuan itu apakah benar-benar ikhlas.

Dikhuatiri jika niatnya itu bercampur riak atau demi mendapat gelaran ‘haji’ semata-mata, maka ibadat itu tidak akan makbul atau mabrur. Dalam suatu hadis kudsi yang lain Allah berfirman: “Pada hari kiamat nanti akan dihadirkan kitab amal yang tertutup, lalu ia diletakkan di hadapan Allah. Allah berfirman: “Lemparkan ini!” Malaikat menjawab: “Demi kemuliaan Engkau, kami tidak melihat apaapa di dalamnya melainkan kebaikan semuanya.” Allah menjawab: “Semua amalan ini dilakukan bukan untuk-Ku, dan Aku tidak sekali-kali akan menerima amal kecuali apa yang dikerjakan sematamata mengharapkan keredaan-Ku.” (Riwayat al-Tabarani)

Bekerja untuk Allah

Kita pasti berbangga dengan setiap kerja yang dilakukan dan kita pasti mahu ada orang memuji serta memberikan respons atas keberhasilan. Kita mahu semua orang tahu kita berjaya meraih sesuatu pencapaian. Namun, semua itu tidak penting di sisi Allah. Paling utama adalah siapakah di antara kita yang mampu melakukan sesuatu amalan dengan ikhlas kepada-Nya? Hakikatnya, kita tidak bekerja untuk pujian manusia. Kita sepatutnya bekerja untuk Allah. Maka, utamakan amanah Allah dari amanah selain-Nya. Semoga kita mampu berteduh di bawah bayangan syurga nanti. Insya-Allah! Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz A.Ubaidillah bin Alias

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas