Menu

 

A+ A A-

JOM SOLAT TASBIH

Mohon ustaz ajarkan saya cara melakukan solat sunat Tasbih.

Solat sunat Tasbih merupakan salah satu solat sunat yang dianjurkan. Ia dinamakan solat sunat Tasbih kerana dalam solat itu kita perlu membaca tasbih sebanyak 300 kali dengan 75 kali pada setiap rakaat. Sebenarnya solat sunat Tasbih boleh dilakukan dengan dua kaifiat (cara). Namun kaifiat yang sering dipraktikkan di tempat kita adalah sebagaimana jadual di bawah:

JADUALKaifiat pertama ini berdasarkan sebuah hadis. Rasulullah bersabda kepada bapa saudaranya Abbas, maksudnya: “Wahai bapa saudaraku, sukakah aku beri kurnia? Aku akan ajarkan 10 macam keistimewaan. Jika engkau melakukannya, Allah menghapuskan bagimu 10 macam dosa, baik yang terdahulu atau sekarang, lama atau baru, tidak disengajakan atau sengaja, kecil atau besar, tersembunyi atau terang.

“10 macam keistimewaan itu adalah hendaklah engkau solat empat rakaat. Setelah selesai daripada membaca al-Fatihah dan surah pada rakaat pertama dan engkau dalam keadaan berdiri maka bacalah tasbih sebanyak 15 kali:

AYAT 1

“Kemudian engkau rukuk dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau angkatlah kepala daripada rukuk (iktidal) dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau sujud dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali.

“Kemudian angkatlah kepala daripada sujud (duduk antara dua sujud) dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau sujud kembali selepas itu dan bacalah tasbih 10 kali. Kemudian angkatlah kepala daripada sujud (duduk istirahah sebelum berdiri untuk rakaat selanjutnya) dan bacalah kalimah tasbih 10 kali. Seluruh kalimah tasbih itu dibaca 75 kali pada setiap rakaat. Kerjakanlah dalam empat rakaat.

“Sekiranya kamu mampu melakukannya sekali sehari, lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah sekali setiap Jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali sebulan. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali setahun. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali seumur hidupmu.” (Riwayat Abu Daud)

Al-Zarkasyi mengatakan bahawa hadis ini sahih. Sebahagian ulama lain mengatakan hadis ini hasan seperti Ibn al-Solah dan Imam al-Nawawi dalam Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat.

Cara Kedua

Bagaimana pula dengan cara kedua yang ustaz nyatakan?

Untuk kaifiat kedua pula, sila perhatikan jadual di bawah:

JADUAL 2

Kaifiat kedua ini berdasarkan sebuah riwayat. Abu Wahb menceritakan kepada kami: “Saya bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak tentang solat yang dalamnya ada bacaan tasbih.” Dia menjawab: “Caranya dia hendak mengangkat takbir kemudian membaca:

AYAT 2

Kemudian membaca 15 kali:

AYAT 3

“Kemudian setelah membaca istiazah (auzubillah), bismillah, al-Fatihah dan surah, bacalah tasbih itu 10 kali lagi. Kemudian rukuk dan membaca tasbih itu 10 kali. Kemudian mengangkat kepala (iktidal) dan membaca tasbih itu 10 kali. Kemudian sujud dan membaca tasbih itu 10 kali. Kemudian mengangkat kepala (daripada sujud) dan membaca tasbih tersebut 10 kali. Kemudian sujud yang kedua dan membaca tasbih itu 10 kali.

“Dia solat sebanyak empat rakaat dengan bacaan tasbih sebanyak 75 kali dalam setiap rakaat. Jika hendak dikerjakan pada waktu malam, maka yang lebih disukai adalah mengucapkan salam pada setiap dua rakaat. Jika dikerjakan pada waktu siang, ucaplah salam jika mahu (pada setiap dua rakaat) dan jika tidak mahu, janganlah ucapkan salam (setiap dua rakaat tetapi setelah empat rakaat).” (Riwayat alTirmizi)

Tidak Sunat

Kawan saya ada memberitahu saya bahawa ada ulama yang berpendapat bahawa solat Tasbih itu bukannya sunnah. Betulkah begitu?

Ya. Ulama berbeza pendapat berkenaannya. Hal ini disebabkan perbezaan penilaian mereka terhadap hadis berkenaan solat tersebut. Berikut ialah rumusannya:

  1. Mustahab (digalakkan). Ini pendapat sebahagian ulama Syafi‘i. Bahkan Imam al-Nawawi mengatakan bahawa solat itu sunnah yang baik.
  2. Harus. Ini pendapat sebahagian ulama Hambali yang mengatakan harus. Walaupun hadis itu tidak sahih atau hasan, memadailah dengan hadis daif dalam bab fadilat amal. Ibn Qudamah mengatakan sekiranya ada yang melakukannya, maka tidak mengapa. Sesungguhnya perkara yang sunat tidak disyaratkan kesahihan hadis tentangnya.
  1. Tidak disyariatkan. Imam al-Nawawi mengatakan dalam al-Majmu‘, walaupun mustahab, tetapi hadisnya daif dan ia menukar peraturan solat yang biasa diketahui. Ibnu Qudamah menukilkan pandangan Imam Ahmad bahawa tidak ada hadis yang warid tentangnya, maka ia tidak mustahab. Ibnu al-Jauzi meletakkan hadis tentangnya sebagai hadis palsu. Manakala Ibn Hajar dalam al-Talkhismengatakan bahawa periwayatan hadis tentangnya semuanya daif. Begitu juga Ibn al-Arabi mengatakan bahawa tidak ada hadis sahih atau hasan tentangnya. Wallahu a‘lam.

 

 Ustaz Fuad Ismail

 Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

 

Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas