Menu

 

A+ A A-

KEMUSYKILAN HAJI KANAK-KANAK

Alhamdulillah saya, isteri dan tiga orang anak saya mengerjakan haji bersama-sama. Namun saya dimaklumkan bahawa tidak sesuai untuk membawa bersama dua anak saya itu kerana kedua-duanya masih kecil. Mohon penjelasan ustaz. Seorang berumur 10 tahun dan seorang lagi 13 tahun.

Jawapan:

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatawa al-Muasirah mengatakan bahawa jika kanak-kanak itu menunaikan haji ketika berumur 14 tahun dan ia belum baligh, haji yang ditunaikannya bukanlah haji yang dituntut oleh Islam. Ini kerana haji yang wajib mestilah dilakukan oleh seseorang yang baligh atau berumur 15 tahun. Jika dia baligh dengan bermimpi, maka tidak perlu sampai umur 15 tahun. Kalau masih belum baligh lagi, ia mesti menunaikan haji wajib sekali lagi. Jika dia ada melakukan kemungkaran selepas menunaikan haji, hajinya tidaklah terbatal.

Sesuatu amalan baik itu tidak terbatal atau terhapus dengan perbuatan jahat yang lain. Namun pahalanya mungkin berkurangan. Allah akan tetap mengira setiap perkara yang besar atau kecil daripada setiap ketaatan atau maksiat. Neraca timbangan di hari akhirat akan mengadilinya. Ia akan menimbang kebaikan di satu timbangan dan amalan kejahatan di satu timbangan yang lain. Di sana nanti akan dapat dilihat yang mana lebih berat. Berpandukan timbangan inilah akan dapat ditentukan pahala dan hukuman (dosa).

Firman Allah yang bermaksud: “Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula. (Surah al-Zalzalah: 6-8)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat. Maka tiadalah dirugikan seseorang biar sedikit pun dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.” (Surah al-Anbiya’: 47) Seseorang Muslim itu hanya dituntut agar menjadikan hajinya benar dan diterima (haji mabrur). Jika dia masih lagi melakukan perkara mungkar selepas mengerjakan ibadat haji itu, maka bertaubat dan kembalilah kepada Allah. Buatlah kebaikan dan jangan lagi mengulangi perbuatan yang telah lepas. Inilah yang dinamakan haji mabrur yang tidak ada ganjaran lain lagi melainkan syurga di akhirat nanti.

 haji kanak2

Anak Bukan Muslim dibawa ke Makkah

Apakah hukumnya seorang anak angkat yang diambil daripada orang kafir yang dipelihara sejak kecil lagi dibawa ke Tanah Suci sebelum ia baligh untuk bersama-sama menunaikan haji?

Jawapan:

Masalah anak angkat yang dipelihara dan diambil sejak kecil daripada orang kafir dan dibawa ke Tanah Suci sebelum balighnya untuk menunaikan haji adalah berkaitan dengan perbincangan hukum: Adakah sah keislaman kanak-kanak itu atau tidak? Jika dihukumkan sah keislamannya, maka hokum dan cara melaksanakan hajinya sama seperti hukum dan cara melaksanakan haji bagi kanak-kanak Islam yang berasal daripada keluarga Muslim. Jika dihukum tidak sah keislamannya, maka ia tidak boleh dibawa masuk ke Tanah Haram justeru dia tidak boleh melaksanakan haji. Sebenarnya para ulama mujtahidin berselisih pendapat dalam masalah ini sebagaimana rumusan berikut:

Pendapat pertama:

Sah keislaman kanak-kanak tersebut secara automatik kerana dia mengikut keislaman orang yang memeliharanya. Maka dia wajib dimandi dan disolatkan sekiranya meninggal dunia. Ini ialah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-‘Aza‘ie, satu pendapat dalam mazhab Hanafi dan Syafi‘i.

Pendapat kedua:

Tidak sah keislaman kanak-kanak tersebut melainkan ia mengakui pengislamannya dengan mengucapkan dua kalimah syahadah. Ini ialah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu pendapat dalam Mazhab Syafi‘i.

Pendapat ketiga:

Tidak sah keislaman kanak-kanak tersebut sekalipun ia mengucap dan mengamalkan amalan orang Islam seperti solat dan puasa melainkan setelah ia baligh. Ini ialah pendapat Imam al-Syafi‘i sendiri. Secara peribadi, penulis lebih cenderung kepada pendapat yang pertama.

Wallahu a‘lam.

haji

 

 

Dr. Zulkifli Mohamad al- Bakri

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas